Sebuah blog khusus untuk mengenang arwah Nurin Jazlin telah diterbitkan oleh bapa saudara kepada arwah sendiri iaitu Jasni AJ. Dahulunya blog ini digunakan untuk mengesan kehilangan Nurin. Khabarnya blog ini mendapat sambutan hangat dan komen mencurah-curah daripada mereka yang simpati dan sedih atas kematian Nurin. Saya turut melawat laman tersebut.
Konsep blognya hampir sama dengan blog Nokemikal yang mana ianya merupakan kolektif tentang siaran akhbar mengenai berita kehilangan Nurin sejak 20 Ogos sehinggalah penemuan mayatnya. Ada permintaan supaya blog itu tidak ditutup sebagai paparan untuk masa akan datang.
Saya agak terkilan apabila membaca komen-komen daripada pelawat terdapat komen yang berbau politik dan tidak wajar ditulis dalam blog tersebut. Ia merupakan blog mengenang arwah Nurin Jazlin Jazimin, bukannya sebuah blog politik seperti Malaysia Today, Umno-Reform atau yang seangkatan dengannya. Memadailah dengan hanya memberikan ucapan takziah dan kata-kata semangat kepada keluarga Nurin agar tabah meneruskan hidup.
Kepada kedua ibu bapa Nurin dan ahli keluarga Nurin, diucapkan takziah atas kehilangan anak yang disayangi. Untuk melawat blog Nurin boleh layari di nurinjazlin.blogspot.com.
-NOKEMIKAL