Persidangan perisikan relevan untuk perkukuh kemampuan hadaip ancaman keselamatan
PERSIDANGAN Ketua Perisikan Pertahanan Rantau Asia Pasifik (APICC) yang julung kali diadakan di ibu negara pada 4 hingga 7 September lalu, dilihat berjaya menarik perhatian pelbagai pihak. Dari sudut profesional, persidangan ini dianggap sebagai suatu kejayaan.
Keyakinan ini diserlahkan dengan penyertaan memberangsangkan dari luar dan di rantau Asia Pasifik, sekali gus menghasilkan testimoni secara konsensus di kalangan negara terbabit bahawa perisikan adalah kunci kepada pengurusan keselamatan.
Rata-rata maklum balas yang diterima berkaitan persidangan sangat menggalakkan. Bagaimanapun, ada juga komen negatif yang dilihat agak menyimpang daripada perspektif sebenar tujuan persidangan ini diadakan dan wajar diperhalusi memandangkan ia bakal memberikan implikasi politik dan strategik kepada Malaysia.
Komen seperti ini memang dijangkakan memandangkan APICC adalah satu forum antarabangsa yang semestinya tidak dapat lari daripada perhatian dan minat pelbagai pihak.
Ada pihak tertentu mengaitkan persidangan APICC yang pertama ini dengan kepentingan Amerika Syarikat (AS). Menurut mereka, menerusi APICC, Malaysia secara tidak langsung memberi peluang kepada AS untuk melebarkan lagi pengaruh di rantau Asia Pasifik.
Pandangan seperti itu memberikan kesan buruk kepada Malaysia. Dalam erti kata lain, Malaysia seolah-olah meminjam slogan yang digunakan ketika Perang Dingin iaitu ‘boneka imperialisme Amerika’.
Persidangan APICC di Kuala Lumpur menghimpunkan pegawai kanan perisikan di rantau Asia Pasifik untuk bertukar-tukar pandangan serta berkongsi kepakaran dan aset bagi mempromosi keselamatan di rantau ini secara lebih efektif.
Objektif ini adalah relevan dengan transisi semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memperkukuhkan kemampuan bagi menghadapi perubahan kompleks dalam aspek keselamatan dan persekitaran strategik serta menyokong pembabitan negara yang semakin meluas dalam hal ehwal perhubungan antarabangsa dan serantau.
Sekiranya ingin mencapai hasrat itu, Malaysia perlu meluaskan lagi pembabitan dengan negara lain terutama kuasa dunia dan membangunkan keupayaan dalam Peperangan Elektronik dan Siber, menangani ancaman maritim dan mampu menyediakan ‘amaran awal’ kepada agensi keselamatan sama ada dalam negara mahupun serantau jika berlaku sesuatu ancaman keselamatan.
Dalam usaha memperkasakan keupayaannya, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) kini dalam proses memperluaskan fungsi dan organisasi bagi menghadapi cabaran baru itu.
Kedua, tata cara persidangan APICC berlangsung adalah di dalam suasana demokrasi. Persidangan ini berfungsi sebagai 'platform' yang membenarkan peserta menyuarakan kebimbangan negara masing-masing dalam hal ehwal keselamatan dan seterusnya menjelaskan strategi mereka dalam menghadapi ancaman terbabit.
Segala perbincangan yang dicapai ketika persidangan memperlihatkan persetujuan bersama negara peserta dan tidak timbul keputusan mengikut telunjuk AS. Dalam konteks ini, Asean dilihat lebih awal bekerjasama dengan pihak AS dalam isu utama bukan tradisional yang dibincangkan ketika persidangan APICC.
Walaupun AS mempunyai kelebihan dari segi aset bagi menyokong peranannya dalam hal ehwal keselamatan serantau, polisi dan strateginya masih mengambil kira keutamaan dan kepentingan negara serantau dan telah cuba sedaya upaya memastikan sebarang usaha kerjasama perisikannya dengan negara terbabit tidak mencabuli kedaulatan mereka.
Ketiga, tidak dapat dinafikan bahawa AS memiliki kepentingan ekonomi dan strategik yang besar di Asia Timur dan Asia Tenggara. Justeru, bagi AS, keselamatan maritim adalah penting kepada kepentingan ekonomi dan begitu juga keseimbangan kuasa serantau yang dilihat bakal menjamin kepentingan strategiknya.
Faktor ini menjelaskan mengenai kehadiran dan peluasan pembabitan AS di Pasifik Barat dan strategi 'forward deployment' di rantau ini. Malah kuasa besar serantau seperti Russia, China dan India juga secara tidak langsung menerima legitimasi kehadiran AS di rantau ini dan memperakui peranan AS dalam hal ehwal serantau kini lebih bersifat konstruktif dan tidak mengganggu gugat kestabilan.
Keempat, interaksi sesama negara dilihat berupaya menambah pengaruh yang akhirnya bakal menguntungkan semua yang terbabit. Dalam konteks ini, APICC memberi landasan kepada Malaysia dan negara serantau yang lain untuk menyuarakan terus kepada AS dan kuasa besar lain mengenai ancaman keselamatan, keutamaan mereka serta strategi dan polisi diambil bagi memenuhi kepentingan nasional mereka.
Pada persidangan APICC baru-baru ini, AS diterima sebagai rakan dialog dan bukan lagi aktor dominan. Perlu juga diketengahkan bahawa berbanding negara serantau lain, pengaruh politik dan strategik AS ke atas Malaysia adalah yang paling minimum disentuh.
Kelima, antara perkembangan utama dalam persekitaran strategik pasca Perang Dingin di rantau ini ialah perubahan dalam hubungan Asean-AS. Dalam konteks ini, ia adalah gambaran kepada keupayaan Asean untuk mempengaruhi strategi asas AS di rantau Asia Pasifik.
Asean adalah sebuah organisasi pelbagai hala yang mengatur hal ehwal negara anggotanya. Strategi asas AS adalah mengikat hubungan dua hala dengan negara lain terutama menerusi perjanjian ketenteraan seperti dengan negara Jepun, Australia dan Korea Selatan.
Namun disebabkan perkembangan ekonomi negara anggota Asean dan peningkatan kolektif 'kuasa menawar', AS terpaksa menyesuaikan diri dengan ‘trend multilateral’ itu. Tidak dapat dinafikan bahawa AS sehingga kini masih menganggap mereka adalah kuasa dominan dalam hal ehwal keselamatan di rantau ini.
Namun Washington menyedari bahawa Asean menganggap AS hanya sebagai rakan kongsi dan persetujuan Asean untuk bekerjasama akan berterusan selagi Washington berpegang teguh kepada prinsip persamaan.
Dalam erti kata lain, kita dapat katakan bahawa peranan AS di rantau Asia Pasifik ini bukan sesuatu yang mutlak. AS dilihat memerlukan sokongan dan kerjasama dari negara lain bagi mempertahankan peranan terbabit.
Sokongan dan kerjasama itu pula banyak bergantung kepada kesediaan Washington untuk mengamalkan prinsip timbal balik dan saling menghormati apabila bekerjasama dengan negara serantau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucap tamanya menegaskan 'wujud kaitan organik di antara perisikan dan keselamatan, dan pengurusan keselamatan itu tidak dapat dipisahkan daripada perisikan'.
Beliau juga menyifatkan ancaman maritim dan siber sebagai ancaman keselamatan yang wajar diberi perhatian utama oleh komuniti perisikan kini. Tema persidangan APICC ini dilihat bertepatan dengan ucaptama Timbalan Perdana Menteri.
Walaupun pelaksanaan APICC adalah jelas, hasilnya dilihat belum pasti. Dalam hal ini, persidangan APICC bertujuan untuk menambah kapasiti negara serantau bagi menghadapi cabaran keselamatan pada abad ke-21 dengan mengaplikasikan pendekatan baru dalam kerjasama perisikan serantau dan pengurusan.
Tahap kesedaran yang tinggi di kalangan negara serantau untuk mempertingkatkan kadar ketelusan dan saling mempercayai dalam kerjasama keselamatan memungkinkan objektif APICC dapat dicapai nanti.
Justeru, APICC tidak akan menjadi medan kepada sebarang ideologi atau dijadikan alat oleh kuasa besar dunia untuk melebarkan pengaruh mereka di rantau ini. Oleh yang demikian, APICC tidak mendesak peserta persidangan dengan sebarang deklarasi.
Sebaliknya, ia lebih berfungsi sebagai medan perbincangan yang realistik untuk menghadapi cabaran keselamatan pada abad ke-21 dan kesemua negara peserta perlu bekerjasama sebaik mungkin dengan mengambil langkah konkrit bagi berkongsi kepakaran dan aset dalam pengurusan keselamatan.
Sebagai penutup, APICC juga bertanggungjawab dalam menyediakan platform kepada semua Ketua-Ketua Perisikan Pertahanan di Asia Pasifik untuk membina keyakinan dan mewujudkan komunikasi langsung sesama mereka.
Menerusi APICC juga semua peserta asing mendapat peluang untuk melihat sendiri pembangunan di Malaysia. Peluang ini secara tidak langsung membantu memberikan perspektif yang lebih baik mengenai Malaysia.
Oleh Mohd Salleh Ismail
Mej Jen Datuk Mohd Salleh Ismail ialah Ketua Pengarah Risikan, Kementerian Pertahanan
Berita Harian 22 September 2007