Selasa, 25 September 2007

Jenayah terhadap kanak-kanak perlu dibendung

KANAK-KANAK adalah insan yang perlu dilindungi daripada segala bentuk kekerasan atau keganasan yang memudaratkan fizikal, mental dan emosinya. Mereka perlu sentiasa diawasi agar tidak terbabit dalam sebarang bentuk penindasan, penganiayaan dan kezaliman seperti penderaan seksual, kekerasan fizikal dan pembunuhan.

Segala bentuk keperluan mental, fizikal dan spiritual kanak-kanak perlu diberi perhatian sewajarnya. Kanak-kanak memerlukan jagaan dan perlindungan khas daripada penjaga utamanya. Dalam konteks masyarakat pula kanak-kanak memerlukan perlindungan undang-undang dan keprihatinan masyarakat dalam membendung dan mencegah sebarang bentuk perlakuan jenayah ke atas kanak-kanak.

Malang bagi masyarakat kita apabila kanak-kanak di negara ini masih berhadapan dengan ancaman keganasan. Salah satu bentuk keganasan yang masih mengganggu kehidupan kanak-kanak ialah gangguan seksual. Gangguan seksual yang sadis pula boleh membawa kepada kematian kanak-kanak.

Nurin Jazlin Jazimin yang baru berusia lapan tahun adalah contoh kes terbaru yang mengakhiri hayatnya di tangan manusia bernafsu buas dan berhati iblis. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana kanak-kanak seperti Nurin diperlakukan dengan penuh kezaliman oleh manusia yang berhati iblis.

Sebelum ini ramai kanak-kanak mengalami nasib hampir sama. Mereka dirogol dan dibunuh manusia kejam berhati iblis. Nama seperti Ang May Hong (1987), Nushuhada Buruk (2000), Harirawati (2004) dan Nurul Huda (2004) adalah antara kanak-kanak yang dirogol dan dibunuh dengan kejam. Kita tidak mengetahui nasib ratusan lagi kanak-kanak yang hilang di negara ini.

Kefahaman masyarakat mengenai penderaan seks terhadap kanak-kanak mestilah jelas. Ia merujuk kepada pengeksploitasian kanak-kanak untuk maksud memenuhi nafsu seks seseorang dewasa yang membabitkan persetubuhan, seks oral, memegang tempat sulit, menunjukkan gambar atau simbol tertentu yang mengandungi maksud seksual dan menunjuk kemaluan kepada kanak-kanak.

Makna gangguan seksual juga perlu diperluaskan meliputi pengeksploitasi tubuh badan kanak-kanak perempuan untuk dijadikan sebahagian daripada barangan komoditi demi meraih keuntungan yang lumayan. Kanak-kanak hendaklah dilindungi daripada dieksploitasi secara terhor-mat melalui bidang pengiklanan yang menjadi sebahagian daripada kaedah berkesan yang digunakan oleh dunia kapitalisme untuk melariskan produk keluaran mereka yang berpaksikan keuntungan material semata-mata.

Gangguan seksual sama ada ke atas kanak-kanak atau wanita dewasa termasuk dalam kategori perlakuan jenayah dan pencabulan hak asasi manusia. Justeru, tanpa sebarang kompromi ia memerlukan tindakan perundangan yang berkesan. Fenomena gangguan seksual terhadap kanak-kanak di negara ini memerlukan perhatian dan tindakan serius supaya isu ini dapat dibendung dan ditangani secara berkesan.

Jenayah keji ini adalah satu perlakuan tidak berakhlak dan beretika terhadap kanak-kanak yang dilakukan sama ada secara fizikal, lisan dan psikologikal. Semua bentuk gangguan seksual dapat memberikan kesan negatif terhadap psikologi, emosi, mental, moral, maruah, kehormatan, keselamatan dan masa depan kanak-kanak yang menjadi mangsa.

Untuk mengatasi jenayah gangguan seksual ini ia memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak supaya dapat bertindak secara kolektif. Rangka kerja yang diatur secara kolektif mampu mencapai sasaran dan objektifnya. Dalam hal ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilihat mampu menjadi tenaga penggerak yang dapat menyatu dan menyelaraskan segala tindakan yang diperlukan.

Di antara langkah yang difikirkan sesuai dalam usaha membanteras fenomena jenayah keji, ialah:

> PDRM perlu mewujudkan satu unit atau jabatan jenayah kanak-kanak bagi mengurus segala kes yang berkaitan dengan kanak-kanak mengikut tafsiran Akta Kanak-Kanak.

> Kempen antikeganasan kanak-kanak melalui media massa mesti diperhebatkan secara konsisten (bukan bermusim).

> Kawalan terhadap majalah berunsur lucah yang boleh membawa kesan tidak sihat kepada naluri nafsu seks manusia mesti dilaksanakan secara tegas.

> Pertubuhan wanita, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan pertubuhan hak asasi manusia memainkan peranan yang lebih berkesan terhadap isu kanak-kanak.

> Garis panduan pencegahan dan tindakan yang lebih efisien dalam membendung perlakuan jenayah terhadap kanak-kanak yang dilakukan secara bersepadu oleh semua agensi penguatkuasa undang-undang hendaklah dilaksanakan.

> Lelaki mestilah dididik supaya lebih bertanggungjawab terhadap pengendalian seksual mereka dan dalam masa yang sama wanita juga perlu mengawal diri supaya tidak menampilkan diri dalam keadaan menggoda dan boleh merangsangkan naluri seksual kaum lelaki sehingga mendorong lelaki yang menghadapi seksual menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.

> Hentikan trend menjadikan unsur seks sebagai bidang dan komoditi dalam semua bentuk media (akhbar, majalah, novel, internet, video dan sebagainya).

Nilai murni mesti terus dipupuk dalam kehidupan supaya kesejahteraan hidup bermasyarakat dapat dinikmati semua orang.

Oleh Mohd Ayob Abd Razid

Berita Harian 22 September 2007