Selasa, 25 September 2007

9 objektif perkukuh modal insan


Kuasai pelbagai cabang ilmu boleh lahir manusia cemerlang kelas pertama

SELASA lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat dua kenyataan penting yang ada kaitan dengan modal insan. Pertama, beliau menyarankan supaya pelajar sekolah agama meluaskan ilmu dengan mempelajari subjek lain yang berkaitan dan tidak terhad dengan mempelajari subjek yang secara tradisinya dianggap sebagai pengajian Islam.

Kedua, beliau mencadangkan supaya Majlis Fatwa Kebangsaan melantik ahli tetap daripada golongan profesional yang berkaitan, iaitu tidak hanya mengehadkan majlis itu untuk dianggotai mereka yang secara tradisinya dianggap golongan agama.

Dengan menggunakan istilah 'ulama' dan 'intelektual' umumnya, sekolah agama dianggap melahirkan ulama, manakala sekolah lain melahirkan intelektual. Majlis Fatwa dianggotai ulama, manakala majlis lain dianggotai intelektual.

Saranan Perdana Menteri di samping bagi memenuhi tuntutan dan keperluan semasa, ia adalah relevan dari segi menjambatani kedua-dua golongan modal insan iaitu yang di sekolah sebagai yang dijana dan yang di majlis sebagai hasil daripada penjanaannya.

Sebenarnya, saranan ini bukanlah perkara baru. Ia pernah disuarakan sebelum ini, misalnya, melalui frasa 'mengintelektualkan ulama dan mengulamakan intelektual'. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), contohnya, adalah manifestasi daripada kefahaman dan pemikiran itu.

Tetapi, kenyataan Perdana Menteri amat signifikan, pertama kerana adakalanya hanya apabila disebut pemimpin negara, barulah sesetengah daripada kita akan buat, dan keduanya, kerana beliau memang memberikan penekanan berat terhadap penjanaan modal insan.

Dalam konteks ini, ia merujuk satu daripada perspektif modal insan bersepadu, iaitu dari segi menguasai kedua-dua bidang yang dianggap ilmu agama dan ilmu bukan-agama supaya tidak menguasai hanya satu bidang saja sedangkan buta bidang yang lain.

Di UIAM, ilmu agama itu digelar ilmu wahyu, manakala ilmu bukan agama digelar sains kemanusiaan. Mahasiswa yang mengkhusus dalam ilmu wahyu dikehendaki juga mempelajari subjek tertentu daripada sains kemanusiaan dan begitu juga sebaliknya. Mahasiswa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dikehendaki juga belajar bahasa Arab dan begitu juga sebaliknya.

Di samping itu, ada juga inisiatif meningkatkan kualiti pendidikan Islam dan Islamisasi ilmu yang bertujuan mengembalikan kekuatan umat Islam dalam pelbagai disiplin ilmu, iaitu seperti yang dipelopori, antara lain, oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas (1980), The Concept of Education in Islam dan Ismail Raji al-Faruqi (1982), Islamization of Knowledge: General Principles and Work Plan.

Kini, kita mempunyai Pelan Induk Pembangunan Pelajaran (PIPP) di bawah Kementerian Pelajaran, Pelan Tindakan Pengajian Tinggi Negara (PTPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional (PTPBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan. Ketiga-tiganya adalah tentang modal insan, tetapi, adakah mereka bersepadu, iaitu bercakap antara satu dengan yang lain?

Sementara itu, dengan mengambilkira bahawa kesepaduan modal insan tidak terhad hanya kepada penguasaan ilmu wahyu dan sains kemanusiaan saja, di sebalik slogan melahirkan modal insan kelas pertama dan bertaraf antarabangsa yang sering dilaungkan itu, soalnya, adakah pelan modal insan itu benar-benar bersepadu?

Persoalan ini timbul kerana terdapat kebimbangan bahawa inisiatif modal insan kita bersifat terlalu utilitarian kerana amat menekankan soal pekerjaan yang diraih selepas tamat belajar. Dengan kata-kata lain, sekolah dan universiti kita hanya menjadi kilang yang mengeluarkan pekerja semata-mata.

Modal insan tidak terhad hanya kepada persoalan sumber manusia atau tenaga kerja saja. Ia lebih daripada itu. Ia perlu dilihat dari sudut yang holistik.

Di Amerika Syarikat, apabila matlamat modal insan yang holistik itu tergugat, maka muncul kritikan di kalangan intelektualnya, misalnya, Allan Bloom (1987), The Closing of the American Mind, Noam Chomsky dan Donald Macedo (2000), Chomsky on MisEducation dan Frank Furedi (2004), Where Have All the Intellectuals Gone?

Bekas Presiden Universiti Harvard, Derek Bok (2006), dalam buku terbarunya Our Underachieving Colleges menyoal apakah sebenarnya yang dipelajari oleh mahasiswa di universiti negara tersebut hingga menyebabkan prestasinya mulai merosot.

Dalam konteks kita, bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Mohd Taib Osman (2004), dalam bukunya Universiti dan Tradisi Kecemerlangan menegaskan semula tanggapan dan idealismenya tentang universiti sebagai komuniti sarjana untuk memusatkan kekeramatan ilmu bagi meningkatkan peradaban manusia.

Beliau menyesali keadaan universiti yang sekarang dianggap industri yang menjana laba, bermatlamat kegunaan ilmu semata-mata, mengutamakan pencarian kewangan dan dikonsepsikan sebagai organisasi perdagangan.

Kita mesti memastikan yang semua pelan tindakan modal insan kita adalah benar-benar bersepadu dan menuju sasaran yang disepakati bersama. Kerana itu, kita mesti mempunyai indeks prestasi utama (KPI) yang standard dan digunapakai semua pihak.

Dengan mengadaptasi dan menambah objektif pendidikan dan ciri-ciri kecemerlangan yang diutarakan Bok dan Mohd Osman, kita dapat menyenaraikan sembilan objektif bagi sekolah dan universiti kita yang boleh dijadikan asas dalam merangka KPI modal insan bersepadu. Sembilan objektif itu ialah:

> Memburu ilmu yang bersepadu dengan hasrat menjadi ilmuwan tulen yang benar-benar menghayati budaya ilmu.

> Kemampuan berkomunikasi dengan pelbagai jenis khalayak, boleh bercakap dengan efektif, iaitu jelas dan persuasif dan menulis dengan baik, iaitu tepat dan indah.

> Berfikir kritikal, iaitu mengenalpasti dan mendefinisikan masalah dengan jelas, kenal pasti hujah dan kepentingannya dari pelbagai sudut, mengumpul fakta yang relevan, mendapatkan sebanyak mungkin penyelesaian, menguasai metodologi dan menggunakan pertimbangan yang adil dalam memilih alternatif yang terbaik.

> Alasan moral (moral reasoning) yang berasaskan prinsip dan etika yang jelas dan kuat.

> Menjadi warga negara, iaitu patriotik dan berpartisipasi dalam demokrasi dengan bermaklumat, berilmu dan aktif.

> Hidup dalam kepelbagaian dari segi bahasa dan kaum, budaya dan agama, kepentingan dan minat serta profil dan keadaan.

> Hidup dalam masyarakat global, iaitu berkaitan dengan globalisasi dan liberalisasi serta politik dan krisis antarabangsa.

> Memiliki minat (interests) yang luas dan mendalam supaya dapat menikmati makna kehidupan yang sebenarnya, contohnya, secara intelektual, seni, budaya, riadah dan sukan.

> Persediaan kerjaya, iaitu sama ada dengan bekerja sendiri, menjadi k-pekerja dengan majikan dan mampu berhadapan dengan kategori pekerjaan yang baru.

Oleh Datuk Saifuddin Abdullah

Datuk Saifuddin Abdullah ialah Pengerusi Akademi Belia yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (1998 - 2002).

Berita Harian 22 September 2007