KUANTAN: Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) bukan sahaja merupakan jalan singkat dari Kuala Lumpur ke Kuantan di Pahang, tetapi juga bakal menjadi laluan penghubung penting kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
ECER yang meliputi kawasan seluas 66,736 km persegi merentasi tiga negeri pantai timur Kelantan, Terengganu, Pahang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akhir bulan depan.
ECER yang dianggarkan menelan belanja RM112 bilion dengan 40 peratus daripada jumlah itu untuk pembangunan jalanjalan yang menghubungkan wilayah itu dengan koridor pembangunan lain di negara koridor barat, Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR) di selatan, Wilayah Pembangunan Koridor Utara (NCER).
LPT yang menghubungkan Karak dan Kuantan meliputi jarak 169km mengurangkan masa perjalanan kepada separuh ataupun dua setengah jam. Dibina pada kos RM1.2 bilion, ia dibuka dengan rasmi oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 1 Ogos 2004.
Projek peningkatan infrastruktur
Antara projek peningkatan infrastruktur jalan raya untuk menghubungkan ECER termasuk Fasa Dua LPT yang menghubungkan Kuantan ke Kuala Terengganu yang kini dalam pembinaan, manakala Fasa Ketiga menghubungkan Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan akan dilaksanakan kemudian.
Fasa Empat membabitkan lebuh raya yang menghubungkan Kuantan ke Johor Baharu serta jalan yang menghubungkan Temerloh ke Kuala Pilah di Negeri Sembilan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pusat Pertumbuhan Negeri Pahang Datuk Ir Mohd Soffi Abd Razak, LPT dilihat sebagai pemangkin kepada pelabur luar untuk melabur di ECER kelak.
Selain merancakkan pembangunan ECER, LPT sendiri menjadi tarikan baru kepada pelabur-pelabur luar dan mampu menyumbangkan kepada pembangunan Pahang.
"Berikutan kawasan Lembah Klang yang semakin padat, maka dengan sistem perhubungan yang semakin baik, Pahang bersedia menawarkan tempat yang selesa dengan harga yang menarik kepada pelaburpelabur tempatan dan luar negara," katanya.
LPT rancakkan pertumbuhan projek baru
Pahang sendiri dijangka menyaksikan pelbagai projek pembangunan besar hasil kewujudan LPT.
Antara projek itu ialah Taman Teknologi Gambang yang meliputi Taman Hab Makanan Halal, Pusat Biotek dan ICT, EVillage dan Agritech Park di persimpangan tol kawasan perindustrian Gambang, pembangunan kawasan perindustrian baru di Bentong, dan pembangunan bandar baru Resort City di Jalan Kuantan-Gambang serta pembangunan bandar baru di Gambang.
Ir Mohd Soffi berkata projek-projek pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk Pahang.
Selain menjana projek-projek pembangunan, LPT juga merancakkan lagi industri pelancongan dan paling ketara ialah kadar penginapan hotel dan chalet yang lebih tinggi di hujung minggu dan cuti umum.
"Kedatangan pengunjung ke destinasi tumpuan pelancongan juga semakin meningkat. Ini adalah kerana waktu perjalanan telah disingkatkan, ramai penduduk Lembah Klang misalnya kini memilih Kuantan sebagai destinasi pelancongan di hujung minggu," kata Ir Mohd Soffi.
Pembangunan sepanjang LPT dan kawasan Pahang Tengah
Menurut Ir Mohd Soffi, berikutan pembukaan LPT, zon pembangunan juga telah dikenalpasti yang tertumpu di kawasan sepanjang jajaran Jalan Persekutuan Kuala Lumpur-Kuantan dan kawasan pusat-pusat penempatan utama meliputi pekan Karak, bandar Temerloh/Mentakab, Maran, bandar Gambang, Jaya Gading, Kuantan dan Gebeng.
"Guna tanah utama merangkumi kawasan kediaman atau perumahan, perdagangan, pusat bandar, kawasan industri, kemudahan awam, pendidikan dan kawasan rekreasi," katanya.
Semua projek itu akan memberi kesan tinggi ke atas usaha membangunkan rantaian nilai sektor ekonomi melalui nilai tambah dan perluasan aktiviti pertanian dan menjadi pemangkin kepada sektor-sektor yang lain.
Selain itu beliau berkata berdasarkan Rancangan Struktur Negeri Pahang, daerah Temerloh-Mentakab juga telah dikenalpasti sebagai `Konurbasi Kedua' (Bandar Gabungan Kedua) dalam negeri itu dengan tumpuan pembangunan dalam pertanian dan perindustrian.
"Terminal Makanan Negara (TEMAN) telah dicadangkan di Temerloh, dan pembangunan Bandar Ikan Patin itu adalah tambahan kepada kawasan sedia ada dan industri yang dicadangkan berbentuk industri kecil dan sederhana (IKs) dan pembangunan berbentuk akuakultur," katanya.
Maran juga akan membangun
Sementara itu bagi daerah Maran, pembangunan yang dicadangkan berkonsepkan pembangunan perumahan kawasan rekreasi.
"Satu kawasan yang dikenalpasti berpotensi untuk dimajukan di kawasan persimpangan Sri Jaya. Kedudukan Sri Jaya yang hanya berjarak kirakira 30 kilometer dari Kuantan lambat laun akan menerima kesan limpahan pembangunan dari Kuantan seperti institusi pendidikan dan perumahan bercampur.
"Kolej-kolej kejururawatan, perguruan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta sesuai dibangunkan di kawasan ini kerana ia boleh dijadikan sebagai pemangkin pembangunan," kata Ir Mohd Soffi.
Selain itu, persimpangan Karak dan Temerloh juga dicadangkan pembangunan kawasan institusi pendidikan tinggi atau industri pertanian (akuakultur) dan persimpangan Maran dan Sri Jaya pula mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai kawasan perumahan.
"Kita yakin, pembukaan LPT yang menghubungkan Karak-Kuantan, bukan sahaja mendekatkan jarak Lembah Klang dan Pantai Timur, tapi projek ini memberi impak yang besar kepada rakyat, InsyaAllah," katanya.
Bernama