NEW YORK, 25 Sept (Bernama) -- Malaysia mahu supaya dana alam sekitar sedunia yang ada sekarang menjadi lebih mudah diperoleh selain mencadangkan agar tabung baru diwujudkan bagi membantu negara membangun menangani perubahan iklim secara berkesan.
Ketika mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada satu mesyuarat peringkat tinggi tidak formal mengenai perubahan iklim anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu di sini, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Malaysia juga berharap agar Tabung Penyesuaian yang sedang diusahakan mengikut Protokol Kyoto dapat dilaksanakan lebih awal.
Protokol Kyoto diasaskan pada Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim dan menetapkan sasaran dan jadual pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang wajib dipatuhi oleh negara perindustrian.
Tabung Penyesuaian itu ditubuhkan bagi membiayai projek dan program penyesuaian yang konkrit di negara membangun yang menandatangani Protokol Kyoto.
Malaysia juga mencadangkan pembentukan satu tabung besar, dibiayai oleh negara-negara maju, bagi membantu negara membangun meningkatkan pelindungan masing-masing daripada perubahan iklim.
Syed Hamid berkata Malaysia juga mencadangkan agar tabung yang sesuai digunakan untuk membantu dalam rekaan semula pengeluaran dan sistem pengangkutan supaya menjadi lebih mesra alam.
Negara-negara maju, katanya, mestilah komited dalam menawarkan pembiayaan dan teknologi kepada negara membangun bagi membentuk satu rejim iklim yang efektif selepas Protokol Kyoto berakhir pada 2012.
Pada sesi bersama pemimpin-pemimpin negara hutan hujan tropika antaranya Indonesia, Papua New Guinea, Costa Rica, Brazil dan beberapa negara Afrika, Syed Hamid berkata Malaysia berpendapat bahawa sebarang cadangan untuk melanjutkan Protokol Kyoto dan semua rundingan mengenai komitmen terhadap perubahan iklim, harus diadakan menerusi PBB.
Malaysia, katanya, juga bimbang bahawa perubahan iklim menjejaskan alam sekitar di seluruh dunia dan memerlukan perhatian segera.
Beliau berkata walaupun Malaysia tidak terikat dengan sasaran mengurangkan gas rumah hijau, kerajaan telah dan akan terus mengambil langkah menangani cabaran yang timbul akibat perubahan iklim itu.
Syed Hamid berkata tumpuan utama seharusnya diberi kepada usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di peringkat puncanya.
Beliau berkata Malaysia, yang kawasan tanahnya diliputi hampir 60 peratus hutan tropika semula jadi, sedar mengenai pentingnya hutan tropika dalam mengurangkan impak daripada perubahan iklim.
Syed Hamid berkata memandangkan hutan memainkan peranan besar dalam pembangunan sosio-ekonomi Malaysia, ia harus memulihara dan menguruskan hutannya secara berkekalan.
"Sementara menyedari bahawa penebangan hutan akan menyebabkan perubahan iklim, Malaysia masih perlu menggunakan hutannya untuk tujuan pembangunan dan pertanian," katanya.
Oleh itu, katanya, Malaysia dan negara membangun yang lain tidak boleh disekat daripada haknya untuk menikmati pembangunan khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan.
Mesyuarat khas itu adalah sebahagian daripada beberapa inisiatif yang diatur bagi mendapatkan komitmen politik menjelang Persidangan Perubahan Iklim PBB di Bali dari 3 hingga 14 Dis ini.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Syed Hamid berkata semakin banyak negara bersepakat mengenai pentingnya isu perubahan iklim ini ditangani segera.
"Ia bukan lagi satu teori. Semua pihak merasakan ia perlu ditangani sekarang," katanya.
Syed Hamid berkata kesepakatan dan kesedaran yang semakin meningkatkan ini akan memudahkan rundingan di Bali nanti.
Beliau berkata negara-negara hutan hujan tropika seperti Indonesia, Papua New Guinea, Peru, Costa Rica, Brazil, Colombia, Cameroon, Congo dan Gabon telah bersetuju mengambil pendirian yang sama dalam rundingan mengenai perubahan iklim berbanding pendapat yang berbeza-beza sebelum ini.
Syed Hamid juga berkata cadangan Malaysia supaya lebih banyak tabung ditubuhkan bagi membantu negara membangun melaksanakan inisiatif mengurangkan pelepasan gas rumah hijau telah mendapat respon yang baik.
"Jika negara membangun mahu menyelamatkan dunia, maka dunia juga mestilah menyelamatkan negara membangun," katanya.
Setiausaha Agung PBB Ban Ki Moon pula berkata beliau amat gembira kerana isu perubahan iklim dibincang secara konstruktif pada mesyuarat itu.
Bernama