Perkhidmatan komuter dilihat sebagai tanda aras pembangunan pengangkutan awam di negara ini sejajar dengan pembangunan Malaysia ke arah status negara maju menjelang 2020.
Pada 1995, perkhidmatan komuter diperkenalkan di Lembah Klang dan ia telah berjaya menarik 2.81 juta penumpang pada tahun yang sama.
Mod pengangkutan awam itu terus mendapat sambutan menggalakkan dengan peningkatan sebanyak 293.8 peratus atau 11.09 juta penumpang komuter setahun kemudiannya (1996). Jumlah itu meningkat secara konsisten dari tahun ke tahun.
Pada ketika itu, perkhidmatan komuter dilihat sebagai tanda aras pembangunan pengangkutan awam di negara ini sejajar dengan pembangunan Malaysia ke arah status negara maju menjelang 2020.
Komuter telah menjadi mod pengangkutan alternatif selain teksi atau bas serta sistem LRT dan monorel untuk bergerak dari suatu tempat ke tempat dengan bayaran berpatutan dan perkhidmatan yang memuaskan.
Terkini, selepas 12 tahun, statistik oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), perbadanan yang mengendalikan tren komuter, menunjukkan 34.97 juta penumpang menggunakan komuter pada tahun lepas, sekalipun lebih 5.2 juta penduduk Lembah Klang kini mempunyai pilihan untuk menggunakan LRT atau Monorel selain komuter untuk bergerak di sekitar ibu negara.
Khidmat komuter dilanjutkan hingga ke Seremban, Pelabuhan Klang dan Rawang.
PRESTASI KIAN MENURUN
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, prestasi perkhidmatan tren komuter dilihat semakin menurun dengan insiden kelewatan dan kerosakan tren yang kerap berlaku melunturkan keyakinan masyarakat terhadap mod pengangkutan awam itu.
"Saya kecewa kerana komuter yang satu ketika dulu menjadi kebanggaan menyebabkan kami kini dalam dilema dan masih terpaksa menggunakannya sebab tiada pilihan," kata penumpang komuter, Mehtar Abdul Hamid ketika ditemui Bernama di Stesen Komuter Seremban, baru-baru ini.
Jam tangan penulis baru menunjukkan pukul 6.40 pagi, namun beratus-ratus warga Seremban termasuk Mehtar, 49, telah memenuhi tren komuter yang bertolak ke ibu negara, kira-kira lima minit kemudiannya.
"Saya telah menggunakan komuter sejak empat tahun lepas tapi keadaannya tetap sama, masih ada tren yang tidak menepati masa. Ini termasuk perkhidmatan komuter ekspres.
"Kadang-kadang ada tren, kadang-kadang tak ada tren. Ini akan buat penumpang kelam-kabut," katanya resah menunggu komuter.
Mehtar merupakan salah seorang daripada lebih 4,000 warga Seremban yang bergantung kepada komuter setiap hari untuk pergi bekerja di ibu negara.
ELAK KESESAKAN
Mehtar berkata beliau menggunakan komuter bagi mengelakkan kesesakan lalulintas dan juga untuk menjimatkan kos.
"Peningkatan taraf hidup dan faktor kewangan juga memainkan peranan. Kalau saya naik kereta sekurang-kurangnya perlu RM40 sehari untuk minyak, tol dan parking tetapi dengan komuter saya hanya keluarkan RM6 sahaja," katanya merujuk kepada harga tiket komuter bagi perjalanan sehala daripada Seremban ke KL Sentral.
Tinjauan BERNAMA sejak setahun lepas mendapati KTM telah membuat beberapa penambahbaikan kepada infrastrukturnya seperti membina tempat berteduh yang lebih luas di hampir kesemua 45 stesen komuter, selain kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) dan pemasangan CCTV di beberapa stesen komuter utama.
Bagaimanapun, rata-rata penumpang yang ditemui masih belum berpuashati dengan mutu perkhidmatan komuter terutama masalah kelewatan tren komuter pada waktu puncak menyebabkan mereka terpaksa berhimpit-himpit dalam komuter seperti tin sardin.
PERLU LANGKAH MEMPERTINGKAT MUTU
Alvin Fan dari Kuala Lumpur dalam e-mailnya kepada agensi berita ini berkata tidak banyak perubahan yang berlaku walaupun kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah untuk memperbaiki mutu pengangkutan awam terutama komuter.
"Saya kesal kerana sehingga hari ini KTM masih ketinggalan dalam menawarkan khidmat memuaskan sedangkan kita berusaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Saya harap kerajaan serius dalam membawa penambahbaikan di sini.
"Ia bukan bangunan cantik dan struktur pengangkutan yang akan kekal dalam kenangan tetapi ia lebih kepada khidmat baik yang disediakan. Yang penting ialah keselesaan yang menggamit orangramai menggunakan perkhidmatan itu," katanya.
Fellow Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Shahrin Nasir berkata keberkesanan sesuatu sistem pengangkutan awam bergantung kepada dua faktor iaitu kebolehpercayaan dan keselamatan.
"Dua faktor ini akan memulihkan keyakinan masyarakat terhadap pengangkutan awam," katanya.
LEBIH RAMAI DIJANGKA GUNA KOMUTER
Kerajaan menggalakkan warga kota untuk menggunakan pengangkutan awam sejak mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 30 sen seliter pada Feb tahun lepas ekoran kenaikan harga minyak di pasaran dunia pada waktu itu.
Kini, lebih 450,000 orang menggunakan komuter, LRT dan Monorel dalam sehari di Lembah Klang.
Penganalisis industri melihat beberapa faktor termasuk kenaikan harga barang sejak kenaikan gaji kakitangan awam pada Julai lepas sebagai pendorong bagi lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam.
Sambil menyambut baik peruntukan RM12 bilion bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dalam Bajet 2008, mereka berpendapat kerajaan perlu membantu KTM/komuter daripada segi kewangan kerana ia adalah nadi kepada perkhidmatan tren di Lembah Klang.
Laporan Khas Oleh Syed Azwan Syed Ali
Bernama