BERBANDING Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bukan saja berbeza dari segi pendekatan, malah ia adalah lokasi kependudukan utama masyarakat Melayu di negara ini. Wilayah ECER yang merentangi empat negeri: Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing di Johor adalah seluas separuh Semenanjung dengan mempunyai 3.9 juta penduduk atau mewakili kira-kira 14.5 peratus daripada keseluruhan 26.8 juta penduduk negara ini. Walaupun meliputi kawasan seluas kira-kira 66,736 kilometer persegi, kebanyakan penduduk di kawasan wilayah ini masih dibelenggu masalah kemiskinan, pengangguran dan kebejatan sosial. Justeru, komitmen lebih tinggi oleh semua pihak di wilayah ini amat diperlukan. Misalnya di Kelantan dan Terengganu, kebanyakan rakyatnya adalah petani, nelayan dan pekebun kecil, tetapi pada masa sama sesetengahnya kaya dengan tanah. Kehadiran ECER diharap mampu menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi di wilayah berkenaan kerana Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah antara negeri yang purata pendapatan isi rumah penduduknya paling rendah di negara kita.
Persamaan ECER dengan WPI dan NCER ialah pelan pelaksanaannya disediakan sektor swasta. Pelan induk ECER yang dijangka membabitkan pelaburan berjumlah RM112 bilion dirangka oleh Petronas. Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur, yang dianggotai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dari empat negeri terbabit, dua menteri serta wakil sektor swasta, akan bertanggungjawab bagi memastikan pelaksanaan ECER berjalan lancar dan manfaatnya dinikmati oleh rakyat wilayah terbabit. Memandangkan majlis ini akan beroperasi sebagai sebuah entiti swasta serta mempunyai seorang ketua pegawai eksekutif, kita yakin isu kerenah birokrasi boleh dikurangkan kerana pembangunan in situ di wilayah terbabit akan lebih banyak dikaitkan dengan pentadbiran, seperti soal tanah. Satu daripada komponen penting dalam pelaksanaan ECER ialah strategi meningkatkan daya maju sektor hartanah di wilayah terbabit terutama memanfaatkan potensi tanah rizab Melayu, yang mewakili 40 peratus keluasan kawasan di ECER.
Bagaimanapun, paling penting untuk memastikan matlamat murni ECER itu mencapai kejayaan ialah perubahan sikap. ECER bukan saja memerlukan perubahan sikap rakyat, malah cara berfikir kakitangan serta pegawai kerajaan, selain pemimpin politik setempat sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang. Golongan ini perlu melihat projek raksasa ini sebagai usaha murni bagi memakmurkan negeri, bukannya peluang untuk mengaut kekayaan diri. Pemimpin politik setempat selepas ini harus membantu memberi penjelasan kepada rakyat supaya menjadi peserta aktif dalam pelbagai projek yang akan dilaksanakan, bukannya sibuk melobi untuk mengaut projek bagi kepentingan diri. Parti pembangkang pula, jika benar-benar mahu melihat pengikut mereka maju, tidak harus mempolitikkan ECER. Dengan perubahan sikap ini, kita yakin matlamat murni ECER dapat dicapai. Bayangkan, pelaksanaan ECER dijangka mewujudkan 561,000 peluang pekerjaan menjelang 2020 dengan kemiskinan tegar dihapuskan sepenuhnya. Peluang terbuka luas untuk semua kerana tumpuan akan diberikan kepada dua bidang utama di ECER, iaitu pertanian dan pelancongan, manakala sektor lain seperti minyak dan gas, petrokimia, pembuatan serta bioteknologi turut diberi keutamaan. Kita juga tidak harus melihat ECER dari segi angka ringgitnya saja kerana pembangunan di situ menjangkau sehingga 2020. Apa yang penting ialah memacu pertumbuhan wilayah itu supaya penduduk dan negeri Pantai Timur tidak lagi dianggap warga kelas dua di negara ini.
Berita Harian 21 September 2007