DALAM Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan lebih RM16 bilion untuk pembangunan pengajian tinggi, berbanding RM13.5 bilion pada Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8), menunjukkan kerajaan serius mahu memajukan sektor terbabit.
Berbanding dulu, kita memiliki hanya beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) yang sinonim dengan dunia pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia serta Universiti Teknologi Mara.
Kini Malaysia mempunyai 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan lebih 500 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Semua ini membuktikan pentingnya sektor pendidikan tinggi sebagai pemangkin atau penjana kecemerlangan negara pada masa depan dalam melahirkan modal insan berkualiti.
Persaingan hebat dalam dunia pekerjaan hari ini dan harapan menggunung pengajian tinggi boleh menjanjikan kehidupan lebih baik pada masa depan, menyebabkan setiap ibu bapa mensasarkan anak mereka menikmati pendidikan yang berakhir di universiti.
Ia juga membuat pelajar dan ibu bapa lebih teliti memilih institusi yang boleh memberi pendidikan berkualiti, relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan dengan harga berpatutan.
Kerajaan khususnya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ternyata peka dengan perubahan dan tuntutan ini. Oleh itu, pihak kementerian menjalankan kajian kepuasan terhadap pelanggannya.
Kajian menyeluruh yang dijalankan terhadap graduan IPTA dan IPTS mulai 2006 itu mencakupi pelbagai aspek penting, termasuk isu keselamatan kampus – iaitu satu isu yang semakin diberi perhatian serius kebelakangan ini oleh ibu bapa dan bakal pelajar, terutama pelajar antarabangsa dalam mencari destinasi pengajian.
Maklumat berkaitan keselamatan sesuatu negara atau sesuatu kampus biasanya diperoleh bakal pelajar melalui laporan media atau daripada blog khas diwujudkan oleh pelajar antarabangsa.
Maklumat diperoleh secara tidak rasmi ini biasanya memaparkan kejadian negatif terpencil yang boleh memberi gambaran tidak tepat.
Berikutan sudah ada beberapa universiti ternama sama ada dalam atau luar negara pernah berdepan dengan persoalan keselamatan yang serius, isu ini bukan lagi menjadi isu dalaman, malah menjadi isu negara.
Oleh itu, perkara ini tidak boleh dipandang remeh sebaliknya semua kampus perlu memberi perhatian sewajarnya. Universiti bukan saja berperanan menentukan kualiti graduannya, malah perlu meletakkan agenda isu keselamatan warga kampus sebagai agenda yang menjadi keutamaan supaya pelajar universiti di negara ini tidak berada dalam kepompong kebimbangan.
Kajian pengesanan graduan KPT bagi graduan 2006 meninjau persepsi graduan terhadap keselamatan di kampus masing masing. Oleh itu, faktanya boleh dijadikan asas sandaran mengenai tanggapan pelajar terhadap persoalan isu keselamatan kampus. Dalam kajian ini, graduan diminta menilai tahap keselamatan kampus mengikut skala berasaskan satu hingga lima.
Menurut ketua pasukan penyelidik, Prof Dr Md Yusof Abu Bakar, hasil kajian dijalankan secara keseluruhannya menunjukkan 86.3 peratus graduan memberi penilaian tahap keselamatan di kampus sebagai dalam kategori baik.
Ia bermakna ia berada pada satu tahap yang tinggi. Namun, IPT juga perlu mengambil inisiatif untuk melihat apakah perkara yang berkaitan dengan keselamatan membimbangkan segelintir pelajar mereka.
Oleh Ihsan Noorzali
Berita Harian 21 September 2007