Selasa, 25 September 2007

Produk limau nipis tembusi pasaran antarabangsa


LIMAU nipis atau nama saintifiknya 'Citrus Aurantifolia Rutaceae' bukan saja sesuai untuk diproses sebagai jus minuman, malah menjadi pilihan kebanyakan tukang masak untuk menambah keenakan masakan mereka.

Lebih daripada itu, limau nipis juga dikenal pasti banyak kegunaannya untuk tujuan perubatan seperti penjagaan kesihatan kulit, kebersihan rambut dan bahan membantu melangsingkan badan.

Dengan kepelbagaian kegunaannya, tidak hairanlah jika limau nipis mendapat permintaan yang baik di pasaran dan berpotensi dijadikan sebagai tanaman komersial yang mampu memberi pulangan lumayan.

Menyedari potensi itu, syarikat pengusaha tanaman buah-buahan, Kawan Pertanian Sdn Bhd, mengusahakan hampir 100 hektar kebun untuk tanaman limau nipis tanpa biji iaitu 30 hektar diusahakan di Pusat Projek Pertanian Moden Ayer Hitam dan bakinya di Bandar Tenggara.

Dianggarkan lebih 50,000 pokok limau ditanam dan pengusahanya, Hong Jok Hon, memilih limau nipis tanpa biji sebagai tanaman utamanya kerana limau jenis itu memiliki daya tahan penyakit serta potensi pasaran lebih baik berbanding limau nipis lain.

Hong berkata, pada peringkat awal beliau mencuba lapan jenis limau nipis untuk diusahakan secara komersial, namun selepas membuat kajian kira-kira tiga tahun dan mencuba limau nipis tanpa biji, beliau menemui baka sesuai untuk projek besar-besarannya itu.

"Pada Ogos 2005, saya mula menanam limau nipis tanpa biji ini dan selepas dua tahun, ternyata baka ini yang terbaik antara lapan jenis limau nipis yang ada. Baka ini mudah diuruskan, tahan penyakit, bersaiz besar serta mengeluarkan air dua kali lebih banyak berbanding limau nipis lain.

"Limau nipis tanpa biji ini sesuai untuk diproses sebagai jus minuman, selain dijual segar di pasaran tempatan dan luar negara untuk pelbagai kegunaan seperti menghasilkan bahan penjagaan kesihatan atau untuk masakan," katanya.

Hong berkata, pada mulanya beliau bimbang untuk melaksanakan projek besar menanam limau nipis, tetapi selepas mengenal pasti potensi pasarannya, terutama di Singapura mendorongnya untuk membuka kawasan lebih luas untuk tanaman itu.

"Walaupun sudah lama mengusahakan tanaman buah-buahan, saya sedar risiko melaksanakan projek besar menanam limau nipis ini, tetapi selepas membuat kajian teliti saya yakin usaha ini akan membuahkan hasil, sekali gus membantu mempelbagaikan keluaran hasil pertanian negara.

"Permintaan terhadap limau nipis kini semakin meningkat sama ada di pasaran tempatan mahupun antarabangsa. Sebab itu, kami membuka satu lagi ladang di kawasan Projek Pertanian Moden Ayer Hitam bagi menampung pengeluaran sedia ada di ladang kami di Bandar Tenggara," katanya.

Selain mengedar buah-buahan segar untuk pasaran tempatan dan luar negara, Kawan Pertanian turut membuka kilang jus di Kulai dalam usahanya memproses sendiri produk asas tani yang dikeluarkan dari kebunnya.

Produk asas tani khususnya jus limau nipis yang dihasilkan dari kilang berkenaan kini sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan pada peringkat permulaan mereka menumpukan pasaran Singapura dan Thailand.

Oleh Mohd Roji Abdullah

Berita Harian 21 September 2007