Selasa, 25 September 2007

Persidangan unik promosi Malaysia


Stockholm, Sweden


Pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan diberi 20 minit berbincang

FORUM Pembangunan Laluan Dunia (Routes) bermula pada 1995 di Cannes, Perancis dengan penyertaan kurang daripada 100 delegasi. Kini, selepas 13 tahun, acara ini kekal tersenarai dalam peta industri perkhidmatan udara global yang memperlihatkan peningkatan positif dengan kehadiran lebih 2,500 delegasi dari seluruh dunia, sekali gus membuktikan keberkesanan persidangan tahunan ini.

Forum yang sentiasa dinanti-nantikan ini juga menggambarkan pentingnya hubungan komersial antara lapangan terbang dan syarikat penerbangan. Kedua-dua pihak ini jugalah yang bekerjasama untuk menjamin pembangunan perkhidmatan udara dari segi penguatkuasaan, ekonomi dan pelancongan.

Bagi edisi 2007, Routes akan mengumpulkan wakil 300 syarikat penerbangan dan 700 lapangan terbang dari seluruh dunia, yang akan berkampung selama tiga hari di bandar raya Scandinavia yang indah, Stockholm, Sweden.

Malaysia diwakili pengendali lapangan terbang berpengalaman, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) yang bersiap sedia lengkap dengan dua pasukan profesionalnya untuk mempromosi, meneroka pasaran baru dan mencari peluang melebarkan sayap operasinya.

Kehadiran MAHB kali ini lebih gah dengan delegasi hampir 50 orang – jumlah terbesar bagi forum kali ini, sesuai dengan kedudukannya selepas berjaya membida tempat menjadi tuan rumah Routes 2008.

Berbekalkan semangat kemerdekaan negara ke-50 yang masih membara, MAHB memikul tugas dan tanggungjawab berat membawa nama negara pada persada antarabangsa dengan mengatur strategi pemasaran dan publisiti, selain mahu memastikan Routes yang akan dibawa ke negara ini setahun lagi, dekat di hati masyarakat tempatan.

Bagi menjamin kejayaan forum itu di Kuala Lumpur nanti, MAHB mengambil inisiatif membawa bersama rakan kerjasama dalam industri perkhidmatan udara tempatan, termasuk hos bersama Routes 2008 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), selain Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), Petronas, Pelancongan Malaysia, KL Airport Services Sdn Bhd, Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), Sri Sutera Travel dan Penerbangan Malaysia (MAS).

Menerusi Routes 2007 ini, dijangka lebih 25,000 pertemuan diatur untuk membincangkan potensi dan menawarkan peluang perniagaan dengan matlamat sama – pembangunan perkhidmatan udara. Lebih menarik, setiap pertemuan ditetapkan untuk tempoh 20 minit dengan wakil syarikat penerbangan dan lapangan terbang beralih meja dari semasa ke semasa mengikut tempahan awal menerusi Sekretariat Routes.

Menjelaskan pengalaman MAHB dalam Routes, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Bashir Ahmad, berkata setiap kali loceng dibunyikan, wakil mana-mana pihak terbabit perlu segera meninggalkan tempat duduk kerana ramai yang menunggu giliran.

"Sebagai acara terbesar yang menarik minat pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan, tentunya setiap delegasi mempunyai matlamat masing-masing, sama ada menerusi pertemuan selama 20 minit diatur Sekretariat Routes, perbincangan diatur sendiri atau forum membabitkan pemimpin kanan yang hadir.

"Bagaimanapun, pertemuan 20 minit itu tidak harus dipandang remeh kerana walaupun singkat, percayalah ia berbaloi dan berdasarkan pengalaman lalu, Routes berjaya mencatatkan beberapa kejayaan apabila sekurang-kurangnya tujuh syarikat penerbangan bersetuju memilih Malaysia destinasi baru mereka," katanya.

Sambil menyifatkan sebagai persidangan unik yang mampu memberi pulangan berbaloi untuk pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan, beliau percaya Routes 2007 akan mengekalkan keunggulannya.

Malah, katanya, persidangan itu dianggap masa paling sesuai mempengaruhi syarikat penerbangan dan lapangan terbang dunia memilih destinasi baru, selain membuka ruang mengetengahkan jenama masing-masing.

Bashir berkata, kali ini, MAHB yang mengendalikan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 38 lapangan terbang lain membentuk dua pasukan profesionalnya yang akan mengadakan tujuh mesyuarat strategik dan 30 mesyuarat dengan syarikat penerbangan dan lapangan terbang.

"Kelainan kali ini yang tentu akan mendapat perhatian adalah Forum Pemimpin Routes yang dihadiri pembuat dasar di kalangan pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan apabila nama besar dalam industri ini disenaraikan sebagai panel yang akan mengetengahkan pandangan mengenai cabaran dan pembangunan industri berkenaan," katanya.

Selain Bashir sendiri, turut hadir CEO AirAsia X, Azran Osman Rani; Presiden Emirates Airline merangkap Pengarah Urusan Sri Lankan Airline, Tim Clark; Naib Presiden Pemasaran dan Jabatan Komunikasi Korporat Lapangan Terbang Dubai, Anita Mehra Homayoun; CEO British Airways Plc, Willie Walsh dan Pengarah Kumpulan Pembangunan Route dan Pengarah Urusan ASM, David Stroud.

Kehadiran 'orang kuat' industri ini bagi Bashir akan memberi harapan cerah untuk MAHB mempromosi Routes 2008 nanti dengan kerjasama rakan lain, termasuk konglomerat media tempatan, Media Prima Berhad diberi mandat sebagai rakan media rasmi acara itu.

"Kita mahu mereka berkunjung ke Kuala Lumpur dan untuk itu pelbagai strategi akan dilaksanakan untuk memastikan Routes 2008 mencatat sejarah cemerlang, lebih-lebih lagi Malaysia menjadi negara Asia pertama diberi mandat menganjurkan persidangan bertaraf dunia ini," katanya.

Dengan perkembangan pesat penswastaan di Eropah Timur, rantau itu turut mempunyai wakilnya, selain kuasa ekonomi di Asia dan Amerika Latin. Malah, lapangan terbang utama Afrika juga akan menghantar wakil untuk bersama mengatur peluang bagi menerokai sektor penerbangan.

Persidangan berprestij ini juga dapat meletakkan semua yang terbabit di hadapan kerana apa juga maklumat terkini mengenai industri itu dapat diperoleh, sekali gus melambangkan impak dan profil dunia pembangunan perkhidmatan udara yang tinggi dan mampu meletakkan apa juga jenama pada tahap tinggi.

Ketika di Dubai tahun lalu, MAHB mencatat beberapa kejayaan apabila syarikat penerbangan antarabangsa seperti Etihad Airlines berpangkalan di Abu Dhabi menyatakan komitmen untuk beroperasi di KLIA, begitu juga Finnair dan Kuwait Airways.

Pada forum yang dianggap platform penting bagi kegiatan pemasaran, MAHB berpeluang mengadakan pertemuan dengan 40 syarikat penerbangan antarabangsa, termasuk dari China dan Eropah dengan sebahagian besarnya menunjukkan minat tinggi untuk beroperasi di KLIA. Malah, pada acara sama, British Airways menunjukkan minat menyambung semula operasi di Kuala Lumpur.
Tahun lalu juga menyaksikan KLIA memperoleh pengiktirafan tertinggi bagi kategori antara 10 juta hingga 24 juta penumpang apabila memperoleh Anugerah Pemasaran Lapangan Terbang OAG 2006, sekali gus mencerminkan usaha gigih pemasaran bagi menjadikan KLIA hab penerbangan terkemuka di rantau ini.

Oleh Norfatimah Ahmad di Stockholm, Sweden

Berita Harian 21 September 2007