Selasa, 25 September 2007

Tren Menuju Ke `Bumbung Dunia'


Semasa fajar menyingsing, bunyi bisikan di koridor tren semakin ketara. Para penumpang yang ada antaranya masih mengantuk berebut-rebut untuk menjenguk keluar tingkap semasa lokomotif berwarna hijau ini mendekati stesen Golmud.

Selepas sahaja tren berhenti, mereka mula berpusu-pusu keluar untuk meregangkan kaki masing-masing dan menghirup udara segar selepas bermalam dalam tren dari Xining. Ada yang mengambil kesempatan untuk merokok. Ada pula yang merakam gambar.

Selamat datang ke Ekspres Qinghai-Tibet.

Khidmat keretapi ini yang baru berusia lebih setahun menjadi pilihan utama mereka yang mahu ke `bumbung dunia', iaitu gelaran bagi negara Tibet.

Sebelum adanya perkhidmatan ini, negara terpencil ini di kawasan pergunungan dihubungkan oleh perjalanan darat dan udara sahaja.

Landasan keretapi ini yang merentasi salah satu daripada rantau yang paling sensitif di dunia daripada segi alam sekitar, satu daratan beku yang begitu luas dan tidak berpenghuni, serta mendaki gunung Tanggula yang ketinggiannya lebih 5,000m, dianggap sebagai satu keajaiban daripada segi kejuruteraan.


SEMUA KERETAPI SAMPAI KE XINING TERLEBIH DAHULU

Landasan itu berakhir di Lhasa Zhan (Stesen Lhasa) yang rekabentuknya paling sinonim dengan Tibet, iaitu Istana Potala, yang boleh dilihat semasa tren menghampiri stesen itu.

Setiap hari, empat tren penumpang memasuki ibu negeri Tibet - satu perkhidmatan harian dari Beijing dan yang datang berselang hari dari Guangzhou atau Shanghai, Chongqing atau Chengdu dan Xining atau Langzhou. Beijing telah mengumumkan rancangan untuk melanjutkan landasan keretapi ini hingga ke Xigaze, bandar kedua terbesar di Tibet, lebih kurang 250km dari barat daya Lhasa.

Sehingga 5,000 penumpang tiba di ibu negara Tibet setiap hari. Penumpang boleh menaiki tren itu dari tujuh bandaraya China - Beijing, Guangzhou, Shanghai, Chongqing, Chengdu, Xining atau Lanzhou.

Para pegawai Tibet berharap dapat menarik kedatangan tiga juta pelancong dengan perkhidmatan tren ini yang mampu menjana pendapatan sebanyak 3.4 bilion yuan.

Dan kesemua tren ini perlu melalui Xining, ibu negara wilayah Qinghai di barat laut China.

Perjalanan tren dari Xining ke Lhasa merupakan yang termurah daripada segi tambang tetapi mengambil masa hampir 26 jam untuk menempuh jarak 1,956km.

Harga tiket dari Xining bermula daripada 226 yuan (RM103) bagi tempat duduk biasa. Tempat tidur tanpa tilam dan yang bertilam masing-masing ditetapkan harga 423 yuan (RM192) dan 810 yuan (RM368). (RM1 = 2.2 yuan)

Memandangkan perkhidmatan itu bermula pada pukul 8 malam, para penumpang tidak dapat menikmati keindahan Tasik Qinghai, tasik masin di pedalaman yang terbesar di China dan tempat pembiakan popular bagi burung-burung berhijrah.


PEMANDANGAN MENAKJUBKAN

Golmud terletak 814km ke barat dari Xining. Dari situ, Lhasa terletak 1,142km lagi merentasi penara Qinghai-Tibet, yang berada 4,000 meter dari paras laut. Landasan keretapi itu menembusi gunung dan merentasi jambatan di banyak tempat.

Pemandangan yang menakjubkan di luar tingkap menggamit para perantau veteran untuk memilih tren itu. Dataran berangin, bukit berbatu tajam, gunung yang diliputi salji dan glasier yang kelihatan jauh di sudut mata mengindahkan lagi landskap.

Penara itu juga merupakan titik permulaan beberapa daripada sungai terkemuka seperti Yangtze di China dan Mekong yang mengalir hingga ke Asia Tenggara. Sungai Tuotuo yang mengalir antara gunung Kunlun dan Tanggula, merupakan sumber Yangtze.

"Pemandangan di luar begitu cantik, saya akan datang lagi walaupun ini bukan tren untuk pelancong antarabangsa," kata Daniel Knutti yang merupakan salah seorang daripada enam warga Switzerland di atas tren Xining-Lhasa.


KESELESAAN ASAS

Makanan yang dihidangkan di tren itu agak standard tetapi air panas sentiasa terdapat bagi membuat mi segera atau untuk membancuh teh atau kopi segera.

Sarapan pagi yang terdiri daripada bubur biasa, satu `man tou' yang distim, sebiji telur rebus dan satu hidangan lobak merah kering berempah, kacang panjang goreng dan salad timun boleh didapati pada harga 10 yuan.

Makan tengah hari di koc bufet merupakan hidangan enam lauk bagi empat orang yang harganya dari 200 yuan hingga 400 yuan, tanpa minuman. Tetapi perlu makan dengan cepat kerana tempat duduk di koc ini terhad dan setiap penumpang diberi masa 20 minit untuk makan dan mengosongkan tempat untuk kumpulan berikut.

Mereka yang tidak membuat tempahan boleh juga membeli hidangan tersedia yang dijual di atas troli di koc penumpang pada harga 20 yuan, dengan iringan peha ayam rendidih dalam sos bagi 20 yuan lagi dan satu mangkuk potongan buah tembikai pada harga 5 yuan.

Pengumuman berulang kali dibuat dalam bahasa Mandarin mengingatkan larangan merokok semasa sistem oksigen dihidupkan dalam perjalanan dari Golmud apabila tren itu mula mendaki cerun gunung.


PARAS TINGGI MENYUKARKAN PERNAFASAN

Naqu yang terletak di wilayah Tibet semasa turun daripada pergunungan Tanggula merupakan satu-satunya stesen di mana penumpang dibenarkan keluar selepas Golmud. Terletak 4,513m dari paras laut, ia merupakan antara pekan pada paras tertinggi di rantau.

Ia hanya mengambil masa beberapa minit semasa berada di luar untuk mengalami kesan yang lazim semasa berada di paras tinggi. Rasa pening, kesukaran bernafas dan keletihan, menandakan permulaan kesan paras tinggi ataupun `altitude sickness' di Tibet.

Timbalan ketua Stesen Keretapi Lhasa, Xu Haipin, berkata selalu berlaku keadaan di mana penumpang tidak dapat membiasakan diri dengan paras tinggi ini dan mereka akan diminta turun di perhentian berikutnya.

Dari Golmud ke Lhasa, setiap tren membawa dua orang doktor, tambah beliau.

Penduduk tempatan akan mengesyorkan kapsul `hongjingtian' berwarna merah yang diperbuat menggunakan ginseng Tibet yang dikatakan dapat membantu tubuh menyerap lebih banyak oksigen. Juga dikenali sebagai `Sulormabau' dalam bahasa Tibet, ia dijual dengan meluas di Lhasa dalam bentuk minuman dan juga hirisan herba kering.

Bagaimanapun, adalah lebih baik mengambilnya beberapa hari lebih awal, katakan seminggu sebelum memulakan perjalanan, kata seorang pembantu di tren Xining-Lhasa.

Oleh Tham Choy Lin
Bernama