Pemimpin perlu elak penyelewengan kuasa jamin keberkesanan pentadbiran
RAMADAN menguji umat Islam dari segi ketabahan, kesabaran, kekuatan mental dan fizikal, meningkatkan keinsafan dan berusaha gigih menukar sikap yang melambangkan kelemahan diri. Tuntutan meningkatkan amal ibadat dan kebaikan ini tidak terbatas pada bulan puasa saja.
Jika ia seorang ibu atau bapa kepada keluarganya, mereka perlu tingkatkan mutu kepemimpinannya kepada keluarga dari semasa ke semasa. Bagi seseorang pemimpin rakyat atau pemimpin politik, tanggungjawab mereka tentulah lebih besar kerana kelemahan dan kekurangan pada dirinya akan memberi kesan negatif kepada sebegitu ramai manusia di bawah kepemimpinannya.
Dalam menghadapi cabaran dunia hari ini, kekuatan dalaman seseorang pemimpin amat penting untuk meneruskan kelangsungan atau survival rakyat dan masa depan negaranya. Di Malaysia, cabaran bertambah hebat kerana negara ini dihuni tiga kaum utama – Melayu, Cina dan India yang memerlukan mereka saling faham-memahami dan bertolak-ansur antara satu dengan lain. Selain menghadapi situasi pelbagai perbezaan pandangan, persepsi dan tindakan, setiap pemimpin juga terpaksa menghadapi cabaran global.
Bagi pemimpin politik Melayu, mereka bukan saja mempunyai tanggungjawab yang besar, malah perlu melaksanakan kewajipan kepada bangsa dan negara berlandaskan prinsip dan etika yang ditetapkan oleh Islam dan perundangan yang wujud di negara ini. Tanggungjawab ini, termasuk undang-undang untuk umat Islam, perlu dilaksanakan meskipun negara itu didiami oleh rakyat pelbagai kaum.
Dalam Islam, politik adalah diharuskan, malah ia adalah satu ibadat. Bagaimanapun, amalan politik itu mestilah mengikut lunas-lunas yang diredai Allah SWT. Nilai-nilai politik Islam sekiranya dihayati dan dijadikan pegangan boleh menyokong kewibawaan seseorang ahli politik. Ia adalah asas pertimbangan yang penting bagi seseorang ahli politik. Apabila seseorang pemimpin Melayu dan Islam itu berjaya melaksanakan tanggungjawabnya, secara automatik ia menjadi pemimpin contoh, Pemimpin contoh mempunyai ciri-ciri pemimpin yang berwibawa dari semua aspek selain disegani semua pihak meskipun daripada masyarakat yang bukan sebangsa dan seagama dengannya.
Bagi melaksanakan perjuangan politik Islam sebagai model contoh, Islam menuntut agar umatnya memelihara dua perkara – pertama, niat yang diredai Allah SWT. Ia bermaksud niat yang ikhlas bagi tujuan kebaikan dan menegakkan agama Islam dalam bentuk yang lengkap dan menyeluruh, kedua ialah dengan menggunakan cara yang diredhai oleh Allah SWT.
Ini bermaksud cara politik yang diharuskan dan tidak melanggar batas-batas agama dan kemanusiaan. Sebarang tindakan hendaklah sentiasa merujuk pada sumber utama perundangan Islam serta memahami dengan jelas asas politik dalam Islam.
Niat dan cara yang diredai Allah akan menjadikan berpolitik sebagai satu ibadat yang pastinya mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Di samping itu, politik yang berlandaskan Islam dalam semua bentuk pelaksanaannya adalah salah satu bentuk dakwah. Politik yang diredai Allah SWT dan pendekatan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dalam menegakkan pemerintahan perlu dijadikan panduan asas dalam pentadbiran politik.
Sebuah masyarakat yang tersusun diterajui oleh kepemimpinan yang mampu menentu dan mengemudi hala tuju yang jelas dan bermakna. Menurut perspektif Islam, menegakkan institusi politik dan kepemimpinan menjadi keperluan bagi masyarakat. Oleh itu, seseorang ahli politik perlu mempunyai kewibawaan diri tersendiri tambahan pula mereka adalah golongan yang diletakkan sebagai pemimpin. Bagi politik Melayu, ciri-ciri politik perlu merangkumi pelbagai aspek.
Paling penting seseorang itu mestilah mempunyai sahsiah yang tinggi. Ia begitu penting dalam politik Melayu kerana masyarakat Melayu sentiasa menjadikan ahli politik sebagai role model sama ada segi keperibadian, tingkah laku, pergaulan, pemikiran atau wawasannya. Seseorang yang bersahsiah tinggi juga menjadikan akidah Islam sebagai pegangan, pengendali tingkah laku dan landasan berfikir serta menghiasi peribadi dengan akhlak yang mulia dan terpuji.
Ahli politik Melayu bersahsiah tinggi mudah menyesuaikan diri dengan masyarakat dan berusaha menjamin hak rakyat atas dasar prinsip mendahulukan kepentingan ramai dari kepentingan diri. Kesempurnaan sahsiah juga perlu disokong dengan kekuatan roh, akal, emosi dan jasmani.
Apa pun, ahli politik perlu memiliki sikap positif. Apa juga sikap positif termasuk adil, melaksanakan amanah, menegakkan kebenaran, sabar, bersungguh-sungguh, bertimbang rasa, berdisiplin, bertolak ansur dan sebagainya kerana ia akan menjadi contoh kepada pengikutnya. Sikap positif ini penting bagi menjamin perjalanan politik dan pelaksanaan tugas dapat dijalankan dengan berkesan.
Memiliki daya tahan dalam menguruskan perjalanan politik dan kesediaan menghadapi cabaran amat penting bagi ahli politik Melayu kerana arena politik mempunyai dugaan dan ujian yang hebat. Kemampuan menghadapi risiko dan berani dalam perjuangan akan menjadikan seseorang ahli politik tidak hanya mementingkan keperluan diri sendiri sebaliknya mampu menyelesaikan permasalahan rakyat. Ahli politik juga perlu memiliki daya tahan mental seperti sentiasa berfikiran positif, bersikap terbuka, berfikiran jauh, optimis dan berani.
Satu lagi ciri penting ahli politik Melayu ialah kesanggupan mereka menerima kritikan. Mereka juga sedia melakukan muhasabah diri dan bersedia menerima teguran dan nasihat orang lain. Seseorang ahli politik yang layak menempatkan dirinya sebagai pemimpin seharusnya mencontohi Nabi Muhammad SAW yang bersifat benar, amanah, menunaikan janji serta bijaksana.
Tidak dapat dielakkan, seseorang ahli politik perlu mempunyai ilmu pengetahuan tinggi terutama dalam bidang politik dan pentadbiran kerana sebagai sebuah negara berperlembagaan, politik Melayu terikat dengan undang-undang dan peraturan tertentu. Oleh itu, ahli politik Melayu perlu mempunyai ilmu yang tinggi supaya mampu menjalankan tugas membangunkan negara selaras dengan perlembagaan negara. Hasil pemikiran yang berkualiti hanya lahir dari corak dan daya pemikiran yang berkualiti.
Ahli politik Melayu perlu menukar kaedah berfikir supaya mampu melahirkan idea lebih positif, bernas, kreatif, inovatif dan mempunyai fokus yang jelas serta memiliki kebijaksanaan menyelesaikan masalah dalam setiap strategi perancangan yang dilaksanakan. Tidak dinafikan untuk mencapai tahap berkenaan menuntut usaha gigih, latihan dan penghayatan yang berterusan. Di samping itu, ahli politik berpotensi menjadi sumber rujukan dan penyumbang ilmu kepada masyarakat.
Justeru, ahli politik yang berwibawa harus sentiasa menanamkan sifat dahagakan ilmu dalam diri supaya membuka ruang kepada mereka untuk meneroka idea baru dan peka pada perkembangan semasa. Ilmu di dada juga akan membolehkan seseorang pemimpin melaksanakan strateginya membangunkan bangsa dan negara. Ciri-ciri ini amat penting kerana ia adalah kemahiran yang dikurniakan kepada mereka yang bergelar pemimpin. Mereka mempunyai pemikiran yang lebih jauh ke depan daripada orang lain di samping dapat merangka perancangan untuk masa akan datang.
Ciri-ciri lain termasuk kemahiran berkomunikasi kerana ia adalah wahana kepada pemikiran dan gagasan yang ingin disampaikan kepada rakyat dan pengikutnya.
Setiap pemimpin perlu mengelakkan kesalahan menggunakan kuasa, sebaliknya perlu menjaga integriti masing-masing. Penggunaan kuasa secara amanah dan bertanggungjawab dapat menjamin keberkesanan pelaksanaan pentadbiran untuk faedah masyarakat. Sifat amanah, telus dan jujur menjadi perisai bagi seseorang ahli politik daripada terjebak pada salah laku politik yang antara lainnya termasuklah politik wang, pilih kasih dan rasuah. Ahli politik yang berintegriti amat memelihara nilai moral dan etika politik kerana menginsafi bahawa sekiranya ia dilanggar bukan saja mengkhianati amanah yang diberi tetapi lebih buruk lagi akan mengundang kemurkaan Allah SWT.
Oleh Dr Mohd Radzi Abdul Latif
Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM).
Berita Harian 26 September 2007