Rabu, 26 September 2007

Inisiatif cukai tingkat kualiti alam sekitar



SALAH satu insentif yang dicadangkan dalam Bajet 2008 ialah pengurangan pelepasan gas rumah kaca yang menyumbang kepada pemanasan global. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggariskan sasaran kerajaan untuk menarik pelaburan dalam projek pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

Menerusi Protokol Kyoto, syarikat yang berjaya mengurangkan pelepasan gas rumah kaca akan diberi Certified Emission Reduction (CER) yang boleh diperdagangkan. Bagi menggalak syarikat menyertai projek ini, pendapatan diterima menerusi perdagangan sijil CER diberi pengecualian cukai. Insentif itu sangat instrumental kepada pembangunan Malaysia sekurang-kurangnya dalam tiga aspek.

Pertama, Protokol Kyoto menyediakan mekanisme kewangan untuk membolehkan negara maju yang telah ditetapkan sasaran pelepasan gas berasaskan tahun1992 untuk ‘membeli’ jumlah kredit karbon di negara-negara membangun.

Dalam konteks ini, negara membangun tidak ditetapkan tahap pengurangan karbon. Sebarang pengurangan adalah insentif bagi membolehkan jumlah setara dalam CER dibayar. Biasanya, pembayaran itu dilakukan dengan pelaksanaan projek mesra alam dan kawalan pencemaran yang dibiayai sepenuhnya, seperti pembinaan loji rawatan enap cemar, sisa industri, insinerator dan tapak pelupusan sampah yang bebas-metana atau kurang-karbon.

Kedua, mekanisme Protokol Kyoto membantu menyediakan kos pembinaan kemudahan pengawalan alam sekitar yang ketika ini masih menjadi masalah di negara membangun, termasuk Malaysia. Sebagai contoh Kuala Lumpur masih belum dilengkapi kemudahan insinerator kerana kos pembinaan dan operasi agak tinggi.

Ketiga, pengecualian cukai sebagaimana dicadangkan Bajet 2008 adalah insentif berganda kepada pihak syarikat atau pemaju. Mereka bukan saja memperoleh pembiayaan dari negara maju yang menandatangani Protokol Kyoto malah dapat menikmati pengurangan cukai dari Kerajaan Malaysia.

Protokol Kyoto dirangka dengan menyedari kelemahan paradigma pengurusan alam sekitar konvensional yang sarat dengan pelbagai polisi, garis panduan dan perundangan kerajaan. Ini mengurangkan pembabitan awam, khususnya dari segi komitmen kewangan.

Mekanisme perdagangan karbon ini selaras dengan polisi dan inisiatif baru dalam RMK-9 bagi memastikan alam sekitar lebih lestari dan berkualiti. Dari segi skop, aspek alam sekitar dalam RMK-9 dinyatakan dalam lima konteks, iaitu: (a) pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, (b) sumber asli dan alam sekitar (c) perumahan dan perkhidmatan bandar, (d) tenaga mampan dan (e) pembangunan sains, teknologi dan inovasi.

Dalam konteks Bajet 2008, dan selari dengan semangat yang tersirat dalam RMK-9 itu, saya mencadangkan agar insentif kewangan tambahan turut diberikan kepada inisiatif pencegahan pencemaran dengan memperkenalkan cukai alam (green tax) kepada sektor yang memberi impak negatif kepada pelestarian alam sekitar. Pada hemat saya, cukai alam wajar diperkenalkan kepada penggunaan barangan plastik, pembaziran air dan penggunaan kenderaan persendirian di bandar utama.

Barangan, terutama beg plastik menyebabkan masalah besar dalam pengurusan sisa pepejal. Dari segi komposisi, sisa plastik adalah lebih 16 peratus daripada isi padu sisa pepejal di Malaysia. Sisa plastik sukar mereput secara tabii dalam tapak pelupusan sampah.

Ketika ini, banyak pihak cuba untuk mengitar semula sisa plastik, khususnya botol resin plastik (polyethylene terephthalate, PET), antara lain boleh dijadikan fiber sintetik untuk membuat barangan seperti kemeja-T. Bagaimanapun tidak semua sisa plastik boleh dikitar semula dan menghasilkan gas beracun jika dibakar.

Banyak negara melaksanakan cukai alam sekitar kepada beg plastik yang digunakan dengan meluas dalam bidang peruncitan. Contoh terkini ialah di Ireland di mana cukai sebanyak 10p dikenakan kepada beg plastik di pasar raya.

Dengan cukai itu, penggunaan beg plastik tidak boleh dikitar semula berkurangan 1 bilion (penggunaan sebelum cukai dikenakan ialah 1.2 bilion). Di samping itu Kerajaan Ireland berjaya mengutip cukai 3.5 juta pound setahun yang kemudian dibelanjakan untuk membiayai inisiatif pencegahan pencemaran lain.

Saya juga mencadangkan cukai alam sekitar dikenakan kepada pembaziran air. Dengan kata lain, struktur harga air perlu dirangka dengan mengambil kira soal pelestarian alam sekitar, selain tanggungjawab sosial. Pelestarian bermaksud memastikan tahap penggunaan air optimum, tetapi mencukupi untuk kegunaan domestik dan industri secara berhemat.

Sehubungan itu, penyelarasan tarif bekalan air ini wajar dilakukan kerana harga air yang terlalu rendah tidak menggalakkan pengguna berhemat. Dalam konteks pencegahan pencemaran, sebagai contoh, harga air murah tidak menggalakkan inisiatif kitar semula di industri sebagaimana berleluasa kini.

Pengenalan cukai alam sekitar juga perlu dimulakan kepada sektor lain yang mempunyai kesan langsung kepada alam sekitar, terutamanya penggunaan kenderaan persendirian di bandaraya utama dengan mengenakan cukai alam sekitar kepada bayaran letak kereta sebagaimana yang dilakukan di banyak bandar raya utama seperti London, Tokyo dan Singapura. Hal ini menggalakkan pengguna menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, dan secara tidak langsung mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara.

Sekali imbas, inisiatif cukai alam sekitar ini tampak membebankan pengguna. Namun inisiatif itu berjaya dilaksanakan di beberapa negara menunjukkan bahawa cukai alam sekitar memberi kesan positif bukan saja meningkatkan kualiti alam sekitar, malah mendorong kesedaran awam untuk melestarikan alam sekitar dan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dengan kata lain, inisiatif cukai alam sekitar menyuburkan pembinaan minda lestari dan gaya hidup mesra alam.

Oleh Dr Zaini Ujang

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia.

Berita Harian 26 September 2007