Rabu, 26 September 2007

Musibah perubahan sosiobudaya


Jill Dando

SEBAGAI seorang yang pernah tinggal di England lebih 20 tahun, maafkan saya jika sedikit pun tidak terperanjat dengan kejadian sedih yang menimpa adik Nurin Jazlin Jazimin.

Dan sehingga hari ini tuduh-menuduh masih berterusan, polis tuduh ibu bapa, orang ramai menuduh polis dan polis pula dikatakan sedang memikirkan kemungkinan mendakwa ibu bapa Nurin Jazlin kerana mengabaikannya.

Sebaliknya, tidak siapa pun memikirkan bahawa tragedi Nurin dan lain-lain seperti Nurul Hanis, Siti Nadirah, Norsyakila, Nurul Huda Ghani dan Haserawati Saridi, sedikit sebanyak merupakan musibah daripada ‘persekitaran sosial dan budaya’ yang kita sendiri ‘cipta’ sejak akhir-akhir ini.

Secara sinis kita boleh simpulkan bahawa jenayah-jenayah seks yang juga melibatkan kanak-kanak adalah berupa asam garam cara hidup kebaratan yang mementingkan konsumerisme dan hiburan.

Kejadian-kejadian ini tidak kedengaran berlaku di negara-negara Islam miskin dan ‘kolot’ seperti Pakistan atau Yemen kerana kaum wanita dan kanak-kanak perempuan mereka tidak kelihatan dan berkeliaran sesuka hati di sana sini.

Di Malaysia kita bagaikan tidak tidur langsung, penghidupan berjalan 24 jam sehari. Bagi anak-anak muda, kedai-kedai mamak nasi kandar sekarang dibuka sepanjang masa dan kalau perlukan apa-apa, kedai runcit 24 jam pun ada.

Saya tidak tahu di mana datangnya budaya ini. Di England sendiri pusat-pusat beli-belah dan gedung-gedung pakaian seperti Marks & Spencer ditutup pukul 6 petang atau selewat-lewarnya pukul 8 malam.

Kita di sini tak cukup dengan pusat beli-belah mewah dan ekonomi serta pasar malam dibuka hingga 10 malam, fenomena baru ialah budaya pasar larut malam dari pukul 9 malam hingga 2 atau 3 pagi. Kedai arak di England dan Amerika Syarikat (AS) dibuka pada masa- masa terhad. Kita di sini minuman arak boleh dibeli di kedai 24 jam sepanjang masa.

Bukan itu sahaja pelbagai konsert hiburan diadakan di sana sini tak henti- henti.

Ini bermakna orang akan keluar rumah selalu sama ada hendak membeli-belah, berjalan-jalan berserta anak- anak malah paling teruk ada yang meninggalkan anak-anak di rumah bertemankan TV dan komputer sahaja.

Jadi suasana penuh hiburan ini yang tidak kurang pula dijanakan oleh dadah maka muncullah manusia-manusia bersifat haiwan yang sentiasa bermimpikan sesuatu yang mereka tidak dapat capai secara biasa.

Ada juga manusia haiwan ini yang berupa orang biasa, berkelulusan tinggi, berkeluarga tetapi melibatkan diri dengan gejala-gejala gila seks yang di luar kebiasaan termasuk seks dengan kanak- kanak iaitu golongan pedofilia.

Bank data yang dikumpulkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan AS dan Scotland Yard (Great Britain) mendapati ada golongan ini terdiri daripada hakim, pegawai tinggi polis dan pelbagai jenis orang terhormat.

Dalam keadaan sekarang, saya pasti gejala-gejala ini akan muncul di negara-negara sebelah sini seperti kes-kes flashing (tunjuk kemaluan kepada wanita) atau peeping tom.

Mungkin ada yang bersetuju kalau saya katakan suasana di Malaysia merupakan satu ‘syurga’ kepada golongan pedofilia atau mereka yang sentiasa berfantasikan seks dengan wanita-wanita cantik.

Kanak-kanak perempuan kedapatan di mana-mana sahaja termasuk di malam hari. Adakah seseorang itu hanya berani setakat berfantasi sahaja?

Di kaca-kaca TV kita, wanita-wanita cantik di dalam drama, pengacara serta pembaca-pembaca berita kelihatan siang dan malam yang pasti akan menjanakan pelbagai fantasi di kalangan manusia haiwan.

Mungkinkah sindrom Jill Dando berlaku di negara ini? Jill Dando ialah seorang penyampai berita dan pengacara rancangan jenayah di BBC yang cantik jelita dan disukai ramai.

Malangnya kecantikan Jill juga membawa malang baginya apabila seorang stalker atau peminat taksub menunggunya di rumah dan menikamnya dan Jill mati tak lama kemudian.

Seluruh Great Britain tergamam dan tertanya-tanya apa yang sudah berlaku.

Pelbagai kejadian boleh berlaku kalau segala fantasi itu tidak dapat dibendung, lebih-lebih lagi kalau wanita pujaan itu didapati sudah ada yang punya dan boleh mencetuskan kemarahan dan cemburu yang membuak-buak.

SAAD HASHIM
Ampang, Selangor.

Utusan Malaysia 24 September 2007