Rabu, 26 September 2007

Kes Nurin jadi pengajaran buat semua


SUDAH hampir seminggu, Nurin Jazlin Jazimin, 8, meninggalkan kita. Mungkin baginya kematian itu adalah pembebasan daripada segala kejahatan dan kesakitan yang dialaminya di tangan manusia tidak berperikemanusiaan. Bagaimanapun, kisah sedih dan penderitaan yang ditanggungnya selama sebulan di tangan si penjenayah, akan terus menghantui kita, ibu bapa dan mengehadkan kebebasan yang dinikmati kanak-kanak sebayanya.

Penemuan mayat Nurin yang didera teruk secara seksual dan fizikal dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya, Isnin minggu lalu, mengakhiri pencarian seorang kanak-kanak yang sehingga kematiannya mungkin tidak tahu mengapa dia diperbuat begitu rupa – diculik, dikurung, dibelasah, dimasukkan terung dan timun dalam kemaluan dan dubur, dibunuh, mayatnya dilipat seperti janin, disumbat dalam beg dan diletakkan di kawasan orang ramai.

Seperti juga Nurin, seluruh rakyat Malaysia masih samar apa binatang yang membahamnya, mengapa dia dilarikan, mengapa dia didera dan dibiarkan hidup begitu lama (hampir sebulan) kerana kebiasaannya mangsa sepertinya dirogol dan dibunuh serta mayatnya dibuang di tempat jauh daripada pandangan ramai. Timbul juga soalan mengapa dia diperlakukan begitu kejam seolah-olah pelaku jenayah itu mahu sengaja menyeksa mangsanya, seolah-olah dia berdendam sesuatu terhadap seseorang. Tetapi, dendam pada siapa dan mengapa. Itulah soalan yang bermain.

Mungkin pencarian dan riwayat si kecil molek itu sudah berakhir. Namun pencarian pelakunya tidak boleh dibiarkan berakhir. Kita perlu mencarinya sehingga ke lubang cacing supaya anak-anak kita boleh bergerak bebas, tanpa perlu rasa takut atau bimbang untuk keluar rumah.

Sistem nilai masyarakat kita sudah semakin luntur, malah jiran sendiri yang tinggal berhampiran bertahun pun tidak kita kenal, apa lagi mempedulikan jenayah yang berlaku di sekeliling kita.

Berikutan pembunuhan Nurin pelbagai cadangan dikemukakan, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya ibu bapa yang cuai atau membiarkan anak tanpa pengawasan dikenakan tindakan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, dengan meletakkan tanggungjawab penuh terhadap ibu bapa jika berlaku insiden seperti dialami Nurin. Cadangan itu susulan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, supaya ibu bapa Nurin didakwa mengikut Seksyen 33 akta berkenaan jika ada bukti berlaku kecuaian di pihak mereka.

Mengikut seksyen itu, ibu bapa atau penjaga yang cuai atau membiarkan anak mereka tanpa pengawasan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000. Soalnya, apakah tahap kecuaian yang ditetapkan akta itu, bagaimana kita nak buktikan tahap kecuaian. Adakah membiarkan anak kita keluar berjalan seorang diri di kawasan rumah satu kecuaian. Bukankah kawalan sedemikian rupa akan disifatkan sebagai 'memenjara' kanak-kanak dan mencabuli hak mereka.

Ada juga cadangan untuk memasang cip khas pada MyKad pesalah banduan jenayah seksual bagi memudahkan usaha mengesan pergerakan mereka jika berlaku jenayah seumpamanya. Persoalannya adakah cadangan ini realistik?

Cadangan meletakkan cip khas pada MyKad, akan dilihat seolah-olah mengenakan rantai anjing atau mengenakan 'cop' pada dahi seseorang dan melabelnya penjenayah sepanjang hidup. Adakah itu sistem pemulihan yang diidam-idamkan. Bukankah setiap orang perlu diberi ruang untuk mengubah hidupnya.

Kita juga mendengar Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kes Nurin. Anehnya, pasukan khas tidak ditubuhkan ketika Nurin masih hidup, hanya selepas kematiannya. Kita harap ini menjadi pengajaran kepada ibu bapa, masyarakat dan polis supaya tidak terlalu terikat dengan peraturan, sehingga terpaksa tunggu 24 jam sebelum memulakan siasatan kes hilang. Cuba kita letak diri kita dalam keadaan Jazimin Abd Jalil dan Norazian Bistaman, ibu bapa Nurin. Nasib sama boleh menimpa sesiapa saja.

Oleh M Thillinadan

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian 26 September 2007