CADANGAN mewujudkan persekolahan satu sesi sebenarnya bukan perkara baru. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengulangi saranan itu kelmarin supaya kanak-kanak berada lebih lama di sekolah, sekali gus mengurangkan risiko mereka menjadi mangsa penjenayah seksual. Persekolahan satu sesi sehingga waktu petang mungkin melegakan ibu bapa yang bekerja kerana tahu anak mereka berada di sekolah dan lebih selamat berbanding tinggal sendirian di rumah. Sekurang-kurangnya pada sebelah tengah hari dan petang di sekolah diisi dengan kegiatan berguna sama ada bersukan, mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan bagi mereka yang menghadapi peperiksaan umum atau beribadat. Apakah semua itu akan mereka lakukan jika balik ke rumah selepas sesi persekolahan pagi? Jawapannya belum pasti tetapi yang pasti mereka akan menonton televisyen atau tidur. Lebih menyedihkan, masa itu digunakan untuk melepak di pusat beli-belah. Persekolahan satu sesi juga menjimatkan masa ibu bapa tanpa perlu keluar waktu rehat tengah hari untuk mengambil anak di sekolah, yang boleh dilakukannya kemudian selepas balik dari pejabat.
Hakikatnya, Kementerian Pelajaran mensasarkan 25 peratus daripada 9,800 sekolah seluruh negara melaksanakan persekolahan satu sesi dalam rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Bagi tujuan itu, projek perintis dimulakan di Setiu, Terengganu bermula tahun lalu membabitkan 54 sekolah. Antara rungutan kedengaran adalah seperti masalah kekurangan kemudahan bilik persalinan, bilik rehat, surau dan bilik mengulang kaji secara berkumpulan. Beberapa isu mengenai pelaksanaan sistem berkenaan dibangkitkan oleh guru, ibu bapa dan pelajar. Oleh itu, Kementerian Pelajaran perlu menangani masalah ini dengan serius, mengambil kira saranan Perdana Menteri, supaya pelaksanaan persekolahan satu sesi boleh dimulakan di kebanyakan sekolah.
Kita yakin persekolahan satu sesi menghasilkan sesuatu yang positif bukan saja dari segi pencapaian akademik seperti ditunjukkan oleh pelajar di Setiu itu, malah membentuk keperibadian pelajar. Sistem satu sesi bukan setakat membabitkan pembelajaran formal, malah kegiatan kokurikulum, sukan dan ibadat. Dalam tempoh lapan jam sesi persekolahan, pelajar menjalani semua aktiviti iaitu persekolahan biasa pada waktu pagi, manakala petang mereka mengikuti pelbagai aktiviti dan permainan. Memang sukar melaksanakan persekolahan satu sesi di semua sekolah, bukan kerana guru atau murid belum bersedia, sebaliknya kerana masalah prasarana. Bayangkan ada di kalangan 10,000 sekolah belum dilengkapi kemudahan asas. Di kalangan sekolah daif, ada yang tiada bekalan elektrik 24 jam dan tiada bekalan air bersih, daif dan benar-benar memerlukan penyelenggaraan serta pembaikan segera, beroperasi dua sesi, belum mempunyai makmal sains dan komputer, kekurangan guru dan guru terlatih.
Kementerian Pelajaran mungkin boleh memberi beberapa kelonggaran untuk sekolah menukar kepada satu sesi, tanpa perlu melanjutkan masa pembelajaran sehingga jam 4.15 petang. Sebaliknya, manfaatkan waktu sebelah petang yang kosong untuk pelbagai program dan bukan untuk kokurikulum semata-mata. Berilah kebebasan kelonggaran itu kepada perancangan dan pentadbiran sekolah itu sendiri. Apa yang penting sekolah memanfaatkan masa sebelah petang untuk kumpulan murid tertentu dengan persetujuan guru kerana tidak ada murid menggunakan kelas pada sebelah petang.
Berita Harian 26 September 2007