WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, hujung bulan depan. Ia merupakan wilayah pembangunan ketiga selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Pembangunan Koridor Utara di utara Semenanjung Malaysia.
Pembangunan rangka kerja koridor-koridor ini dilihat sehaluan dengan teras Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu, meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara, meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama, menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif, meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.
Antara lima teras dasar ini, yang paling menarik perhatian penulis ialah teras ketiga iaitu menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif. Teras ketiga ini yang paling mencabar dan berkait rapat dengan teras-teras dasar yang lain.
Walaupun DEB telah tamat pada tahun 1990, hala tuju pembangunan negara “pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama,” untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, terus diberi keutamaan dalam rangka kerja Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000) dan Dasar Wawasan Negara (2001-2010). Ini bermaksud, telah 35 tahun (1971- 2006) penekanan diberi kepada “pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama.” Bagaimanapun seperti kata Perdana Menteri semasa membentangkan RMK-9, “jurang pendapatan dan kekayaan tetap wujud terutamanya antara kaum dan antara kawasan luar bandar dengan kawasan bandar.”
Adalah sukar, pembangunan untuk berlaku serentak di semua lokasi. Pertama, kerana ketidakseimbangan dalam proses pembangunan berlaku disebabkan faktor-faktor sumber asli yang tidak mobil. Kedua, penumpuan aktiviti ekonomi di suatu kawasan terpilih dan ketiga kerana faktor pengangkutan dan komunikasi yang juga terpilih di sesuatu kawasan yang mempunyai faedah berbanding yang tinggi secara relatifnya.
Bagaimanapun, apa yang diharapkan melalui masa, perancangan-perancangan, dasar-dasar kerajaan dan koridor- koridor baru yang dibentuk, masalah ketidakseimbangan ini akan berkurangan.
Kajian yang dibuat oleh Bank Dunia mendapati negara-negara perindustrian baru termasuk Malaysia telah merekodkan pencapaian pertumbuhan ekonomi, termasuk eksport yang mengagumkan sejak 1971 terutama pada tahun-tahun 1990-an sebelum krisis ekonomi melanda rantau ini.
Pertumbuhan yang cepat ini juga berjaya mengurangkan masalah kemiskinan mutlak, meningkatkan taraf hidup, dan mengurangkan masalah ketidakseimbangan agihan pendapatan
Pada pemerhatian penulis, seakan- akan wujud satu putaran ketakseimbangan yang melibatkan pelbagai faktor ketidakseimbangan di negeri-negeri kurang maju. Kebanyakan aktiviti sektor perindustrian di negeri kurang membangun ialah industri berasaskan sumber dan lebih berintensifkan buruh. Keadaan ini bersesuaian dengan latar belakang penawaran buruh di negeri-negeri berkenaan, yang mana memperlihatkan migrasi buruh yang berpendidikan dan berkemahiran. Keadaan ini menyebabkan persekitaran industri berteknologi rendah.
Aktiviti
Kebanyakan industri berasaskan sumber diusahakan oleh pelabur tempatan dan menumpukan kepada pasaran domestik. Berbanding dengan pelabur asing, yang lebih kepada aktiviti industri insentif modal dan produk untuk pasaran antarabangsa.
Bagi pihak pengusaha, kadar pertumbuhan output yang rendah juga bermaksud margin keuntungan yang rendah yang seterusnya menyebabkan kadar tabungan yang rendah. Kadar tabungan yang rendah sudah tentulah menyebabkan kadar pelaburan rendah. Industri juga akan lebih kepada insentif buruh berbanding dengan insentif modal.
Manakala di pihak pekerja pula, marginal keuntungan yang rendah menyebabkan kadar upah (dan kenaikan upah) yang rendah seterusnya menyebabkan tingkat pendapatan yang juga rendah dan tabungan yang rendah.
Kesimpulannya, pada peringkat awal pembangunan, ketidakseimbangan akan meningkat dan pertumbuhan itu akan dapat mengurangkan kemiskinan, tetapi tidak semestinya dapat mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan (negeri). Adalah sukar juga negeri-negeri maju akan memberi laluan kepada negeri-negeri kurang maju untuk mengecapi tingkat pembangunan yang sama, malah akan terus bersaing antara satu sama lain.
Hakikatnya, kekangan modal dan buruh mahir menyebabkan tidak semua tempat dapat dibangunkan serentak. Dalam sesetengah keadaan, keseimbangan pembangunan terpaksa dikorbankan dengan mengagihkan sumber-sumber yang terhad ini di kawasan-kawasan yang mempunyai faedah perbandingan yang tinggi. Dasar-dasar secara bersepadu dan menyeluruh dalam perancangan pembangunan koridor-koridor ekonomi di negeri-negeri kurang maju mungkin perlu dirangka untuk berhadapan dengan ‘putaran ketidakseimbangan’ yang seakan-akan berlaku di negeri kurang membangun. Satu dasar yang bersepadu mungkin perlu dalam menyelesaikan punca-punca putaran ketidakseimbangan ini secara serentak.
Oleh Asan Ali Golam Hassan
DR. Asan Ali Golam Hassan ialah Profesor Madya, Fakulti Ekonomi, Universiti Utara Malaysia.
Utusan Malaysia 27 September 2007