Ahad, 16 September 2007

Kursus jarak jauh AeU lonjak modal insan Asia


PENDIDIKAN adalah sesuatu yang dianggap penting oleh masyarakat Barat terutama negara maju sejak zaman dulu lagi. Bagi mereka, mengejar ilmu pengetahuan adalah fenomena seumur hidup dan selagi berkemampuan dan masih terdaya, selagi itulah mereka akan meraih ilmu.

Menimba ilmu juga bukanlah bererti perlu mengikuti sistem persekolahan yang formal dan sebahagian besar daripada mereka lebih gemar meneruskan pelajaran dalam bidang tertentu secara pengkhususan dari rumah atau secara jarak jauh.

Trend itu kini semakin diterima masyarakat di benua lain termasuk Asia. Seperti orang Barat, mereka juga ingin mendalami sesuatu ilmu secara berterusan tidak kira sama ada ia dapat menghasilkan sekeping sijil sebagai tanda pengiktirafan kepada bidang yang mereka pelajari atau semata-mata ingin menimba pengalaman atau mengikuti latihan sambil bekerja.

Suasana pembelajaran secara jarak jauh itu diterima sebagai pendidikan formal di hampir semua universiti di negara ini sejak beberapa tahun lalu dan sehingga kini begitu ramai sekali pekerja berpeluang melanjutkan pelajaran mereka dan lulus sebagai graduan menerusi pendidikan jarak jauh atau PJJ.

Kini bidang pendidikan jarak jauh maju setapak lagi dan tidak lama lagi Malaysia akan mempeloporinya pada peringkat antarabangsa menerusi Asia e-Universiti (AeU). Buat permulaan, universiti itu akan memperkenalkan kursus eksekutif jangka pendek bagi memberi latihan kepada pekerja di sektor industri.

AeU juga akan menawarkan semua kursus lain seperti yang ada di universiti tempatan pada peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD). Tujuan utama universiti itu adalah bagi membolehkan lebih ramai warga Asia melanjutkan pelajaran selepas bekerja.

Seperti program jarak jauh yang lain, ia juga menyediakan peluang kedua bagi mereka yang belum memiliki ijazah untuk meningkatkan kelulusan akademik masing-masing. Lebih menarik lagi ia memberi peluang keseronokan belajar kepada mereka yang sudah terlepas peluang untuk berbuat demikian ketika berusia lebih muda dulu atau tidak berkesempatan melanjutkan pelajaran kerana keadaan sekeliling tidak mengizinkan pada ketika itu, contohnya ketidakstabilan politik dan ekonomi, peperangan dan sebagainya.

Presiden AeU, Profesor Datuk Dr Ansary Ahmed, berkata penubuhan universiti itu adalah idea Malaysia yang dikemukakan dalam rangka Kerjasama Dialog Asia (ACD) yang diasaskan oleh negara Asia dalam usaha mencari penyelesaian kepada krisis kewangan yang berlaku pada 1998.

Ketika itu, setiap negara anggota diminta mengemukakan cadangan untuk membantu membangunkan kembali kedudukan ekonomi negara anggota dialog dan Malaysia berpendapat pendidikan adalah elemen penting bagi membangunkan semula masyarakat dan negara.

Menyedari hakikat itulah idea yang pada asalnya hanya untuk menubuhkan sebuah pusat pembelajaran secara elektronik (e-learning) itu diterima baik oleh negara anggota dan selepas berbincang secara panjang lebar dalam beberapa siri mesyuarat yang menyusul, akhirnya idea pusat e-learning itu bertukar menjadi sebuah universiti.

Idea itu sejajar dengan dasar Malaysia dalam bidang pendidikan seperti digariskan di dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang teras kelimanya ialah memperkasakan pengantarabangsaan dan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi pada peringkat antarabangsa.

Pada Disember tahun lalu, mesyuarat Kabinet di Putrajaya meluluskan penubuhan universiti berkenaan dan bersetuju menyediakan peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta. Selepas ini universiti itu akan memperoleh sumber kewangan daripada sektor swasta dan menerusi program yang dijalankan.

AeU yang akan menjadi universiti global pertama di negara ini dijangka akan menawarkan pelbagai program dengan kerjasama pusat pengajian tinggi sedia ada di semua 30 negara anggota ACD.

Konsep globalnya bermakna akreditasinya juga akan dikeluarkan pada peringkat antarabangsa di samping mendapat pengiktirafan dalam negara sendiri.

Bidang pendidikan, seperti sukan melampaui pemahaman politik dan adalah antara unsur utama yang boleh menghubungkan di antara manusia dengan manusia di benua Asia. AeU kini sudah empat bulan beroperasi pada peringkat inkubator di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan mendapat bantuan OUM termasuk kakitangan dan beberapa perbelanjaan awal.

Universiti ini, menurut Dr Ansary mengadakan dua kaedah pengajian iaitu kaedah biasa dengan elemen e dan secara terbuka dan kaedah jarak jauh. Nisbah pelajar ialah satu pelajar biasa bagi empat pelajar jarak jauh.

Malaysia kini sudah menjadi tumpuan pelajar dari Asia Barat, China, Afrika, Indonesia serta negara lain yang kini berjumlah 55,000 orang. Jumlah itu dijangka akan meningkat kepada 100,000 menjelang 2010.

Memandangkan permintaan tinggi dari negara Asia, sudah sewajarnya kita meningkatkan lagi keupayaan dalam penyediaan infrastruktur pendidikan bermutu tinggi, fleksibel, bersifat antarabangsa dan di dalam lingkungan kemampuan pelajar di rantau ini.

Satu aspek penting yang dititikberatkan oleh AeU adalah konsep Asianya, iaitu pelajarnya mempunyai pilihan untuk belajar bahasa dan budaya negara Asia walaupun bahasa Inggeris akan menjadi bahasa pengantarnya.

Dr Ansary berkata, AeU akan menubuhkan lapan sekolah pengajian dalam masa 15 tahun mencakupi pelbagai bidang seperti ditawarkan oleh universiti tempatan lain. Bagi merapatkan jurang tahap pendidikan di antara negara yang lebih maju di rantau ini, negara anggota ACD juga bersetuju untuk menggunakan kaedah membahagikan negara yang ditawarkan pengajian jarak jauh ini mengikut kemampuan masing-masing.

Contohnya, Jepun, Korea dan Singapura dalam satu kelompok, Malaysia, China dan India dalam kelompok yang lain, manakala negara yang tidak mempunyai kedudukan ekonomi yang begitu baik seperti Nepal, Laos, Bhutan dan Myanmar dalam satu lagi kelompok.

Kaedah yang digunakan mengikut permintaan pasaran di negara berkenaan dan sasaran AeU sudah tentunya negara yang belum mempunyai kemudahan pengajian tinggi yang mencukupi.

Kursus yang dijalankan boleh diakses dari negara mereka sendiri ataupun di kampus induknya di Malaysia.

Ada kemungkinan beberapa kampus cawangan akan ditubuhkan seperti di China dan Asia Barat yang ramai pelajar berpotensi mengikuti program ini.

Dr Ansary berkata, Korea berpengalaman luas dalam bidang e-learning dan kini mempunyai 17 universiti maya yang pastinya boleh dipelajari oleh Malaysia. Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat dari United Kingdom yang mempunyai kemahiran menganjurkan kursus jangka pendek bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk dalam bahasa Thai dan Indonesia.

Antara syarikat multinasional yang akan memberi kerjasama pada peringkat awal pula ialah Universiti Motorola yang berpusat di Amerika Syarikat yang mempunyai cawangannya di Asia dan akan membantu AeU dalam penawaran kursus jangka pendek.

Kumpulan pertama pelajar pada peringkat sarjana muda dan lebih tinggi dijangka akan dimulakan September tahun depan.
Oleh Razak Rashid Ghows
Berita Harian 17 September 2007