Ahad, 16 September 2007

Memantapkan pengajian tinggi


BAJET 2008 menyediakan landasan kondusif bagi memacu pertumbuhan dan kemajuan sektor pengajian tinggi, selari dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara yang dilancarkan Perdana Menteri, 27 Ogos lalu.

Jika dinilai secara menyeluruh, ketiga-tiga strategi Bajet 2008 mempunyai impak terhadap pengajian tinggi dalam pelbagai aspek, khususnya penggalakan dari segi dana penyelidikan dan kemudahan pengajian kepada pelajar.

Menerusi strategi pertama iaitu mempertingkat daya saing negara, dana pelaburan strategik akan terus diberikan termasuk universiti swasta bertaraf antarabangsa. Sebagai contoh, Bajet 2007 lalu memperuntukkan RM200 juta sebagai pemangkin pelaburan baru dalam sektor keutamaan di Wilayah Pembangunan Iskandar yang berjaya menggamit sektor swasta untuk melabur lebih RM1 bilion dalam projek pendidikan, seperti Educity dan universiti swasta.

Bagi menjana pelaburan swasta, Bajet 2008 menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta lagi.

Strategi Bajet 2008 bersifat selektif dalam pemberian insentif utama. Sehubungan itu, dalam usaha membangunkan industri dan keusahawanan berasaskan bioteknologi, penyediaan infrastruktur dan kemudahan teknologi akan diberi keutamaan dengan peruntukan RM236 juta menerusi program perolehan teknologi, pembangunan pusat penyelidikan biodiversiti dan pusat komersialisasi bioteknologi, serta penyelidikan sebatian antikanser.

Selain itu, kerjasama syarikat bioteknologi berstatus Bionexus dan universiti tempatan akan terus diperteguhkan menerusi guna sama makmal dan kemudahan penyelidikan di universiti tempatan.

Strategi kedua Bajet 2008 adalah teras kepada pengembangan sektor pengajian tinggi menerusi penjanaan modal insan berkualiti yang menjadi antara faktor terpenting bagi memastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju dengan rakyat minda kelas pertama.

Sektor pengajian tinggi diperuntukkan RM12 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek dan program khas, antaranya:

> Meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan di empat universiti penyelidikan;

> Meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang 2010;

> Menaik taraf serta memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan, dan

> Menjenamakan semula kolej komuniti menerusi penyediaan kursus pada peringkat diploma, menubuhkan kolej komuniti baru dan menggiatkan kerjasama dengan syarikat swasta.

Pemantapan institusi pengajian tinggi memerlukan tumpuan dan dana mencukupi khususnya dalam bidang kritikal dan bernilai tinggi, seperti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (3P). Menerusi 3P, program pasca ijazah peringkat sarjana dan kedoktoran dapat dilaksanakan dengan lebih mantap, di samping menjulang reputasi profesor dan kemasyhuran universiti tempatan di persada antarabangsa.

Sehubungan itu, Bajet 2008 mencadangkan peruntukan Dana Sains sebanyak RM230 juta dan RM300 juta Dana Tekno yang dikawal selia Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Sejumlah RM546 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program R&D institusi penyelidikan seperti Mardi, Sirim dan FRIM.

Perlu juga disebutkan bahawa pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperuntukkan RM200 juta dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Namun demikian, peruntukan itu diagihkan menerusi sistem bidaan yang kompetitif dalam bidang pengajian fundamental.

Dalam hal ini, peruntukan Dana Sains dan Dana Tekno itu adalah sumber utama kepada aktiviti 3P di universiti tempatan ketika ini. Adalah diharapkan komuniti akademik supaya Bajet 2008 dapat memberi peruntukan tambahan terus kepada KPT seperti peruntukan khas yang disalurkan terus kepada institusi penyelidikan berjumlah RM546 juta itu.

Insentif kepada aktiviti 3P memang diperlukan bagi memancing minat dan tumpuan komuniti akademik supaya lebih produktif dan kompetitif. Dalam hal ini, Bajet 2008 turut mencadangkan insentif dalam bentuk royalti yang lebih lumayan kepada penyelidik yang berjaya mengkomersialkan produk 3P.

Sehubungan itu, pembahagian royalti ditingkatkan daripada 50 peratus kepada 80 peratus kepada penyelidik, dan selebihnya kepada institusi penyelidikan atau universiti.

Untuk memantapkan lagi penyelarasan program pengkomersialan menerusi perolehan harta intelek, lebih banyak Pejabat Pelesenan Teknologi (TLO) akan ditubuhkan di institusi penyelidikan dan universiti tempatan.

Menerusi pelbagai dana 3P dan insentif kepada penyelidik, Bajet 2008 dijangka akan menjadikan universiti tempatan lebih produktif dalam menghasilkan harta intelek, selain memantapkan lagi program pengijazahan peringkat pengajian pasca ijazah dan pembinaan minda kelas pertama.

Insentif berbentuk kewangan ini juga dijangka akan menarik lebih ramai golongan muda terpelajar untuk menyertai sektor pengajian tinggi sama ada sebagai staf akademik atau penyelidik.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan menambah bilangan pelajar tajaan daripada 5,000 setahun kepada 10,000 pelajar mulai 2008. Demikian juga Mara. Ketika ini, lebih 90,000 pelajar ditaja JPA dan Mara di universiti tempatan.

Di samping itu, elaun sara hidup pelajar akan dinaikkan di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa, antara 23 dan 84 peratus bermula semester pertama sesi 2007/8.

Peningkatan elaun sara hidup itu akan juga dinikmati pelajar tajaan di luar negara. Elaun sara hidup pelajar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sehingga 97 peratus, iaitu hampir dua kali ganda, berkuatkuasa September 2007 selari dengan peningkatan kos sara hidup.

Salah satu keistimewaan Bajet 2008 ialah penekanan kepada pendidikan sepanjang hayat, sama ada menerusi program pengijazahan atau program pengajian lanjutan dan profesional. Sehubungan itu, Bajet 2008 memperuntukkan insentif pelepasan cukai sehingga RM5,000 ke atas yuran pengajian diperluaskan kepada semua bidang di peringkat pasca ijazah.

Dalam konteks globalisasi, sektor pengajian tinggi tempatan perlu bersaing dari segi kualiti graduan, produk 3P dan sumbangan akademik lain. Ketika ini tumpuan aspek kualiti diberikan terhadap pengiktirafan program akademik oleh pelbagai agensi pengiktirafan dan badan profesional peringkat antarabangsa.

Selain itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed menggariskan strategi untuk universiti turut prihatin dan memberi tumpuan kepada ‘ranking’ yang dijalankan pada peringkat antarabangsa, khususnya Times Higher Education Suppliments (THES).

‘Ranking’ itu mendapat liputan dan dokongan meluas di kalangan ahli akademik, calon pelajar dan penaja geran penyelidikan. Memang banyak pihak yang mempertikaikan kaedah penilaian ‘ranking’ berkenaan, namun setakat ini kaedah itulah yang paling realistik dan diterima majoriti golongan akademik.

Bajet 2008 bukan saja manifestasi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, malah manifestasi gagasan untuk memartabatkan budaya ilmiah kelas pertama, sekali gus mengembalikan status ‘menara gading’ di universiti tempatan!

Prof Datuk Dr Zaini Ujang adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia.

Berita Harian 17 September 2007