Ahad, 16 September 2007

Dimensi berbeza keperitan kerja di bandar, pedalaman


PENDAPATAN sebanyak RM2,500 sebulan menyajikan dimensi yang sangat berbeza antara guru yang menetap di luar bandar dan guru yang terpaksa berdepan dengan kesesakan serta kerumitan hidup di tengah bandar besar seperti Subang Jaya.

Rintihan keluhan guru di bandar lebih berat nadanya kerana terpaksa berdepan pelbagai jenis perbelanjaan wajib yang tidak boleh dielakkan, malah untuk melengkapkan keperluan hidup, ada di kalangan mereka terpaksa melakukan kerja tambahan seperti mengajar tuisyen atau memandu teksi.

Berbeza dengan guru kawasan kampung atau pedalaman yang mampu tersenyum dan menguruskan kewangan dengan baik, malah gaji yang diperoleh setiap bulan ada lebihan untuk disimpan sebagai bekalan masa depan.

Pengalaman itu dikongsi dua guru yang menetap dan mengajar di dua kawasan berbeza bagi menggambarkan sendiri betapa nilai RM2,500 amat berbeza bagi dua kawasan iaitu bandar dan luar bandar.

Guru di Sekolah Kebangsaan SS 19 Subang Jaya, Azizul Shah Abdul Rahman, berkali-kali mengeluh ketika menceritakan keperitan yang dilalui apabila terpaksa mengajar di tengah bandar mewah seperti Subang Jaya sehinggakan beliau terpaksa memilih untuk tinggal agak jauh iaitu di Shah Alam untuk mengelakkan sewa sangat mahal sehingga mencecah RM1,200 jika ingin tinggal berhampiran sekolah.

Namun, pilihan untuk tinggal di kawasan yang lebih rendah kadar sewanya bukan jaminan untuk berjimat kerana beliau terpaksa pula menghadapi tambahan perbelanjaan akibat kos minyak dan tol yang terpaksa ditanggung setiap kali berulang alik ke sekolah.

Dengan pendapatan RM2,400 yang dikatakan sebagai satu pendapatan yang cukup lumayan bagi masyarakat luar bandar, Azizul pula mendakwa kehidupannya sebagai sangat perit dan menyesakkan.

Manakan tidak, selepas diambil kira semua perbelanjaan termasuk sewa rumah sehingga RM800, beliau terpaksa mengeluarkan satu jumlah lebih tinggi daripada pendapatannya sendiri sekali gus terpaksa mengharap simpati isteri bagi membantu mengukuhkan ekonomi rumah tangga.

"Penat atau tidak saya terpaksa juga melakukan kerja luar seperti mengajar tuisyen. Jika tidak, ekonomi saya pasti kucar kacir dan kehidupan saya akan jadi lebih tersepit.

"Di bandar sebegini, gaji yang dilihat banyak sebenarnya terlalu sedikit, malah mereka yang berpendapatan lebih RM2,000 sebulan sebenarnya juga boleh dilabelkan sebagai miskin kerana perbelanjaan melebihi pendapatan mereka termasuk hutang yang banyak," katanya.

Keadaan berbeza apabila seorang guru di Sekolah Kebangsaan Teloi Kanan, Azmi Ibrahim menceritakan keadaan peruntukan perbelanjaan dan taraf ekonominya selama ditempatkan mengajar di kawasan Felda jauh di kawasan daerah Baling, Kedah.

Baginya, jika hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,000 sekalipun, ia tidak akan mendatangkan masalah untuk meneruskan kehidupan di kawasan terbabit lantaran kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding kehidupan di bandar.

Gaji yang diperolehnya setiap bulan sudah mencukupi untuk menyara seisi keluarga tanpa perlu mengharapkan ihsan atau gaji isteri, malah apabila dihitung perbelanjaan bulanan, gajinya masih berbaki sebanyak hampir RM500.

Cuma, katanya, penduduk di luar bandar terpaksa mengeluarkan belanja lebih tinggi bagi kos perubatan kerana tidak ada perkhidmatan klinik swasta kampung sehinggakan mereka terpaksa memandu agak jauh ke pekan berhampiran jika ingin mendapat khidmat perubatan yang lebih berkualiti.

Berita Harian 17 September 2007