Ahad, 16 September 2007

Bijak urus belanja mampu elak tergolong kelompok miskin


KEMISKINAN yang dialami masyarakat bandar besar kebanyakannya disebabkan oleh pilihan gaya hidup mereka sendiri yang terlalu mengutamakan kehendak sehingga meletakkan diri mereka dalam keadaan bermasalah serta tersepit dengan beban kewangan di luar kemampuan.

Pengarah Institut Pembangunan Malaysia (MDI), Profesor Dr Noor Azlan Ghazali, berkata jika diperincikan, masyarakat bandar selalunya gagal menguruskan kewangan dengan baik dan berbelanja di luar kemampuan, tetapi mendakwa berada dalam dilema kewangan pada setiap masa.

Beliau berkata, keadaan kewangan sebenarnya boleh ditentukan oleh individu sendiri dengan membuat pilihan bijak dalam menguruskan perbelanjaan dan bukan mengharapkan pelbagai bantuan daripada kerajaan bagi mengeluarkan mereka daripada kemiskinan buatan sendiri.

"Banyak cara untuk mengelakkan diri daripada tergolong dalam kelompok masyarakat miskin. Antaranya, pilih kawasan yang sewa rumahnya murah, guna pengangkutan awam, makan secara berpada-pada di tempat lebih murah dan jangan terlalu bermewah dengan kebendaan jika tidak mampu.

"Tidak salah sekiranya individu bekerja di Bangsar memilih menyewa di Sungai Buloh kerana sewa rumah di situ lebih murah. Apa salahnya menggunakan pengangkutan awam sekiranya kemudahan itu ada disediakan sehingga destinasi yang dituju," katanya.

Beliau memberi contoh, Jakarta umpamanya menggunakan slogan 'siapa suruh datang Jakarta' bagi menyedarkan masyarakat yang datang ke bandar itu tanpa hala tuju sehinggakan tersepit dalam dilema kemiskinan selama berada di situ.

Noor Azlan berkata demikian bagi mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan kehidupan di bandar lebih menjurus kepada masalah kemiskinan berbanding luar bandar, lantaran perbelanjaan bagi menguruskan keperluan seharian lebih tinggi, malah boleh dikatakan segala apa yang diperlukan di bandar perlu dibayar.

Tanpa menafikan tanggapan itu, beliau berkata, memang benar secara realitinya masyarakat bandar perlu memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan berbanding luar bandar kerana pelbagai faktor.

Antaranya, kos sewa rumah, pengangkutan, perubatan dan gaya hidup di bandar jauh lebih tinggi daripada masyarakat luar bandar, malah penggunaan setiap ringgit di bandar juga jauh berbeza berbanding luar bandar.

Namun, katanya, takrifan kemiskinan di bandar dan luar bandar adalah sesuatu yang berbeza kerana penduduk luar bandar pula menghadapi masalah jaringan kemudahan, malah berkemungkinan terpaksa mengeluarkan belanja lebih tinggi bagi mendapatkan sesetengah barang atau perkhidmatan.

"Contohnya, masyarakat bandar yang menetap di kawasan rumah pangsa mempunyai kemudahan perubatan yang hanya beberapa meter dari rumah sedangkan ada penduduk luar bandar yang terpaksa berkenderaan berpuluh-puluh kilometer untuk ke klinik berhampiran. Secara tidak langsung, kos pengangkutan juga akan meningkat.

"Barang yang dijual di bandar juga lebih murah. Contohnya, penduduk bandar boleh membeli setin susu atau air mineral dengan harga borong di pasar raya berbanding kedai runcit di luar bandar yang semestinya menjual dengan harga runcit serta mahal," katanya.

Justeru, katanya, kemiskinan bukan sekadar dinilai berdasarkan kemampuan kewangan semata-mata, malah lebih meluas kepada pelbagai faktor lain termasuk kemampuan memperoleh kemudahan meliputi perubatan, pendidikan dan pengangkutan.

Bagaimanapun, Noor Azlan mengakui wujud masyarakat bandar yang tersepit dengan kemiskinan di tengah bandar raya sehingga terpaksa bersusah payah melengkapi keperluan makanan dan kehidupan seharian.

Namun, katanya, apabila berbicara berkenaan isu kemiskinan, ia masih menjadi satu agenda utama yang lebih dihadapi masyarakat luar bandar lantaran masih wujud kelompok miskin tegar di beberapa kawasan luar bandar negara ini.

Selain itu, beliau juga menyifatkan persepsi masyarakat terhadap kemiskinan selama ini begitu sempit kerana memandang kemiskinan hanya secara fizikal iaitu melabelkan sesebuah keluarga sebagai miskin hanya dengan melihat keadaan rumahnya sedangkan hakikat sebenar ramai lagi keluarga miskin tidak diketahui kerana tidak terlihat pada mata kasar.

Mengulas mengenai peranan setiap kementerian dalam menangani isu kemiskinan, beliau berkata, hakikatnya penduduk luar bandar agak beruntung dengan pelbagai projek kerajaan bagi melonjakkan kualiti hidup mereka serta ada kementerian khusus iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk memfokuskan isu kemiskinan di luar bandar.

Namun, keadaan itu berlainan di bandar kerana tidak ada kementerian khusus secara holistik menangani isu kemiskinan di bandar berikutan kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan umpamanya lebih memfokuskan isu pembangunan berbanding kemiskinan.

Beliau juga mencadangkan supaya sistem pengangkutan awam dapat dipertingkatkan bagi membolehkan masyarakat bandar yang tidak mampu tinggal di tengah kawasan bandar boleh memilih untuk tinggal di luar bandar, namun mampu berulang alik ke tempat kerja menggunakan kemudahan pengangkutan awam menghubungkan setiap kawasan.

"Bagaimanapun, perkara pokok yang perlu diberi keutamaan oleh semua individu ialah mereka harus belajar menangani masalah dan kemelut kewangan mereka sebelum mengharapkan kerajaan menghulurkan bantuan," katanya.

Berita Harian 17 September 2007