Ahad, 16 September 2007

Pelan pengurusan estet had penghijrahan belia


PROJEK pembangunan di kawasan luar bandar sangat penting bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat terbabit, sekali gus mengelakkan terlalu banyak penghijrahan ke kawasan bandar sehingga mendatangkan implikasi lain seperti peningkatan kos sara hidup di bandar besar.

Pengarah Projek Khas Koridor Utara, Datuk Mohd Shukri Baharom, berkata pembangunan tidak boleh terlalu bertumpu kepada projek dalam bandar semata-mata kerana ia bakal menjadikan masyarakat luar bandar terus terpinggir, selain menyebabkan lebih ramai warga belia berhijrah ke bandar untuk mencari sumber pendapatan tetap.

Beliau berkata, apabila terlalu ramai penghijrahan ke bandar berlaku, secara tidak langsung akan menyebabkan kos sara hidup tinggi lantaran permintaan terhadap kediaman, pengangkutan dan sebagainya turut bertambah setiap masa.

Justeru, katanya, bagi mengelakkan keadaan seumpama itu berlaku, satu mekanisme seperti pelaksanaan Tindakan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) perlu dilaksanakan bagi menyediakan lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar.

"Apabila kita mampu menyediakan peluang pekerjaan secara tetap di kawasan mereka, pastinya penghijrahan dapat dikurangkan dan ia secara tidak langsung mengurangkan kadar kesesakan penduduk bandar. Kos sara hidup di bandar juga akan berkurangan.

"Apa yang mampu mengehadkan penghijrahan adalah menyediakan peluang pekerjaan tetap di luar bandar dan pekerjaan itu pula mesti menguntungkan, barulah ia mampu menarik minat masyarakat luar bandar terus kekal dan bekerja di kampung mereka sendiri," katanya.

Mengulas isu kemiskinan, beliau berkata, kemiskinan masih menjadi satu isu luar bandar, manakala di bandar ia adalah sesuatu yang bersifat subjektif kerana sukar untuk membuat satu garis pengukur kemiskinan terutama di bandar besar.

Bagaimanapun, beliau berkata, sudah sampai masanya satu penilaian secara terperinci dilakukan bagi mengenal pasti kaedah paling tepat melabelkan sesuatu keluarga sebagai miskin terutama di bandar.

Katanya, berbeza dengan kawasan di luar bandar, kemiskinan di sana lebih terserlah dengan menilai keadaan sekeliling mereka seperti rumah, pakaian dan infrastruktur lain yang jelas kelihatan serba kekurangan.

Namun, katanya, hakikat yang tidak disedari banyak pihak ialah masyarakat luar bandar yang kelihatan secara fizikal tergolong sebagai keluarga miskin sebenarnya mempunyai aset berharga iaitu tanah yang tidak diusahakan secara terancang bagi memperoleh keuntungan daripadanya.

Justeru, projek Koridor Utara memberi penekanan kepada keadaan itu dengan menyediakan pelan pengurusan estet iaitu projek yang bakal mampu memberi pendapatan bulanan kepada pemilik tanah di samping memperoleh faedah daripada hasilnya.

Mohd Shukri yang juga Pengarah Bahagian Tenaga dan Koridor Utara Sime Darby Berhad, berkata selain itu, projek berkenaan turut menyediakan pelbagai peluang lain seperti projek tanaman jagung antara musim, pusat latihan kemahiran (bidang pertanian) serta kilang pemprosesan jagung di kawasan Koridor Utara.

"Projek yang dirancang lebih berfokus untuk menarik lebih ramai golongan belia kekal bekerja di sektor pertanian dalam kampung mereka sendiri. Hal ini kerana ramai golongan belia di kawasan Koridor Utara tercicir daripada mendapat pendidikan tinggi, malah difahamkan 10,000 pelajar tidak menyambung pelajaran selepas sekolah rendah dan 26,000 lagi terkandas selepas Tingkatan Tiga.

"Sime Darby akan memastikan semua projek dilaksanakan dengan berkesan tambahan pula Sime Darby mempunyai perkongsian 30 peratus dalam pasar raya Tesco, sekali gus membolehkan hasil daripada projek Koridor Utara akan dapat dipasarkan dengan lebih berjaya. Kami takkan biarkan hasil itu dijual sendiri oleh petani seperti menjualnya di tepi jalan," katanya.

Mengulas isu keperitan hidup yang dialami masyarakat bandar, beliau berkata, bukan semua penghijrahan masyarakat luar bandar berjaya mencapai apa yang mereka kehendaki, malah ada yang terpaksa bersaing untuk mendapat peluang kehidupan selesa di bandar besar.

Namun, katanya, istilah kemiskinan tidak sesuai digunakan untuk menggambarkan kehidupan masyarakat bandar kerana apa yang dialami mereka adalah satu keperitan hidup lantaran sering beralasan tidak mempunyai peluang pekerjaan.

"Apa yang pasti, kemasukan pekerja asing ke kawasan bandar terus bertambah sekali gus menunjukkan masyarakat luar berasakan bandar adalah kawasan yang sesuai membina kehidupan berjaya, jauh sekali meletakkan alasan peluang pekerjaan di bandar terhad," katanya.

Berita Harian 17 September 2007