
KEMISKINAN adalah satu isu subjektif yang sentiasa mendapat perhatian serius kerajaan, tambahan pula ketika negara berada pada landasan terbaik menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
Pelbagai projek raksasa seperti pembangunan koridor dilancarkan menjurus kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat miskin terutama di kawasan luar bandar untuk membebaskan mereka daripada kemelut kemiskinan dan sekurang-kurangnya mampu menyara kehidupan keluarga tanpa masalah kewangan yang serius.
Justeru, hampir setiap inci ceruk pedalaman dijelajahi, pelbagai siri bantuan ditaburi bagi memastikan tidak ada lagi penduduk negara ini tergolong dalam kelompok miskin tegar dan menghadapi kepayahan untuk mencari sesuap nasi.
Jika diamati pelbagai projek yang digerakkan kerajaan, termasuk yang terbaru di Koridor Utara, jelas betapa kerajaan begitu serius menangani isu terbabit dengan strategi menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup tanpa terus bergantung kepada bantuan kerajaan semata-mata.
Malah, ia dijadikan sasaran untuk menggalakkan masyarakat luar bandar terutama golongan belia terus setia berkhidmat di kampung mereka sendiri seterusnya mengurangkan terlalu banyak penghijrahan ke kawasan bandar yang selama ini dilabelkan kononnya sebagai syurga kekayaan negara.
Namun, tanpa disedari sebenarnya ramai masyarakat bandar tersepit dengan kemelut kewangan sehingga kadangkala boleh ditakrif lebih miskin daripada masyarakat yang tinggal jauh di ceruk pedalaman.
Dengan gaji sebanyak RM2,000 di bandar kononnya mereka sudah dikira cukup senang, tetapi hakikatnya gaji sebanyak itu hanya cukup untuk menampung perbelanjaan asas dan tidak keterlaluan jika dikatakan ‘sekadar cukup makan’, tambahan jika terpaksa tinggal di tengah bandar raya seperti Kuala Lumpur.
Hakikatnya, pernahkah mana-mana kementerian atau agensi membuat tinjauan atau kajian khusus sejauh mana kebenaran realiti ini kerana jika diamati panduan garis kemiskinan di Kuala Lumpur, mereka yang memperoleh pendapatan seisi rumah bawah RM713 baru layak dikategorikan sebagai miskin, manakala jika pendapatan seisi rumah bawah RM373 pula dikategorikan sebagai miskin tegar.
Secara logiknya, mampukah sesebuah keluarga hidup di tengah bandar raya seperti Kuala Lumpur jika pendapatan mereka hanya sekitar RM800. Adakah pendapatan sebanyak itu cukup untuk menyara kehidupan mereka termasuk untuk membayar sewa rumah, kos pengangkutan dan lain-lain kos di bandar yang boleh dikatakan segala-galanya perlu dibayar?
Jika kos sewa rumah saja sudah mencecah lebih RM400, bagaimana baki sebanyak RM400 lagi sama ada cukup untuk menampung perbelanjaan lain? Namun, mereka tidak layak dikategorikan sebagai miskin kerana pendapatan melebihi RM713. Justeru, adakah mereka layak mendapat bantuan seperti dinikmati rakyat miskin.
Itu jika diambil kira kes masyarakat yang benar-benar kritikal sedangkan keadaan itu sebenarnya dihadapi kebanyakan masyarakat di kawasan berprestasi tinggi termasuk Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru.
Justeru, rasanya sudah sampai masa kerajaan turut membuka mata melihat senario dihadapi masyarakat di bandar juga supaya istilah terlepas pandang tidak berlaku dan hasrat untuk menjadikan rakyat negara ini bebas daripada masalah kemiskinan benar-benar dapat direalisasikan.
Satu mekanisme perlu difikirkan supaya rakyat yang menetap dan bekerja di bandar negara ini dapat setanding dengan masyarakat bandar di negara maju lain di mana kualiti hidup mereka benar-benar berada pada satu tahap yang membanggakan.
Oleh Azrul Affandi Sobry
Berita Harian 17 September 2007