
Kerajaan sedia ganjaran, bantuan, naikkan harga galak petani pertingkat hasil padi
MELAKA: Lima insentif diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani bagi menggalakkan pesawah untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan hasil padi serta menampung kos pengeluarannya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Beliau berkata, antaranya ialah menaikkan harga minimum daripada RM550 kepada RM650 setan metrik, bantuan upah bajak RM100 dan input pertanian RM140 sehekar semusim.
"Kerajaan turut menyediakan insentif RM650 satu tan metrik tambahan kepada semua pesawah yang berjaya meningkatkan hasil dan sebanyak RM650 sehektar semusim kepada mereka yang dapat mengeluarkan hasil melebihi 10 tan metrik sehektar.
"Sebanyak RM200 lagi untuk pengusaha sawah yang kurang kepada dua hektar bagi meningkatkan daya usaha. Dengan adanya insentif itu diharapkan pesawah dapat terus menanam padi dan meningkatkan pengeluarannya pada masa akan datang," katanya pada majlis penuaian padi Syarikat Padi Melaka Sdn Bhd (SPMSB) di Pertam Jaya di sini, baru-baru ini.
Teks ucapannya dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Hamdin Abdollah. Hadir sama Pengerusi Kemudahan Awam dan Kerjaraya, Datuk Yunus Husin.
Mohd Ali berkata, statistik tahun lalu menunjukkan luas fizikal sawah di Melaka ialah 2,162 hektar dan ditanam dengan padi sebanyak 1,081 hektar.
"Daripada keluasan itu, purata hasil padi ialah 3.5 metrik tan/hektar berbanding hasil kebangsaan iaitu 4.5 metrik tan hektar. Bersawah bukan lagi satu aktiviti yang mendorong kepada kemiskinan, sebaliknya menjadi sektor ekonomi yang berjaya.
"Untuk itu, Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Padiberas Nasional (Bernas) serta agensi lain perlu bekerjasama dengan SPMSB bagi memastikan padi dapat ditanam dua kali setahun.
"Pesawah yang masih mengusahakan tanaman padi, disaran menjalankan amalan pertanian baik (GAP) untuk meningkatkan hasil dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan. Ini termasuk menggunakan benih padi bermutu tinggi yang dihasilkan menerusi bioteknologi," katanya.
Beliau turut menjadikan Taiwan sebagai contoh negara pertanian yang berjaya hingga dapat mengeksport hasil padinya ke luar negara.
Kita mampu menjadi seperti Taiwan sekiranya pengamalan teknologi padi atau 'rice check' yang dikeluarkan Jabatan Pertanian. Di Jelapang sendiri sudah terbukti apabila hasilnya boleh mencecah 10 metrik tan/hektar dan kita perlu berusaha ke arah itu," katanya.
Oleh Osman Lisut
Berita Harian 21 September 2007