
Kerjasama Fitec bantu wujudkan pusat niaga Perabot Ria di Seremban 2 galak usahawan Bumiputera promosi produk
SEREMBAN: Usaha melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berwibawa dan mampu bersaing sentiasa menjadi agenda utama kerajaan bagi mengangkat martabat mereka dalam bidang ekonomi, sekali gus merangsang pertumbuhan keusahawanan dan ekonomi Bumiputera.
Bagi mencapai sasaran itu, pelbagai langkah dan pendekatan komprehensif dilaksanakan untuk membantu golongan itu membabitkan diri atau membesarkan operasi mereka dalam bidang keusahawanan.
Pelbagai agensi diberi tanggungjawab melaksanakan segala dasar dan pendekatan itu, selain Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera cemerlang dan dapat dibanggakan.
Satu daripada agensi berkenaan ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang bukan saja membantu dari segi khidmat nasihat dan kepakaran, malah pembiayaan kewangan kepada usahawan yang benar-benar komited dalam perniagaan.
Daripada peringkat asas perniagaan sehinggalah mencapai kejayaan, Mara tidak putus-putus memberikan sokongan sehingga usahawan bimbingannya mampu cemerlang dan bersaing dengan usahawan lain yang sudah berjaya.
Tiada bidang perniagaan tertentu ditetapkan untuk membolehkan usahawan diberikan bantuan, sebaliknya semua bidang perniagaan yang berpotensi berkembang maju diberikan galakan.
Mara Negeri Sembilan tidak ketinggalan memainkan peranannya membantu merealisasikan sasaran kerajaan untuk melahirkan kira-kira 150,000 usahawan Bumiputera dalam pelbagai bidang menjelang 2020.
Selepas berjaya melahirkan usahawan dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan, Mara negeri melebarkan lagi gerakannya melalui kerjasama dengan Pusat Teknologi Perabot (Fitec) dengan mewujudkan rangkaian premis Perabot Ria.
Melalui sistem perniagaan itu, kedua-dua pihak membantu usahawan memasarkan produk perabot secara sistematik dan besar-besaran.
Seremban menjadi lokasi kedua premis Perabot Ria di negara ini berlokasi di Seremban 2 dengan majlis pelancarannya disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Mohd Saleh Abd Jabbar.
Turut hadir, memeriahkan majlis berkenaan ialah Pengerusi Fitec, Mariam Abd Majid: Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkifli Mohd Idris dan Pengarah Mara Negeri Sembilan, Zainal Abidin Othman.
Pusat itu yang dikendalikan Azimahton Saadiah Umar, 38, melalui syarikat miliknya Seremban Teak House Sdn Bhd akan bertindak sebagai pusat pemasaran pelbagai produk perabot keluaran usahawan Bumiputera di negeri ini.
Mohd Saleh berkata, pusat Perabot Ria bakal memberi satu perspektif baru kepada penduduk Negeri Sembilan dan peluang itu harus direbut usahawan perabot lain untuk memasarkan produk masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan padu terhadap usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka termasuk mewujudkan peluang meluaskan lagi bidang pemasaran.
"Ia selari dengan visi kerajaan untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang berdaya saing dan mampu meneroka kekayaan baru. Kita berharap generasi muda, terutama lepasan siswazah merebut peluang ini," katanya.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, usaha melahirkan lebih ramai usahawan dalam pelbagai bidang, termasuk perabot sememangnya menjadi agenda utama agensi itu menerusi program bersepadu, termasuk sokongan bantuan kewangan.
Beliau berkata, selain kursus dan kemahiran, Mara menyediakan dana dalam bentuk pinjaman mudah sehingga RM200,000 tanpa penjamin dan sehingga kini ramai usahawan yang mendapat manfaat daripada pembiayaan itu.
"Ini jelas daripada perangkaan untuk tempoh 10 tahun ini. Pada 1996, Mara negeri meluluskan pembiayaan RM1.7 juta dan tahun lalu, jumlah itu sudah meningkat kepada RM25.1 juta. Dalam lapan bulan pertama tahun ini pula, kita sudah meluluskan kira-kira RM30.4 juta.
"Mara menjangka jumlah pinjaman yang akan diluluskan di negeri ini meningkat sehingga lebih RM35 juta menjelang akhir tahun ini," katanya.
Katanya, permohonan pinjaman di bawah RM10,000 kini tidak perlu lagi dirujuk kepada pejabat agensi berkenaan di peringkat negeri, sebaliknya pegawai Mara daerah sudah boleh meluluskannya, manakala kadar faedah diturunkan kepada empat peratus berbanding enam peratus setahun sebelum ini.
"Langkah ini untuk memudahkan usahawan Bumiputera mengusahakan perniagaan mereka tanpa sebarang masalah," katanya.
Sementara itu, Azimahton Saadiah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Mara negeri dan Fitec yang banyak membantu perniagaannya melalui program Gerak Usahawan anjuran MeCD yang komprehensif menggabungkan tiga aspek utama iaitu pembudayaan, penyediaan bantuan dan peluang.
"Matlamat saya untuk membuktikan orang Melayu juga mampu bersaing dalam dunia perniagaan mencabar dan berjaya seperti orang lain," katanya, yang memulakan perniagaan perabot lebih 10 tahun lalu.
Oleh Mohd Amin Jalil
Berita Harian 21 September 2007