
KEPUTUSAN kerajaan melanjutkan cuti bersalin tanpa gaji bagi kakitangan sektor awam daripada 90 hari kepada had maksimum lima tahun semestinya menggembirakan pekerja-pekerja wanita.
Ia merupakan peluang untuk mereka yang baru bersalin menumpukan sepenuh perhatian terhadap proses mendidik anak-anak terutamanya di peringkat awal tumbesaran.
Keputusan itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang boleh dijadikan penggerak pembangunan negara untuk dekad-dekad yang akan datang.
Semestinya juga ia dibuat selepas kajian mendalam mengenainya dijalankan supaya pelaksanaannya kelak boleh dimanfaatkan oleh ramai kakitangan wanita.
Namun di sebalik niat suci kerajaan itu, ada beberapa perkara penting yang mesti diberi perhatian supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan menyalahgunakan kemudahan tersebut.
Di pihak pekerja, keistimewaan yang diberi oleh kerajaan itu mestilah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendidik anak-anak.
Jangan ada cubaan di kalangan mereka untuk menyalahgunakan kemudahan tersebut dengan membuat kerja-kerja sampingan sehingga boleh menjejaskan tumpuan terhadap anak-anak.
Kita tidak mahu yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran sehingga menggagalkan hasrat kerajaan supaya anak-anak menerima pendidikan awal yang sempurna.
Kita juga tidak mahu kelak timbul kesukaran untuk membezakan kualiti anak-anak yang dijaga sepenuhnya oleh ibu yang ‘berhenti sementara’ dengan mereka yang dibesarkan oleh pengasuh, pembantu rumah atau pusat jagaan kanak-kanak.
Di pihak majikan pula, keputusan untuk bercuti panjang jangan dijadikan rangkaian alasan untuk menafikan peluang kenaikan pangkat apabila wanita tersebut menyambung kerjanya.
Majikan mesti bersifat adil dan bukannya ‘membalas dendam’ semata-mata kerana wanita itu lenyap dari pandangan untuk tempoh yang lama sementelah dia tidak dibayar gaji satu sen pun sepanjang bercuti.
Oleh itu, penilaian prestasi hendaklah berasaskan kepada sumbangan serta produktiviti pekerja berkenaan apabila beliau bertugas semula tanpa mengaitkannya dengan cuti panjang yang diambil sebelum itu.
Walaupun peratusan pekerja wanita yang dijangka memanfaatkan kemudahan tersebut adalah kecil – mengambil kira kebanyakan wanita dalam sektor awam adalah dari kumpulan sokongan – namun ia jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan kaum Hawa.
Justeru, jangan ada pihak yang mempersoalkan keputusan tersebut kerana meskipun keperluannya dilihat tidak menyeluruh namun manfaat di sebaliknya adalah besar.
Utusan Malaysia 5 September 2007