Rabu, 5 September 2007

Pagar keselamatan sambut delegasi


SIDANG Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang akan bermula di Sydney, Australia pada 8 dan 9 September ini menyaksikan kewujudan satu lagi ‘keajaiban’ dunia – Pagar Besar Sydney yang bertindak sebagai benteng umpama Tembok Besar China.

Dibina setinggi 2.8 meter (9 kaki) dan diperkukuhkan dengan konkrit, pagar besi sepanjang 5 kilometer ini dipasang untuk memagari keseluruhan kawasan hotel-hotel di mana delegasi APEC menginap termasuk Sydney Opera House yang menjadi lokasi persidangan dan mesyuarat sampingannya sepanjang minggu ini.

Pemasangan pagar ini disifatkan sebagai amat menyulitkan di kalangan penduduk bandar raya Sydney yang terpaksa berdepan dengan isu-isu keselamatan, namun ia dianggap sebagai sesuatu yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa Australia.

Ini kerana beribu-ribu penunjuk perasaan dijangka menyatakan bantahan mereka di pekarangan lokasi persidangan APEC khususnya terhadap dasar Australia dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) berhubung peperangan di Iraq serta isu-isu membabitkan alam sekitar.

Bantahan yang sama juga diluahkan kepada Presiden AS, George W. Bush yang juga dijadual menyertai Sidang Kemuncak APEC.

Selain Bush, Presiden Rusia, Vladimir Putin adalah antara ketua-ketua negara daripada 21 buah negara anggota APEC menghadiri sidang kemuncak itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijadual tiba di Sydney pada 8 September ini sebaik beliau yang juga Menteri Kewangan selesai membentangkan Bajet 2008 di Parlimen pada 7 September.

Menurut laporan, sehingga kini pihak berkuasa keselamatan Australia tidak menerima sebarang ancaman berhubungan serangan pengganas sepanjang Sidang Kemuncak APEC akan dilangsungkan di Sydney yang dihuni 4 juta penduduk.

Bagaimanapun, mereka enggan mengambil risiko dengan menempatkan 3,500 anggota polis dan 1,500 anggota pasukan keselamatan yang lain untuk berkawal sepanjang minggu ini di sepanjang kawasan sidang ini dilangsungkan.

Lebih 5,000 delegasi daripada 21 buah negara anggota APEC dijadualkan menghadiri mesyuarat yang bermula dengan persidangan peringkat pegawai kanan diikuti dengan peringkat menteri - Malaysia diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz pada 5 dan 6 September dan Sidang Kemuncak APEC pada 8 dan 9 September.

Ramai warga Sydney mengkritik langkah keselamatan yang diambil kerana mereka terpaksa melalui pemeriksaan selain menunjukkan dokumen pengenalan (ID) untuk ke pejabat yang berada di dalam ‘jaringan’ keselamatan sepanjang Sidang Kemuncak APEC dilangsungkan minggu ini.

Pemasangan pagar keselamatan itu juga umpama memisahkan bahagian tengah bandar raya Sydney dengan ‘dunia luar’ dengan kawalan ketat dan anggota keselamatan boleh dilihat hampir di merata tempat. Mereka yang berpakaian seragam ditempatkan hampir di setiap penjuru bandar, meronda dengan berjalan kaki, menaiki basikal, dengan skuter air, dengan bot, dengan helikopter cuma tidak kelihatan pasukan berkuda - itu kerana Sydney kini dilanda wabak selesema kuda menyebabkan semua haiwan itu kini dikuarantin.


Lengang


Dalam menangani isu keselamatan ini, kedai-kedai dan gedung perniagaan di bandar raya ini amnya dan di sekitar lokasi persidangan khasnya ditutup mulai pukul 4 petang menjadikan Sydney ‘lengang’ buat seketika.

Pada masa yang sama, frekuensi radio/telefon juga disekat dalam kawasan-kawasan tertentu di sepanjang persidangan APEC bagi mengelakkan serangan pengganas yang boleh meledakkan bom melalui penggunaan telefon bersel. Kawalan keselamatan paling ketat ialah di sekitar Hotel Intercontinental di mana Presiden Bush menginap.

Bagi mengurangkan kesukaran yang ditanggung orang ramai, Jumaat 7 September telah diisytiharkan cuti umum untuk warga bandar raya ini.

Dalam pada itu, pihak keselamatan juga telah menetapkan kawasan seluas 45 batu nautika di sekitar bandar raya Sydney sebagai zon larangan terbang.

Zon terbabit akan dipantau oleh jet penyerang Tentera Udara Australia dan helikopter polis.


Pada masa yang sama, sebuah kapal ‘penyapu periuk api’ tentera laut Australia juga meronda di sekitar Sydney Harbour untuk mengawal kawasan sekitar Sydney Opera House.

Penyelam tentera laut juga dikerah memantau kawasan perairan terbabit bersama Polis Marin dan anggota pasukan keselamatan khas.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan supaya orang ramai tidak memasuki kawasan bandar raya sepanjang persidangan ini berlangsung kerana banyak jalan raya yang ditutup.

Pada masa yang sama, perkhidmatan kereta api bawah tanah juga akan dihentikan hujung minggu ini – semua atas nama keselamatan.

Orang ramai telah dinasihatkan supaya menggunakan kenderaan awam sepanjang minggu ini di bandar raya Sydney dan bersedia untuk memulakan perjalanan untuk tempoh masa yang lebih panjang daripada biasa kerana banyak jalan yang akan ditutup.

Kerajaan Australia telah membelanjakan A$169 juta sejak enam tahun lalu untuk meningkatkan aspek keselamatan bagi mesyuarat APEC kali ini.

Presiden Bush dalam satu temu ramah televisyen baru-baru ini telah menyatakan beliau memohon maaf terhadap kesulitan yang perlu dilalui warga Sydney sempena kunjungan beliau pada sidang kemuncak APEC kali ini.

Daripada ZAHARUDDIN MOHD ALI (Di Sydney, Australia)

Utusan Malaysia 5 September 2007

Foto dipetik dari Wikipedia