
ISU keselamatan sejak dulu hingga kini sentiasa menjadi keutamaan setiap negara di dunia untuk memastikan perjalanan hidup rakyat dan pemerintah negara terus berjalan lancar.
Berdasarkan faktor-faktor keselamatan jua, ia akan menentukan sesuatu usaha, perancangan dan pembangunan itu berjaya dilaksanakan.
Jika faktor keselamatan begitu rapuh, pasti sesebuah negara itu dilihat berada dalam keadaan kucar-kacir dan hala tujunya juga tidak menentu.
Keadaan ini kelak membawa kepada pergolakan dalam negara dan tidak hairanlah akan ada anasir-anasir luar dapat menggugat keselamatan nasional.
Dalam hal ini, peranan pasukan keselamatan terutama bahagian perisikan yang menjadi benteng hadapan untuk mendapatkan apa jua maklumat, dilihat amat penting bagi membolehkan tindakan menghalang dan menangani keganasan dapat dilakukan segera.
Pada masa sama, maklumat perisikan yang diperoleh juga bakal menentukan bentuk tindakan bagi menangani dan menghalang faktor-faktor yang boleh menggugat keselamatan sesebuah negara itu.
Oleh itu, perlulah diingat bahawa ancaman keselamatan bukan sahaja dari dalam negara, malah boleh datang dari luar. Ini termasuk ancaman berbentuk siber, selain ancaman militan, lanun dan banyak lagi.
Bagi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), peranan memastikan keselamatan negara dan rakyat harus terus dipupuk tanpa digugat. Ini bukanlah satu tugas yang mudah. Malah ia perlu dilakukan secara berterusan.
Tambahan pula, peranan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) ATM adalah antara bahagian yang amat penting dalam pasukan tentera bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.
Melihat perlunya keselamatan negara dijaga dan terjamin, BSPP mengambil langkah untuk mengadakan kerjasama, persefahaman dan bertukar-tukar maklumat dengan banyak negara di dunia.
Ini termasuk melalui Persidangan Ketua Ketua Perisikan Pertahanan Rantau Asia Pasifik (APICC) yang pertama di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula hari ini hingga 7 September ini. Persidangan itu anjuran ATM dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
Menurut Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Salleh Ismail, sebelum ini kebanyakan persefahaman yang diadakan oleh bahagian itu termasuk kerjasama pertukaran maklumat perisikan lebih kepada dua hala atau bilateral - iaitu antara negara dengan negara.
Melalui persidangan itu nanti diharap dapat mewujudkan persefahaman lebih luas antara BSPP dengan rakan sejawat dari negara-negara peserta.
Kata Mohd. Salleh, antara 22 buah negara yang menyertai APICC ialah Amerika Syarikat, Jepun, Australia, New Zealand, Jerman, negara-negara ASEAN dan banyak lagi.
Melibatkan
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi ucaptama pada perasmian pembukaan persidangan itu.
‘‘Ini merupakan persidangan pertama seumpamanya melibatkan ketua-ketua perisikan pertahanan dari seluruh dunia.
‘‘Langkah persidangan ini ialah bagi mencari persefahaman dan bertukar-tukar maklumat perisikan demi keselamatan bersama.
‘‘Kita melihat isu keselamatan amat penting dan perlulah sentiasa diberi perhatian serius bagi menjaga keamanan negara dan kawasan serantau,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, kehadiran ramai negara peserta pada APICC akan mewujudkan kerjasama multilateral.
Di samping itu, APICC dapat dijadikan medan untuk menangani gerakan pengganas dan yang berbentuk militan.
‘‘Kita mahu menjadikan APICC medan untuk merintis kerjasama perisikan secara multilateral dengan tujuan meningkatkan tahap keselamatan melalui pertukaran maklumat perisikan.
‘‘Kita yakin melalui kerjasama itu nanti, ia dapat meningkatkan keupayaan dalam pertukaran maklumat risikan dan cara bertindak,’’ katanya.
Mohd. Salleh berkata, topik perbincangan pada persidangan itu antara lain juga mengetengahkan pembentangan beberapa kertas kerja mengenai keselamatan, pertahanan dan perkongsian perisikan maklumat mengenai kegiatan pengganas.
Ini kerana masalah pengganas atau militan dilihat tidak ada hadnya dan boleh berlaku bila-bila masa tanpa sempadan.
Ia boleh berlaku di mana sahaja tanpa mengira kedudukan negara atau latar belakang penduduk.
Sehubungan itu, Mohd. Salleh berpendapat, adalah penting bagi Malaysia serta negara-negara peserta APICC mengambil iktibar dan seterusnya menjadikan isu menangani keganasan sebagai agenda penting.
Di samping itu, kata beliau, kehadiran negara-negara peserta pada persidangan berkenaan memberi mesej jelas bahawa kita menentang apa jua bentuk keganasan atau militan.
Mesej
‘‘Melalui persidangan ini juga, kita mahu menolak tanggap negatif dari luar atau antarabangsa mengenai Malaysia dan Islam.
‘‘Kita mahu memberi mesej bahawa Malaysia dan Islam tidak pernah berkompromi dengan keganasan. Kita tolak keganasan.
‘‘Harapan kita ialah imej dari persidangan itu nanti memperlihatkan bahawa rakyat Malaysia menentang keganasan. Inilah imej yang akan dibawa oleh rakyat Malaysia apabila berada di negara asing,’’ katanya.
Diharap, dengan imej menentang sama sekali keganasan, secara tidak langsung dapat mewujudkan perubahan sikap pada negara-negara tertentu yang sebelum ini menganggap Malaysia dan Islam ada kaitan atau menyokong keganasan.
APICC juga dilihat sebagai platform untuk memulakan persefahaman dan kerjasama selain pertukaran maklumat perisikan bagi menangani apa jua bentuk salah tanggapan.
Mohd. Salleh menambah, APICC bertujuan memantapkan lagi kerjasama negara peserta dalam bidang keselamatan maritim.
Melalui pertukaran maklumat perisikan antara negara, langkah-langkah menangani keganasan melibatkan maritim dapat ditingkatkan lagi.
‘‘Isu keselamatan maritim memerlukan kerjasama dari negara-negara serantau.
‘‘Dalam hal ini, untuk bertindak pantas dan menangani apa jua bentuk kegiatan keganasan atau militan, ia memerlukan kerjasama negara-negara serantau terutama yang berjiran,’’ jelasnya.
Beliau membayangkan melalui persefahaman yang wujud melalui persidangan itu nanti dapat meningkatkan kerjasama pertukaran data.
Ini kelak membawa kepada pewujudan rangkaian kerjasama antara bahagian-bahagian perisikan setiap negara yang menyertai APICC.
‘‘Rangkaian kerjasama ini dapat memberi input maklumat risikan terkini bagi kepentingan bersama,’’ katanya.
Selain keganasan dan maritim, APICC juga bakal mencari titik pertemuan dan persefahaman dalam merencanakan kerjasama bagi menyelaraskan bantuan kemanusiaan apabila berlaku sesuatu bencana atau tragedi.
Sebelum ini, kita dapati bantuan kemanusiaan yang dihantar oleh negara-negara mengikut kemampuan masing-masing tanpa ada satu penyelarasan mantap.
‘‘Selain penyelarasan bantuan, kita juga harap dapat menyelaraskan penyaluran maklumat secara pantas.
‘‘Penyampaian maklumat awal apabila berlaku sesuatu bencana yang menimpa sesebuah negara, dapat membantu negara lain untuk bertindak mengekang sesuatu kejadian tidak diingini termasuk kegiatan pengganas,’’ katanya.
Mohd. Salleh berkata, APICC sebenarnya cuba mencari kata sepakat bukan sahaja berkaitan pertukaran data dan maklumat perisikan melalui kewujudan rangkaian kerjasama, malah mewujudkan satu sistem pengurusan perisikan dan maklumat antara negara-negara peserta.
‘‘Persefahaman dan saling percaya-mempercayai dari negara peserta pada APICC itu nanti bagi kepentingan bersama,’’ katanya.
Oleh AMIR SARIFUDIN
Gambar dan artikel dipetik dari Utusan Malaysia 5 September 2007