Rabu, 5 September 2007

Rusia rancang bina stesen tetap di bulan


MOSCOW 4 Sept. – Rusia merancang untuk melancarkan misi angkasawan ke Bulan pada 2025 dan membina sebuah stesen tetap di sana tidak lama selepas itu.

Rancangan Moscow itu diumumkan oleh Ketua Agensi Angkasa Lepas Rusia, Roskosmos, Anatoly Perminov hari ini.

“Berdasarkan jangkaan yang dibuat, kami akan bersedia untuk melancarkan misi angkasawan ke Bulan pada 2025,” kata Perminov kepada wartawan.

Sebuah “stesen berpenghuni” boleh dibina di sana antara 2027 hingga 2032, kata beliau.

Pendaratan pertama manusia di Bulan dilakukan oleh misi Apollo 11 Amerika Syarikat (AS) pada 20 Julai, 1969.

Perminov yang membentangkan rancangan Roskosmos untuk tempoh tiga dekad akan datang berkata, program angkasa lepas Rusia menerima tidak sampai 10 peratus bajet yang diterima oleh program AS, tetapi masih bercita-cita besar.

Moscow merancang menyiapkan pembinaan bahagiannya daripada Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menjelang 2015 supaya ISS boleh menjadi sebuah pusat penyelidikan angkasa lepas yang serba lengkap, kata Perminov.

– AFP