
Pejuang Umno perlu fokus baru bawa bangsa hadapi cabaran global
JIKA 50 tahun lalu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan “Merdeka, Merdeka, Merdeka” dan disambut penuh semangat oleh ribuan rakyat di Stadium Merdeka, di tempat sama pada malam 31 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga melaungkan ungkapan sama. Jika ketika itu Allahyarham Tunku mengajak seluruh rakyat meraikan saat kebebasan negara daripada tangan penjajah, hari ini Abdullah memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus menghidupkan pemikiran serta jiwa merdeka di kalangan rakyat.
"Bumi dan langit Malaysia menjanjikan tapak kukuh dan langit cerah untuk setiap warga dapat hidup bersatu penuh muafakat." Begitulah jaminan penuh bermakna Perdana Menteri yang jika disimpulkan merangkumi segala aspek keperluan material dan jasmani. Sudah tentu ia menjanjikan bahawa cita-cita negara untuk menjadi sebuah negara moden yang kaya dengan pengetahuan, inovatif, keusahawanan, berdaya saing dan berupaya menandingi mereka yang terbaik di dunia, boleh dicapai. Ia juga menjanjikan bahawa negara akan terus aman dan stabil dengan mengamalkan kesederhanaan serta saling menghormati dalam adunan warga pelbagai budaya.
Seperti janji yang dulunya dianggap sebagai slogan, tetapi hari ini sebagai tanggungjawab, Malaysia akan terus berpegang kepada konsep keadilan dan kesaksamaan, berusaha menghapuskan kemiskinan dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara bersama. Malaysia akan menjunjung prinsip demokrasi dan menguruskan negara secara bijak untuk kesejahteraan rakyat.
Cuma, rakyat perlu faham bahawa usaha mengisi kemerdekaan tiada batas waktu dan menuntut kepada perjuangan yang berterusan. Apa pun, beliau menjelaskan kejayaan Malaysia adalah usaha pelbagai pihak dengan kepemimpinan yang berwawasan jauh bermula dengan daripada Allahyarham Tunku Abdul Rahman, diikuti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad serta pejuang yang membebaskan rakyat daripada kongkongan pemikiran kolonialisme. Hari ini, baton ada di tangan Abdullah, bermakna, beliaulah yang mencorakkan masa depan negara seperti yang dihasratkan untuk membawa rakyat dan negara ke arah kecemerlangan, kegemilangan dan terbilang.
Bagaimana maju sekali pun negara ini, perjuangan tetap diteruskan kerana itu adalah realiti yang perlu dilalui. Bermulanya sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan selama setahun ini yang diisi pelbagai acara yang melambangkan keagungan bangsa dan negara dengan sendirinya bermakna bermulanya era pasca 50 tahun negara merdeka.
Dari segi kepemimpinan, kita mempunyai pemimpin yang sanggup melakukan apa saja demi bangsa dan tanah air. Namun, dari segi komuniti pejuang Umno yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan bangsa dan negara, perjuangan meningkatkan taraf hidup orang Melayu pasca 50 tahun merdeka menjadi salah satu agenda penting.
Dalam menggerak dan memacu agenda Melayu pasca 50 tahun merdeka, komuniti pejuang Umno memerlukan satu fokus baru dalam gerak kerjanya menerusi kepemimpinannya di Kabinet, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Fokus pertama adalah berkaitan modal insan – melahirkan insan berminda kelas pertama berorientasikan global, berintegriti, mengutamakan perpaduan dan semangat muhibah serta menghayati nilai murni berlandasaan prinsip ketamadunan Islam atau yang ditakrif Islam Hadhari.
Fokus kedua adalah berkaitan kemajuan ekonomi - Melayu perlu beralih daripada perjuangan melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian tradisional kepada perjuangan melahirkan masyarakat saintifik dan teknokrat yang mampu menangani kemajuan ekonomi berpaksikan penguasaan harta intelek, daya inovasi, daya kreativiti, bisnes berasaskan teknologi dalam semua bidang strategik - automotif, aeroangkasa, komunikasi, pertanian moden dan sebagainya.
Fokus ketiga berkaitan globalisasi - Melayu perlu berprestasi tinggi. Ukurtara kemajuan kejayaan perlu berlandaskan tanda aras global. Hasil filem, lagu, seni lukisan dan penulisan perlu setanding dengan pemikir dan karyawan antarabangsa. Melayu perlu berupaya mempengaruhi arah pemikiran forum antarabangsa – Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan 7 (G7) dan sebagainya.
Kepemimpinan wakil rakyat Melayu juga perlu dipertingkatkan keupayaan intelektualnya agar mampu berhujah dan berbahas berkaitan isu global - kesan rumah hijau, perubahan suhu dan lain-lain. Semua ini menuntut perubahan minda dan paradigma penggubal dasar dalam sektor kerajaan.
Universiti, umpamanya perlu menukar paradigma daripada melahirkan siswazah yang mudah mendapat pekerjaan kepada siswazah berupaya memasarkan daya intelektual dan kemahiran teknikalnya ke pasaran pekerjaan di merata dunia. Jika di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara, umpamanya, dasar sedia ada ialah meminta pelajar yang menerima biasiswa/pinjaman supaya pulang ke Malaysia sebaik tamat pengajian.
Adalah difikirkan wajar supaya sebahagian mereka dibenarkan terus berada di negara tempat mereka belajar supaya terus bekerja di sana untuk menimba pengalaman pada peringkat antarabangsa. Banyak manfaatnya jika siswazah Malaysia diizinkan menimba pengalaman, bersaing dan menyerlah prestasinya di firma dan organisasi global seperti Goldman Sach, Smith Barney, Credit Suisse, Boeing, Airbus, Microsoft, Google, NASA, Heritage Foundation, Brooking Institution , Mayo Clinic, John Hopkins Hospital, dan sebagainya.
Bagi menangani cabaran globalisasi, orang Melayu perlu ditransformasikan menjadi insan multilinggual dan bukan setakat menjadi insan biligual. Orang Melayu sewajarnya bukan setakat menguasai bahasa Melayu semata-mata tetapi wajar menguasai minimum dua bahasa yang lain tidak kiralah sama ada bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab dan sebagainya.
Di medan korporat pula, syarikat berkaitan Kerajaan atau GLC yang sinonim dengan keupayaan anak anak muda profesional Melayu memimpin organisasi korporat bertaraf dunia juga perlu bertukar agar tidak menjadi jaguh kampung tetapi muncul di persada global untuk bersaing dengan organisasi korporat bertaraf dunia.
Tidak perlulah ketua eksekutif dan pasukan pengurusan korporat GLC bergantung kepada kerajaan untuk menawarkan mereka projek mega secara laluan mudah, tetapi seeloknya mereka menggunakan kekuatan pengurusan dan sumber kewangan yang sememangnya ada pada mereka untuk menjadi jaguh korporat global.
Kalaulah era pasca 50 tahun merdeka kelak menyaksikan penjenamaan semula GLC agar menjadi GGLC atau Global Government Linked Companies yang dominan di pasaran antarabangsa di negara-negara BRIC (Brazil, Rusia, India dan China), Eropah, Asia Barat dan Amerika, ia adalah satu lonjakan kuantum terhadap pencapaian dan imej keupayaan pemimpin korporat dan eksekutif Melayu pada masa hadapan.
Tidak dapat dinafikan masa depan bangsa Melayu pasca 50 tahun kemerdekaan negara amat bergantung kepada kualiti kepemimpinan Melayu. Justeru, masanya sudah tiba untuk memulakan usaha mewujudkan ‘talent pool’ (pengumpulan bakat) kepemimpinan Melayu secara sistematik dan saintifik. Sudah ada anak Melayu yang kini bertugas di China membantu firma antarabangsa mewujudkan talent pool kepimpinan korporat bagi firma multinasional di sana dengan menggunakan pelbagai kaedah dan instrumen.
Justeru, sumber kepakaran ini boleh dimanfaatkan. Kemunculan barisan pemimpin pelapis Melayu yang bakal menjadi pemimpin parti, khidmat awam, korporat, universiti, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, tentunya tidak lagi dianggap satu proses yang penuh teka-teki, ramalan dan lobi tetapi ia adalah satu langkah yang dirancang sejak terserlah bakat kepemimpinan warga muda Melayu itu di sekolah, universiti dan pada awal kerjayanya.
Sejarah menyaksikan betapa kepemimpinan Umno menerajui perjuangan mencapai kemerdekaan dan mengurus cabaran kemerdekaan dengan jayanya untuk tempoh 50 tahun pasca merdeka. Justeru, rakyat tentunya mengalu-alukan jika kepemimpinan Umno juga yang diamanahkan dan dipertanggungjawab memacu keunggulan Melayu dan kemajuan negara dalam era pasca 50 tahun merdeka.
Oleh Radzi Latif
Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif adalah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)
Berita Harian
5 September 2007