Isnin, 3 September 2007

Musyawarah cara terbaik tangani masalah guru, ibu bapa


SEBELUM ini kita hanya mendengar kes ibu bapa menyaman guru dan sekolah kerana tindakan guru terhadap anak mereka yang menimbulkan rasa tidak puas hati. Bagaimanapun, laporan akhbar semalam berlainan ceritanya dengan guru pula akan menyaman tiga ibu bapa kerana membuat tuduhan palsu. Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) akan memfailkan saman itu kerana ketiga-tiga ibu bapa berkenaan didakwa membuat aduan palsu mengenai salah laku guru terhadap murid mereka melalui media. Tindakan menyaman ibu bapa ini, yang pertama dalam sejarah perguruan di negara ini, diputuskan Jawatankuasa Kerja NUTP minggu lalu bagi memelihara maruah dan imej profesion guru. Ia juga bertujuan menghindari guru daripada terus menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencemar serta mencalarkan imej guru sehingga menimbulkan kekecewaan rakyat. Antara aduan yang biasa dilemparkan terhadap guru ialah murid dirotan hingga lebam, murid ditampar dan sebagainya. Aduan seumpama itu yang disiarkan akhbar dan televisyen kemudian mendapat perhatian ahli politik dan isu itu pun menjadi lebih besar. Guru terbabit dikenakan tindakan disiplin dan terpaksa mengharungi kehidupan masa depan lebih suram. Guru berkenaan juga tidak berpeluang mendapat pembelaan sewajarnya padahal niat guru itu hanya untuk mengajar murid yang tidak berdisiplin.

Walaupun niat guru itu baik, tidak semua ibu bapa menganggap apa yang dilakukan guru itu sebagai sesuatu yang baik. Ada tersalah sangka, lalu membuat pelbagai andaian dan tidak kurang pula melemparkan tuduhan tanpa usul periksa. Apakah pembangunan dan kemajuan menyebabkan pandangan masyarakat kita terhadap tanggungjawab guru turut berubah. Jika dulu, ibu bapa meminta guru ‘merotan’ anak mereka jika degil dan malas belajar, mereka kini lebih cenderung mengambil tindakan terhadap guru yang menghukum anak mereka. Ada juga ibu bapa menyerang sekolah apabila menerima aduan daripada anak bahawa guru menyuruh mereka melakukan sesuatu sebagai hukuman. Kita akui kadangkala ada sesetengah hukuman tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan murid, tetapi dalam kebanyakan kes, memang murid terbabit wajar menerima hukuman.

Kita berpendapat tindakan saman menyaman antara guru dan ibu bapa tidak membawa kebaikan sama sekali, malah memburukkan lagi keadaan. Tindakan itu akan mendedahkan keburukan guru mahupun ibu bapa terbabit. Adalah lebih wajar guru besar dan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) memainkan peranan lebih berkesan tanpa campur tangan orang lain. Tindakan untuk membawa kes tertentu ke mahkamah hanya memporak-perandakan sekolah yang sepatutnya menjadi tempat mendidik anak kita supaya menjadi bangsa yang berilmu dan cemerlang. Kita bimbang apabila saman menyaman menjadi budaya, yang menjadi mangsa ialah sekolah dan murid. Jika guru dan sekolah di pihak yang benar, eloklah perkara ini diselesaikan oleh PIBG secara musyawarah. Jangan kerana ingin menegakkan hak dan kebenaran masing-masing, kita memperjudikan nasib masa depan anak kita. Kita memahami hasrat dan niat suci NUTP untuk membela guru serta melindungi mereka daripada tuduhan tidak berasas, tetapi cuba kita fikirkan apa akan terjadi kepada sistem pelajaran kita jika setiap bulan ada saja kes yang difailkan ke mahkamah sama ada oleh kesatuan yang mewakili guru mahupun ibu bapa? Bagi menghadapi keadaan ini, sudah tentu kita memerlukan garis panduan yang lebih jelas daripada Kementerian Pelajaran supaya isu berkenaan diatasi dengan sepenuh kebijaksanaan tanpa menjejaskan nama guru terbabit.


Berita Harian
4 September 2007