
Islam memberikan kebebasan kepada insani untuk hidup berkebudayaan. Tetapi sudahlah nyata bahawa tidak ada kebebasan di dunia ini yang tidak terbatas. Islam mengajarkan bahawasanya di dalam mencari ilmu pengetahuan atau firasat atau seni, satu hal perlu diingat. Iaitu betapa nilainya bagi jiwa.
Yang dicari menurut Islam ialah yang manfaat. Yang dijauhi menurut Islam ialah mudarat. Di samping mencari yang benar dan mengelakkan yang salah, atau mencari yang baik dan menjauhi yang jahat, haruslah diperhatikan yang manfaat dan yang mudarat itu. Yang manfaat ialah yang berfaedah dan yang mudarat ialah yang dapat membawa bahaya.
Misalnya bom atom sebagai hasil ilmu pengetahuan yang maha dahsyat di zaman ini. Semata-mata rahsia tenaga atom tidaklah salah. Tetapi kalau mencari rahsia atom dengan niat untuk memusnahkan sesama manusia adalah dosa besar. Sebab ia membawa mudarat. Maka haramlah ia. Tetapi kalau mencari rahsia dan tenaga atom akan dipergunakan bagi maksud damai, itu adalah manfaat. Itu adalah disuruh agama.
Demikian juga dalam lapangan filasat. Akal fikiran bebas mencari hakikat atau waardheid. Tetapi semata-mata filsafat saja tidaklah dapat menyelesaikan persoalan.
Seorang filsuf Muslim bernama Al-Razi berkata, "Tidak ada faedah yang kita dapati sepanjang umur ini selain dari mengumpulkan ujar si fulan dan kata si anu) Filsuf hanya dapat menyatakan suatu hasil fikiran dan filsuf yang lain dapat pula membantahnya. Fikiran filsafat mesti ada ujung. Percaya atau tidak percaya. Baharulah selamat filsafat apabila hujungnya sampai kepada percaya. Dan barulah seorang filsuf sampai ke dalam rasa bahagia, apabila akhirnya dia menyerah dan mengaku dengan sukarela kepada akal yang mutlak kepada ada yang sebenarnya ada.
Satu filsafat yang membawa orang keluar dari ikatan kepercayaan kepada Tuhan, akhirnya akan sampai juga kepada ikatan benda yang lain daripada Tuhan. Tegasnya, orang yang melepaskan dirinya dari satu ikatan ialah karena dia hendak menyerahkan dirinya buat diikat oleh yang lain.
Seorang Muslim yang sejati hanya menerima ikatan dengan Tuhan ikatan cinta dan kasih ikatan cemas dan mengaharap (khauf dan raja). Adapun ikatan yang lain, betapa pun kuasanya atau gagah perkasanya, baik dia datuk atau pendeta atau diktator atau kubur keramat, atau keris bertuah atau apa dan siapa saja tidaklah dapat diterimanya karena "La ilaha illallah" (Tiada Tuhan selain Allah).
Kagumlah manusia melihat kebesaran Fir'aun dan perkembangan kebudayaan di zaman Fir'aun, sampai dapat mendirikan bangunan besar dan agung, Piramid dan Sphinx. Namun Musa dan tongkatnya masih berani mengatakan 'Stop!'
Kagumlah insan di zaman moden ini melihat perkembangan ilmu sains, Lunik, Sputnik, Bom Atom dan Hidrogen. Seorang Muslim akan selalu bertanya dalam hatinya, "Hendak ke mana semuanya ini?"
Seni pun sedemikian pula. Seni akan bermanfaat kalau dengan sebab meresapkan rasa keindahan kita bertambah dekat kepada Tuhan. Terasa kecil di hadapan Kebesaran Ilahi yang terpeta jelas di halaman alam. Lalu tunduk dan tafakur. Tetapi sangatlah besar mudaratnya bagi jiwa bagi perikemanusiaan kalau seni lantaran indahnya lalu disembah buatan tangan itu. Kadang-kadang ibu pertiwi, tanah air dan bangsa dijadikan sembahan dan pujaan, kadang tafakur di hadapan sebuah kubur, meminta restu kepada tulang belulang di kubur itu. Kadang-kadang yang benar adalah bangsaku, bangsa lain salah semuanya.
Jiwa keIslaman berontak menghadapi yang semacam ini. Ataupun kecantikan dan keindahan tubuh wanita pada etiket lahir dikatakan keindahan dan kesenian, padahal hanyalah untuk menyelimuti nafsu syahwat kelamin (seks). Dan wanitanya sendiri karena tidak tahu di untung merasa bangga karena mereka telah dipuja-puja, padahal mereka adalah laksana sapi-sapi yang diiringkan beramai-ramai ke pejagalan, buat dikorbankan kehormatannya, atas nama seni.
Tidaklah pada tempatnya kalau di sini saya mengkaji hukum halal dan haram. Yang penting diingat ialah bahawasanya Islam sejak dia masuk ke tanah air kita ini telah mengisi dengan sangat aktif akan kebudayaan Indonesia. Dengan tegas dan berani mempertanggungjawabkan, dapatlah saya katakan bahawa modal yang diberikan oleh Islam yang paling terbanyak, yang diberikan untuk membangun kebudayaan Indonesia.
Sebelum Islam masuk, contoh pakaian yang dipakai bangsa kita masih ada tinggal di Dayak, Irian dan Kubu. Islamlah yang memberinya pakaian yang indah. Serban pusaka Islamlah pakaian Kanjeng Pangeran Diponegoro. Sebelum dikalahkan oleh huruf Latin yang dimasukkan Belanda bersama penjajahannya, huruf Arablah huruf kesatuan Bangsa Indonesia, setelah disesuaikan dengan keperluan bahasa itu. Di Tanah Melayu diberi nama "huruf Jawi" di Jawa sendiri dinamai 'Huruf Melayu' dan "Huruf Pegon".
Hindu telah meninggalkan pusaka berupa candi-candi yang sekarang dijadikan barang antik bernilai sejarah untuk objek turis untuk mencari riwayat lama pada batu-batu. Tetapi Islam telah meninggalkan Masjid yang hidup setiap hari dan ramai setiap Jumaat.
Perkembangan bahasa yang sekarang dinamai "Bahasa Indonesia", adalah dari bahasa Melayu klasik yang ditulis oleh ulama Islam. Sejak Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji dan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Wali Songo memberikan sumbangan yang banyak sekali ke dalam filsafat Jawa, bahkan ke dalam wayang sekalipun. Mangku negara keempat memberi orang Jawa nyanyian dalam jiwa tasawwuf Islam.
Di daerah yang kuat Islamnya kuat pula semangat gotong-royongnya yang berpusat pada jemaah di langgar dan di masjid. Tetapi di tempat yang sisa Hindu masih berkesan, gotong-royong hanya dapat kalau dipaterikan dengan "nuhun inggih". Etiket di luarnya "gotong-royong" namun hakikatnya ialah persembahan "wong-cilik" kepada Kanjeng.
Saya mengakui bahawa di saat-saat akhir Islam mendapat tentangan hebat dari segala jurusan. Berbagai ragam kebudayaan Nasional. Ada kebudayaan sisa penjajahan, benci kepada bahasa Arab senang berbahasa Belanda. Kebudayaan Barat yang mementingkan mesin dan benda. Mesinnya tidak datang tetapi nightclub dan persiar malam itulah yang ramai meriah. Kebudayaan mengingkari Tuhan, kebudayaan pertentangan kelas, kebudayaan dengan dasar kebencian dan menghapus segala yang berbau kasih-sayang.
Dalam menghadapi tantangan itu, saya melihat seakan-akan dalam kalangan Islam sendiri timbul rasa "rendah diri" tidak berani membawa modalnya ke tengah medan. Dia meratapi tepian tempatnya mandi yang runtuh sehabis banjir tetapi tidak ditegakkannya tepian yang baru.
Saya mengakui bahawa perhatian pihak Islam agak terlalu sedikit terhadap kebudayaan. Tetapi saya percaya bahawa dia akan bangun kembali karena sumber kebudayaan Islam belum hilang. Iaitu pertama Al-Qur'an, kedua ialah sejarahnya sendiri.
- HAMKA
INFO
HAMKA atau nama sebenarnya Dr Haji Abdul Malik Karim Amrullah adalah ulama yang dilahirkan pada 1908 di Sumatera Barat, Indonesia. Semasa hidupnya aktif dalam agama dan politik, juga menjadi wartawan, penulis, editor dan penerbit.
Karya ilmiah terbesar beliau ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novelnya termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Hamka meninggal dunia pada 1981.
Dipetik dari majalah Milenia Muslim.