
PULAU PINANG 3 Sept. – Sedar atau tidak, premis-premis di negara ini kini berhadapan serangan anai-anai terutamanya daripada jenis Coptotermes gestroi yang mampu memusnahkan bangunan.
Sehubungan itu, kerajaan digesa mewajibkan setiap bangunan dan struktur dirawat dengan bahan kimia pencegah anaianai jika tidak mahu berdepan dengan kerosakan teruk pada masa depan.
Malah, bangunan-bangunan lama atau bersejarah juga tidak mustahil boleh roboh akibat diserang serangga perosak terbabit sekali gus menyebabkan kemalangan maut.
Pakar Entomologi dan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Lee Chow Yang berkata, walaupun bangunan atau rumah yang diserang anai-anai mungkin tidak roboh dengan sekelip mata tetapi langkah-langkah pencegahan perlu diambil segera.
‘‘Sebagai contoh, pada 11 September 2005, seorang guru di Kedah terbunuh ekoran dihempap siling bangunan sekolah yang uzur dan tidak dirawat dengan bahan pencegahan serangga berkenaan.
‘‘Jadi, kita tidak mahu perkara sama berlaku, tidak kiralah sama ada bangunan kerajaan atau swasta, pencegahan itu perlu dilakukan ekoran situasi di negara ini berlainan daripada negara lain kerana di Malaysia memang mempunyai tekanan infestasi anai-anai tanah yang tinggi.
‘‘Saya selalu cakap dengan sesiapa pun, terdapat dua jenis bangunan di negara ini yang sudah diserang dan dimakan atau yang bakal menghadapi masalah tersebut, jadi bayangkan apa akan terjadi jika langkah mandatori itu tidak diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk Perspektif Tentang Pengurusan Anai-anai Di Dalam Bangunan dan Struktur di Malaysia di Dewan Budaya USM di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, terdapat banyak negara di dunia telah menjadikan usaha untuk mencegah serangan anai-anai sebagai mandatori seperti di Hawaii manakala Singapura dan Thailand pula dalam usaha ke arah itu.
Tambahnya, anai-anai boleh menyerang di mana-mana sahaja di negara ini dan kawasan berisiko tinggi ialah bekas ladang kelapa sawit dan getah kerana anai-anai juga merupakan perosak yang penting di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, Chow Yang menegaskan, kerja-kerja merawat dengan bahan kimia perlu dilakukan oleh mereka yang bertauliah dan mempunyai lesen kerana ia perlu dicampur mengikut sukatan yang betul.
‘‘Pemaju-pemaju perlu buat rawatan anti anai-anai sebelum satu bangunan itu didirikan dan ia perlu dilakukan oleh mereka yang profesional dan berlesen dan bukan sebarangan orang.
‘‘Memandangkan ia tidak mandatori di negara ini, apa yang berlaku di negara ini sekarang ialah terdapat kerja-kerja terbabit dijalankan oleh mereka tidak bertauliah dan tidak profesional seperti pekerja asing,” ujarnya.
Oleh Nurul Huda Hassan
Utusan Malaysia
4 September 2007