
SECARA amnya, radio telah wujud dan memulakan operasinya lebih awal daripada televisyen. Sumbangannya yang besar sentiasa meniti di bibir-bibir mereka yang mengakui bahawa radio menyumbang ke arah masyarakat berilmu.
Ia juga berfungsi sebagai ejen perubahan bagi masyarakat Malaysia ketika itu. Kepentingannya dalam penyatuan masyarakat Malaysia amat besar dan telah terbukti sejak zaman sebelum merdeka lagi.
Kini walaupun Malaysia sudah mengecapi kemerdekaan yang ke-50 tahun, radio masih lagi menjalankan fungsinya sebagai wadah pemikiran rakyat.
Walaupun terdapat saingan dengan media elektronik yang lain seperti televisyen dan juga Internet, radio dilihat masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Mungkin kerana sifatnya yang unik menjadikan radio medium istimewa di kalangan pendengar. Ia juga mungkin didorong oleh ciri-ciri radio itu sendiri iaitu murah, mudah alih dan mempunyai kemampuan yang luar biasa iaitu hanya melalui gelombang membolehkannya terus bersiaran.
Ringkasnya, radio mempunyai liputan yang meluas dan menyeluruh di negara ini. Masyarakat boleh mendengarnya walaupun ketika memandu.
Jelas ia telah menggunakan keistimewaan dalam segala kemudahan dan ruang masa untuk menguasai khalayak pendengar.
Sejak set radio yang pertama (untuk kegiatan radio amatur) dibawa masuk ke Johor Bahru oleh A. L. Birch, iaitu seorang jurutera elektrik kerajaan negeri Johor pada tahun 1921, penyiaran telah tidak menoleh ke belakang lagi dan terus berkembang sebagai sebuah industri negara. Radio telah menjadi medium perantaraan utama pada masa itu.
Medium yang membolehkan penyebaran berita dan informasi tersebar dengan kadar yang cepat berbanding surat khabar walaupun penggunaannya agak terhad iaitu hanya tertumpu kepada golongan yang mampu memiliki set radio sahaja.
Hari ini Malaysia mempunyai pelbagai saluran siaran radio tidak kira radio milik kerajaan mahupun swasta. Percambahannya dalam industri penyiaran kelihatan berkembang dari hari ke hari. Dan terkini, sebuah lagi stesen radio telah dilancarkan operasinya yang dikendalikan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Radio yang dikenali sebagai ‘Radio24' merupakan stesen radio berita dan maklumat pertama di negara ini. Radio24 ini dilihat mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan mendukung slogannya iaitu ‘Sebenar, Semasa’.
Ini merupakan suatu perkembangan yang sangat dinantikan oleh khalayak pendengar yang dahagakan maklumat berbanding hiburan. Tambahan pula, kewibawaan Bernama dalam menyediakan pelbagai laporan berita sememangnya sudah terbukti sejak awal penubuhannya dan telah menjadi sumber berita penting di negara ini.
Apa yang pasti dengan lahirnya Radio24 ini sedikit sebanyak telah membolehkan khalayak mendapatkan maklumat ataupun berita yang terkini, benar dan jelas.
Ini kerana radio merupakan alat yang berpotensi dalam memberikan penerangan kepada masyarakat mengenai sesuatu peristiwa, memberi maklumat dengan kadar segera kepada pendengar dan membolehkan mereka bertindak balas seperti yang dihasratkan oleh pihak stesen radio di dalam mencapai objektif ataupun misi mereka.
Maka bolehlah dikatakan bahawa sejarah telah membuktikan kekuatan dan kemampuan radio dalam membina sesuatu masyarakat berilmu.
Memandangkan media adalah alat yang paling penting dan berkesan dalam membawakan mesej kepada khalayak, jika digunakan dan dikendalikan dengan bijaksana maka segala yang cuba disampaikan sudah pasti akan terlaksana.
Oleh SHAHRIL ANUAR ABDUL GHALIM
Utusan Malaysia 5 September 2007