Rabu, 5 September 2007

Dasar DEB perlu dalam Wilayah Pembangunan Iskandar


SEBAGAI rakyat malaysia, kita perlu ada tanggungjawab kepada negara. Begitu juga dengan pengamal media seperti The Star yang memainkan peranan dengan penuh tanggugjawab dalam bersama kerajaan membangunkan negara. Inilah dikatakan cinta kepada negara. Kita tidak boleh membiarkan negara tercinta ini terpesong dari landasan kerana kita dan generasi akan datang yang akan menanggung akibatnya.

Saya menyokong langkah kerajaan membangunkan koridor-koridor di seluruh negara termasuk Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Namun dasar Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu diterapkan dan tidak boleh diketepikan dalam pembangunan setiap koridor dan wilayah ini.

Ini adalah tunjang kepada pembangunan negara supaya setiap pembangunan yang dibuat dalam negara kita adalah hak dan tanggugjawab kita. Ia juga adalah pembangunan mengikut acuan negara kita. Mungkin pembangunan ini tidak semaju Singapura, Hongkong atau Taiwan tetapi pembangunan yang ada pada hari ini adalah kebanggaan kita.

Kita mampu berdiri sama tinggi dengan negara-negara yang lebih membangun. Saya cukup bimbang dengan pembangunan WPI ini di mana kita ianya hanya akan mewujudkan satu jurang komposisi kaum yang cukup ketara di dalamnya. Kita tidak mahu 10 hingga 15 tahun akan datang kaum Bumiputera di WPI akan terpinggir dan boleh dibilang dengan jari sahaja.

Memang diakui pembangunan seperti ini akan menjadikan WPI maju setanding dengan kota-kota metropolitan di dunia yang lain tetapi manfaat kesan yang dihadapi oleh kaum Bumiputera begitu ketara. Tidak dinafikan WPI ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan tetapi tidak ramai kaum Bumiputera mampu untuk mendiami WPI dengan harga rumah kediaman dan premis-premis perniagaan yang begitu tinggi sehingga tidak mampu dibeli oleh kaum Bumiputera. Kesannya nanti ramai penghuninya adalah terdiri dari kaum bukan Bumiputera.

Saya percaya orang-orang Melayu cukup bimbang tentang hal ini. Sekarang dalam negara komposisi kaum 55-45 di mana bumiputera 55% dan bukan bumiputera 45%. Secara peribadi saya bimbang dengan keluasan WPI yang lebih besar dari negara Singapura didiami majoriti kaum bukan bumiputera.

Saya berharap kerajaan menimbang pelbagai aspek dan mengambil kira kepentingan negara dalam melaksanakan projek pembangunan di WPI ini. Kita sudah berjaya membangunkan bandar-bandar baru seperti Shah Alam dan Putrajaya mengikut acuan kita sendiri. Saya percaya kita telah mempunyai asas dalam melaksanakan pembangunan wilayah dan boleh dipraktikkan dalam pembangunan WPI supaya generasi yang hidup akan datang tidak menangisi apa-apa kesilapan dasar dan keputusan kita pada hari ini.

Alnorulhadi Ab Hamid
Kota Bharu

Artikel dipetik dari kolum pendapat mSTAR Online