Rabu, 26 September 2007

Ramadan di Malaysia cukup harmoni


Pegawai asing tertarik kemeriahan bulan puasa turut dirai bukan Islam


SEPANJANG lapan bulan berada di Malaysia, Ramadan ini dirasakan begitu syahdu apabila semua masyarakat berbilang kaum turut sama menyambutnya. Kemeriahan dirasai di mana-mana. Siaran televisyen dan radio tidak ketinggalan menyajikan program menjurus ke arah kebaikan.

"Saya rasakan Ramadan di Malaysia memberikan suasana di negara Islam sebenar yang lazimnya dirasai ketika berada di negara Asia Barat," kata Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Leftenan Jeneral (b) Tahir Mahmud Qazi.

Ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini, Tahir berkata, hampir setiap hari program berunsur Islam dipaparkan di televisyen.

Walaupun siaran menggunakan penyampai bahasa Malaysia, beliau berkata, dia tetap memahaminya berpandukan sari kata bahasa Inggeris.

Apa yang lebih menarik lagi, promosi program keagamaan dapat dirasai sebelum menjelang Ramadan lagi, malah sambutan daripada penaja yang terdiri daripada korporat dan syarikat besar tempatan dan multinasional begitu menggalakkan.

Berkongsi pengalaman menghadiri majlis berbuka puasa sama ada rasmi atau santai, Tahir yang ditemani isterinya, Dina Qazi berkata, walaupun ada hadirin daripada bukan beragama Islam, pemerhatiannya mendapati, kehadiran tetamu berbilang kaum dalam satu majlis mencerminkan kesepakatan dan keharmonian masyarakat Malaysia. Mereka boleh berkumpul pada satu majlis yang indah tanpa rasa prejudis. Ketertiban masyarakat ketika berpuasa juga dirasai.

Rata-ratanya tertib berbuka puasa di Malaysia, didahului dengan mengambil minuman dan sedikit kurma sebelum berhenti seketika menunaikan solat Maghrib berjemaah manakala jemputan yang bukan beragama Islam sabar menanti rakan mereka selesai sembahyang sebelum sama-sama menjamu selera.

Masyarakat Malaysia bernasib baik, kekayaan dan kemakmuran negara dinikmati bersama. Mereka boleh dikategorikan sebagai masyarakat Islam moden yang progresif. Pemodenan dan pembangunan ekonomi setempat tidak menghakis jati diri sebagai masyarakat Timur dan umat Islam yang taat kepada tuntutan agama.

Bekas pegawai tinggi angkatan tentera Comandan Aier Defence Corps Pakistan, Tahir berkata, usaha sama kedua-dua negara mencerminkan kesungguhan bersaudara seagama yang juga anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM).

Sebagai pengimport terbesar minyak sawit dengan nilai dagangan berjumlah kira-kira RM900 juta setiap tahun, Pakistan kata beliau mempunyai jaringan yang kukuh dalam bidang ekonomi dan perdagangan.

Usaha sama Malaysia-Pakistan itu akan diperkukuhkan dan pihaknya kini sedang dalam proses rundingan untuk memeterai perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dijadual dimeterai penghujung tahun ini dengan pelaksanaan berkuat kuasa Januari 2008.

Pemeteraian itu menjadikan Malaysia dan Pakistan sebagai negara pertama di kalangan negara OIC memeterai perjanjian persefahaman seumpama itu sebagai antara langkah memperkasakan hubungan kedua-dua pihak.

Tidak dinafikan, Tahir berkata, sebaik menerima tawaran bertugas di Malaysia, hatinya berdebar-debar bercampur gembira. Kegembiraan kerana yakin Malaysia dapat memberi peluang kepadanya menawarkan perkhidmatan terbaik.

Sangkaannya memang tepat kerana sepanjang bertugas di Malaysia banyak program dilaksanakan, selain meningkatkan hubungan diplomatik beliau juga perlu lebih peka mengenai kemasukan lebih ramai warga Pakistan ke Malaysia bagi memenuhi pasaran kerja pelbagai sektor.

Sepanjang perbualan jelas terpancar di wajahnya kepuasan serta kegembiraan bapa tiga cahaya mata dua lelaki dan seorang perempuan ini kerana diberi kepercayaan bertugas di Malaysia.

"Setakat ini, berdasarkan laporan rasmi seramai 30,000 warga Pakistan mencari rezeki di bumi bertuah ini. Selain menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, sebagai sesama Islam, saya dapat rasakan keberkatan rezeki memberi peluang keluarga mereka di tanah air memperbaiki taraf hidup," katanya.

Tahir berkata, segala isu dan permasalahan yang dihadapi rakyatnya di negara ini akan diatasi dengan sebaik mungkin.

Malah katanya, ada pegawai bertanggungjawab menyediakan khidmat kaunseling kepada mereka, terutama ketika berurusan mahupun bercampur dengan penduduk tempatan.

Walaupun secara dasarnya, beliau berkata masing-masing seagama, apa yang ditekankan di sini ialah adat resam masyarakat sekitar perlu diambil kira bagi mengelakkan daripada timbul rasa tidak puas hati.

"Setiap kali bertemu pastinya, saya akan mengingatkan kepada mereka betapa bertuahnya berada di Malaysia. Kemakmuran serta kemajuan sesama umat di negara ini dapat dikongsi bersamaan.

"Kecemerlangan hubungan ketenteraan antara Pakistan dan Malaysia yang terjalin sejak 15 tahun lalu begitu terserlah. Hampir setiap dua tahun, Pakistan akan menyokong Malaysia dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima)," katanya.

Hampir setiap tahun Tahir berkata, dua pegawai tentera Malaysia mengikuti program di National Defence College di Islamabad dan Command and Staff College di Queta dan jumlah itu dijangka meningkat kepada tiga pegawai setiap tahun. Begitu juga dua pegawai dari Pakistan mengikuti program yang sama di Malaysia.

Oleh Norliza Abdullah
Berita Harian 27 September 2007