SAYA ada kemusykilan berkaitan pendaftaran perkahwinan saya. Untuk pengetahuan, saya dan suami bernikah di Songkhla, Thailand pada Disember 2006. Tindakan ini diambil memandangkan ibu bapa saya menghalang hasrat kami untuk bersatu sehingga sanggup mengugut untuk melakukan sesuatu yang tidak masuk akal jika saya berkeras untuk bersama dengan suami. Saya yakin dengan niat saya memilihnya sebagai teman hidup saya kerana kami tidak sanggup lagi berterusan dalam dosa dan noda. Satu cara adalah dengan menghalalkan apa yang diharamkan. Masalahnya sekarang, keluarga saya masih belum tahu mengenai pernikahan itu. Bagaimana saya hendak mendaftar secara sah di Malaysia tanpa pengetahuan mereka buat sementara sehingga kami dapat temui cara terbaik menyampaikan berita itu kepada ibu bapa saya? Apakah prosedur untuk mendaftar dan apakah dokumen yang perlu disediakan serta berapakah bayaran denda?
Mohon jawapan segera
Bangi
Sebelum menjawab lebih lanjut soalan puan, terlebih dulu ingin dinyatakan risiko yang perlu ditanggung bagi pasangan bernikah bertentangan dengan peruntukkan undang-undang.
Sesuatu perkahwinan yang dilakukan tidak mengikut undang-undang tidak boleh didaftarkan di bawah undang-undang melainkan perkahwinan itu disahkan mana-mana mahkamah syariah yang berbidangkuasa bahawa pernikahan itu sudah dilaksanakan mengikut hukum syarak.
Perkara itu diperuntukkan dalam Seksyen 12(1) dan (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003: “Sesuatu perkahwinan yang bersalahan dengan enakmen ini tidak boleh didaftarkan di bawah enakmen ini.
Seksyen 12(2) menetapkan: “Walau apapun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan subseksyen 40(2) sesuatu perkahwinan yang diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukkan bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut hukum syarak boleh didaftarkan di bawah enakmen ini dengan perintah mahkamah.
Oleh demikian, jika mahkamah syariah mendapati perkahwinan berkenaan tidak mengikut hukum syarak maka perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan dan surat perakuan nikah tidak boleh dikeluarkan.
Seterusnya, jika salah satu pihak menghilangkan diri selepas beberapa lama berlaku pernikahan maka keadaan akan menjadi sukar kepada pihak yang satu lagi khasnya isteri untuk menuntut haknya sebagai isteri sama ada nafkah diri mahupun nafkah anak.
Malah adalah menjadi sesuatu yang sukar juga baginya untuk menuntut cerai daripada suami yang dikahwini kerana sebelum sesuatu perceraian boleh dituntut, perkahwinan terlebih dulu perlu di sahkan oleh mahkamah syariah. Setelah pasti kewujudan perkahwinan menurut hukum syarak maka barulah pihak isteri boleh menuntut cerai daripada suami yang dikahwininya.
Begitu juga jika berlaku kematian salah satu pihak. Maka adalah sukar untuk isteri atau suami menuntut harta pusaka daripada pasangannya yang meninggal dunia kerana sebelum harta pusaka boleh dibahagikan, pihak yang menuntut mestilah membuktikan kepada mahkamah syariah bahawa ia adalah waris yang sah.
Maknanya, penuntut terlebih dulu sudah mendapat pengesahan daripada mahkamah syariah bahawa perkahwinannya adalah sah mengikut hukum syarak berdasarkan kepada surat nikah yang diperoleh.
Hakikatnya banyak risiko perlu ditanggung oleh pasangan yang bernikah tidak mengikut undang-undang dan hukum syarak kerana ia akan membawa kesan yang berpanjangan hingga ke akhir hayat. Apatah lagi, tanpa restu ibu bapa, sesuatu perkahwinan boleh memberi kesan kepada keberkatan dan keharmonian hidup pasangan.
Bagi membolehkan hak puan sebagai isteri dilindungi oleh hukum syarak dan undang-undang di Malaysia, puan hendaklah mendaftarkan perkahwinan di mana-mana mahkamah yang mempunyai bidang kuasa di tempat permastautin puan. Puan bermastautin di Selangor dan oleh yang demikian tertakluk di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Apa yang perlu dilakukan, puan hendaklah memfailkan permohonan untuk mengesahkan perkahwinan di Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa di tempat permastautin iaitu dengan membawa bersama:
> Kad pengenalan
> Sijil nikah Songkhla yang asal
> Salinan kad pengenalan saksi yang menjadi saksi kepada majlis pernikahan
Jika mahkamah berpuas hati bahawa perkahwinan puan dilakukan mengikut hukum syarak, maka mahkamah syariah akan mengeluarkan perintah mengisytiharkan perkahwinan itu adalah sah dan puan boleh mendaftar pernikahan di pejabat agama Islam yang berbidang kuasa dengan menggunakan perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah itu.
Setelah pendaftaran dibuat, biasanya dalam masa 14 hari Sijil Perakuan Nikah akan dikeluarkan yang kemudiannya boleh digunakan untuk pelbagai tuntutan di Mahkamah Syariah apabila puan berhajat.
Perlu diingat, berdasarkan Seksyen 13 Enakmen yang sama, memperuntukkan bahawa sesuatu perkahwinan mesti mendapat persetujuan wali pihak perempuan atau hakim syarie di tempat pengantin perempuan bermastautin dalam keadaan wali enggan memberi persetujuan atau wali tidak dapat ditemui.
Berdasarkan kes puan, saya dapati masalah utama adalah wali tidak membenarkan puan berkahwin dengan pasangan pilihan. Oleh itu, berdasarkan peruntukkan seksyen 7(1) Enakmen sama yang memperuntukkan hanya wali di hadapan pendaftar atau wakil wali di hadapan atau dengan kebenaran pendaftar atau wakil wali saja yang boleh mengahwinkan pasangan, maka perkahwinan puan adalah bersalahan dengan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Berdasarkan Seksyen 40(2) Enakmen yang sama, denda bagi pernikahan yang dilakukan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian II adalah menjadi kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Jawapan disediakan Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Marlina Amir Hamzah. Sebarang persoalan boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com
Berita Harian 27 September 2007