Rabu, 26 September 2007

Seteguh Tekad suntik semangat majukan diri


SETEGUH Tekad yang menyelami kehidupan anak kelahiran Melaka, Prof Dr Sidek Baba mendaki tangga kejayaan adalah rentetan pengalaman kehidupan yang menekankan aspek motivasi dan merangsang jiwa supaya sentiasa bersemangat kental.

Ditulis sendiri yang empunya diri, buku autobiografi ini memberi peluang pembaca berkongsi pengalaman yang dilalui tokoh pendidik berjiwa besar, Sidek yang dilahirkan dalam serba kekurangan tetapi kini berjaya mencapai kejayaan cemerlang.

Inilah bukti katanya, bahawa tanggapan kemiskinan boleh menyebabkan kegagalan dalam hidup kerana kekurangan pada beliau ialah pendorong kuat yang akhirnya menghasilkan lonjakan perubahan ke arah kejayaan.

Pada mulanya, jika melihat kulit buku yang menampilkan penulis berpakaian segak dengan basikal tua, pasti terlintas sekejap tanggapan seakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ingin menayang diri.

Namun, apabila dibelek sehelai demi helaian buku setebal 319 halaman itu dan menghayati kisah pahit manis yang dilalui, timbul pula kesedaran yang hidup ini tidak lepas daripada dugaan tetapi bagaimana kita menghadapinya.

Justeru, pengalaman Sidek mengayuh basikal sejauh 45 batu dari rumahnya ke sekolah yang terletak di Bandar Melaka wajar menginsafkan kerana kayuhan demi menuntut ilmu itu bersama tekad teguh akhirnya melahirkan insan yang menjadi contoh umat Islam hari ini.

Satu faktor penting turut ditekankan dalam buku ini ialah pengalaman yang dilalui selalunya mendekatkan manusia dengan Penciptanya, merenung nasib diri, memahami erti kehidupan serta mengenal kebenaran.

Ciri ini tergambar daripada watak bapanya yang sentiasa mengadu hal kepada Allah di samping watak lain yang secara langsung dan tidak langsung membentuk jiwa beliau hingga menjadi manusia yang cintakan jiwa seorang pendakwah.

Sesuai untuk semua lapisan khalayak pembaca, buku Seteguh Tekad mampu menyuntik semangat di hati pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh, menyedarkan mereka yang berputus asa bahawa selepas kesusahan akan ada kesenangan dengan syarat kita bersedia merubah nasib diri.

Begitu juga kepada bapa yang mencari kekurangan dalam teknik mendidik serta membimbing anak pasti teruja dengan kemampuan serta pendekatan yang digunakan Sidek hingga kesemua anaknya berjaya dalam bidang masing-masing.

Yang pasti, setelah menutup helaian akhir autobiografi ini, pembaca akan terdorong untuk membuat perubahan diri dan semoga tekad mereka juga seteguh tekad seorang pendidik bertubuh kecil tetapi berjiwa besar ini.

Judul: Seteguh Tekad
Penulis: Prof Dr Sidek Baba
Penerbit: Alaf 21 Sendirian Berhad

Oleh Hasliza Hassan
Berita Harian 27 September 2007