Pusat Harmoni Singapura beri maklumat mengenai nilai Islam yang boleh dikongsi penganut lain
APABILA seseorang itu semakin mengenali agamanya, dia akan menjadi lebih yakin dan selesa untuk berinteraksi dengan masyarakat umum. Dalam proses interaksi itu pula, perlu ada sifat keterbukaan untuk memahami agama rakan lain supaya terjalin perhubungan lebih erat.
Namun tidak dinafikan, bukan mudah untuk mereka yang berbeza bangsa dan agama duduk bersama serta berbincang secara aman, apatah lagi jika tajuk perbincangan berkisar kepada isu amalan kepercayaan yang dianuti.
Tetapi bagi Eksekutif Pusat Harmoni Masjid An-Nahdhah Singapura, Mohamed Afdzal Mohamed Ibrahim, keyakinan bahawa semua masyarakat inginkan suasana kehidupan selesa dan harmoni untuk bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing menjadikan suasana itu tidak mustahil.
Katanya, semua itu dapat dicapai melalui usaha secara berperingkat dan proses pendidikan yang dilakukan berterusan terutama dalam menyebarkan maklumat mengenai setiap agama yang dianuti masyarakat sesebuah negara.
"Hidup aman dalam suasana harmoni penting dalam masyarakat majmuk dan saya yakin itulah yang diharapkan semua orang termasuk kerajaan. Hasrat itu dapat dicapai jika kita boleh memahami serta menghormati rakan daripada agama lain.
"Itu yang cuba kami perkenalkan di Pusat Harmoni yang menjadi pusat pertemuan masyarakat pelbagai agama untuk menimba pengetahuan serta berdialog semasa mereka supaya dapat lebih memahami antara satu sama lain," katanya.
Justeru katanya, sebagai orang yang diamanahkan memastikan urusan di Pusat Harmoni berjalan lancar serta mencapai matlamatnya, beliau sentiasa berusaha memperbaiki serta memperlengkapkan diri supaya dapat memenuhi keperluan pengunjung pusat berkenaan.
Mohamed Afdzal mula bertugas di Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) pada Januari 2006 dan diberi tanggungjawab untuk membangunkan Pusat Harmoni yang terletak dalam premis Masjid An-Nahdhah.
Pusat Harmoni yang berfungsi sebagai pusat maklumat dan penganjuran program secara bersepadu dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, pada 7 Oktober tahun lalu. Kini, hampir setahun beroperasi, pusat itu sudah menerima 7,000 pengunjung.
Ternyata tugas harian termasuk mengendalikan lawatan masyarakat pelbagai agama daripada kalangan rakyat tempatan dan luar negara memerlukan beliau sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan.
Bagi anak muda di usia awal 30-an itu, pengalaman dalam bidang pengurusan perniagaan, perkhidmatan sosial dan pendidikan banyak membantunya memahami atau berinteraksi dengan pelawat serta rakan pelbagai agama.
Katanya, pendidikan agama yang memang ditekankan keluarga sejak kecil adalah bekalan berharga di samping usaha berterusan dilakukan untuk meningkatkan ilmu mengenai Islam melalui pembelajaran dengan guru dan pembacaan yang menjadi kemestian baginya.
Beliau turut berpeluang mengikuti kursus antara agama (Interfaith) yang diadakan di Hartford Seminary, Connecticut Amerika Syarikat pertengahan tahun ini bagi mendapatkan pendedahan lanjut mengenai kaedah serta cara mengendalikan sesi perbincangan antara agama.
Pendedahan itu amat bermanfaat baginya kerana beliau turut bertanggungjawab menganjurkan program yang bertemakan keharmonian seperti bengkel latihan, sesi dialog, kunjungan muhibah dan projek kemasyarakatan membabitkan masyarakat berbilang agama.
"Saya bersyukur kepada Allah atas kurniaan-Nya. Saya mengambil tugas yang diberikan sebagai satu amanah dan berazam untuk terus mempertingkatkan diri supaya dapat memenuhi tuntutan kerja dengan lebih baik. Banyak lagi yang harus saya belajar dan terokai.
"Saya berusaha, berdoa dan berharap untuk terus meningkatkan ilmu dan sentiasa mengingatkan diri menjadi seorang yang dapat membuat kebaikan, amal kebajikan dan membantu masyarakat," katanya.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi ketika mengendalikan pengunjung yang datang daripada pelbagai latar belakang, lulusan Ijazah Sarjana Sains Pengurusan Ilmu dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura itu berkata, beliau perlu sentiasa bersemangat dan prihatin.
Katanya, menyebarkan ilmu pengetahuan yang menjadi tanggungjawab dakwah setiap Muslim adalah amanah yang perlu dipikul bukan untuk tempoh masa tertentu tetapi dilaksanakan berterusan hingga akhir hayat.
Bagaimanapun, beliau berbangga kerana usaha murni Pusat Harmoni menjadi jambatan menghubungkan masyarakat Islam dan bukan Islam menampakkan hasil positif dalam melahirkan masyarakat majmuk yang harmoni.
Malah, pengunjung yang datang ke pusat berkenaan turut menerima syarat yang ditetapkan dengan hati terbuka dan itu menjadi petanda jelas bahawa agama tidak pernah menjadi pemisah kerana di sebalik kelainan itu sebenarnya tersembunyi persamaan.
"Tugas kita mencari persamaan itu supaya kita dapat merasakan bahawa antara kita sebenarnya tidak ada jurang. Di sini pengunjung sudah faham mereka boleh bertanyakan soalan sensitif dan bersetuju bahawa mereka boleh berbeza pandangan.
"Itulah indahnya apabila semua yang datang ke sini berjaya menyedari kepentingan saling faham memahami. Jadi, tidak timbul pertelagahan atau pergeseran kerana masing-masing sudah tahu had dan menghormati had itu.
"Yang jelas, tugas kami di Pusat Harmoni memberi penerangan mengenai Islam serta gaya hidup masyarakat Muslim. Jika ada maklumat yang memerlukan penjelasan lebih terperinci, kami akan merujuk kepada Pejabat Mufti," katanya.
Oleh Hasliza Hassan
Berita Harian 27 September 2007