Khamis, 27 September 2007

Romania siasat kes rebutan Istana Drakula


Istana Drakula

BUCHAREST 26 Sept. – Parlimen Romania telah meminta siasatan dilakukan atas dakwaan sebuah istana lama yang dikenali sebagai Istana Drakula telah dikembalikan kepada pewarisnya dari keturunan diraja Romania secara salah.

Parlimen turut mendakwa kini terdapat lima pewaris yang sah terhadap istana itu bukannya tiga, iaitu Archduke Dominic Habsburg dan adiknya, Maria Magdalena Holzousen serta Elisabeth Sandhofen.

Namun begitu, dua lagi hanya menyerahkan hak mereka sebagai pemilik istana untuk diuruskan oleh Habsburg.

Namun Habsburg yang kini tinggal di New York, menyatakan akan menyaman kerajaan Romania sebanyak AS$210 juta (RM714 juta) jika langkah berkenaan diteruskan.

Perdebatan tentang perkara ini di Parlimen Romania telah mengakibatkan anggota parlimen kini terbahagi dua.

Sebahagian membantah kerana langkah pemulangan itu akan menyebabkan negara kehilangan aset penting dalam industri pelancongan kerana istana tersebut mempunyai kisah dan keunikannya tersendiri.

Sebahagian lagi berkata, pemulangan semula adalah sebagai tanda penghargaan kepada bekas keluarga diraja Romania atas kesilapan yang terjadi ketika era komunis.

Istana tersebut yang digunakan untuk menghalang serangan kerajaan Uthmaniah Turki mendapat nama Istana Drakula kerana kekejaman pemerintahnya, Raja Vlad terhadap musuhnya serta menjadi inspirasi kepada seorang penulis terkenal, Bram Stoker untuk menulis novelnya yang termasyhur Drakula pada 1897.

– AP