KOMSOMOLSK-ON-AMUR, Rusia 26 Sept. – Rusia hari ini memperkenalkan pesawat penerbangan terbarunya, Sukhoi Superjet 100 hasil rekaan pengeluar jet pejuang terbesar Rusia, Sukhoi dengan bantuan Boeing bagi menyaingi industri pesawat komersial dari Barat.
Pesawat itu direka bagi memuatkan 78 hingga 98 penumpang dengan harga AS$28 juta (RM96 juta) sebuah.
Ia merupakan yang pertama dikeluarkan oleh Rusia sejak kejatuhan Kesatuan Soviet dalam usaha mengurangkan pergantungan ekonomi kepada eksport minyak dan gas sahaja.
Majlis perasmian pesawat itu diadakan di timur Rusia, bertempat di tapak loji bandar Komsomolsk yang telah diubahsuai daripada pengeluaran jet pejuang kepada kegunaan awam dengan sasaran pengeluaran lima hingga enam pesawat penumpang setiap bulan menjelang 2010.
Timbalan Perdana Menteri Pertama, Sergei Ivanov yang berucap di hadapan 1,000 pelabur asing dan pekerja tempatan menyatakan projek Superjet itu menjadi keutamaan kini kerana ia bukan sekadar mengeluarkan pesawat penumpang semata-mata.
Presiden Vladimir Putin dikatakan merancang untuk membina semula industri penerbangan Rusia yang runtuh selepas kejatuhan Kesatuan Soviet bagi menunjukkan perkembangan pesat industri dan kemahiran teknikal tempatan.
Putin juga sedang menggabungkan pengeluar pesawat awam dan tentera dalam satu syarikat kawalan kerajaan dikenali sebagai United Aviation Corporation.
Pesawat Superjet itu bakal menggantikan kumpulan pesawat era Soviet, Tupolev Tu-134 dan Yakovlev Yak-42 untuk penerbangan domestik dengan jarak sehingga 4,550 kilometer.
Sebanyak 73 pesawat sepanjang 30 meter telah ditempah oleh beberapa syarikat penerbangan tempatan dan penerbangan pertama pesawat itu dijangka sebelum penghujung tahun ini.
Sukhoi turut bercadang untuk mengeksport 700 daripada 1,000 pesawat yang dijual ke pasaran global melalui rakan niaganya dari Itali, Alenia Aeronautica.
Bagi jangka panjang, Rusia turut mengumum akan menjual pesawat bernilai AS$250 bilion (RM858 bilion) menjelang 2025.
– Reuters