Selasa, 20 November 2007

Affandi: Pelukis Legenda Indonesia Yang Dikagumi Dunia


Boerhanoedin Affandi Koesoema. Kepada mereka yang tidak biasa, nama itu mungkin menimbulkan tanda tanya.

Tetapi rujuknya sebagai "Affandi" - nama yang para peminat seni antarabangsa yang sudah biasa dengan - ia menampilkan satu visi penyataan warna-warna yang terang menerusi lukisan.

Begitulah keanehan dan aura pelukis ini yang telah mengukir nama sebagai antara pelukis terhebat abad ke 20. Seorang legenda dalam riwayatnya.


ANAK PEREMPUAN MENERUSKAN LEGENDA BAPA

Semasa satu temubual baru-baru ini dengan Bernama, Kartika Affandi tidak putus-putus mengisahkan bapanya.

Kartika berada di sini untuk menerangkan mengenai ayahnya dan juga kerja seninya sendiri di R A Fine Arts - The Gallery, di Jalan Damai, Off Jalan Tun Razak di sini.

Percaya atau tidak, sementara ramai wanita pasti takut dengan kematian orang yang disayangi, Kartika pula melukis satu siri lebih 100 buah portrait ayahnya di hari-hari akhir riwayat beliau. Beliau dikebumikan di muzium sendiri, Muzium Affandi di Yogyakarta, Indonesia.

"Saya rasa ia satu penghormatan dan rahmat untuk menjadi anak Affandi. Saya mahu ayah saya diperingati bukan sahaja kerana kebijaksanaannya dalam mewujudkan karya-karya legenda tetapi juga oleh cucu dan cicit saya di masa depan," kata pelukis berusia 73-tahun itu yang juga telah mengukir nama di dunia seni.

Kartika meraikan harjadi ke 100 ayahnya tahun ini dengan mengadakan pameran seni dan penerangan merentasi seluruh Indonesia dan Muzium Seni Singapura.

Affandi meninggal dunia pada usia 83 tahun pada 1993.


BIOGRAFI AFFANDI

Kartika berkata beliau juga telah melancarkan satu biografi mengenai Affandi di Muzium Seni Singapura dan merancang mempamerkan karya-karya pelukis legenda itu di Kuala Lumpur, awal tahun depan.

Affandi merupakan pelukis Indonesia terulung untuk menerima pengiktirafan antarabangsa bagi gaya individualistik serta ekspresionis beliau. Pada 1940-an, beliau terbabit dalam pembentukan komuniti pelukis di Yogyakarta.

Pada 1950-an, Affandi merantau dan mempamerkan lukisannya di India dan Eropah dan menerima pengiktirafan.

Kemudian, karya-karyanya menyaksikan perubahan radikal. Kerana beliau menginginkan tahap realisme yang tinggi, beliau meninggalkan berus warna dan mula menggunakan jari, tangan dan telapak tangannya.

Ini menandakan kemunculan gaya unik Affandi dalam ekspresi individu, yang memukau dunia seni.

Affandi, yang turut serta dalam perjuangan kemerdekaan Indonesia bersama-sama bekas Presiden Soekarno, Drs Mohammed Hatta dan yang lain, tampil dengan pelbagai poster yang membara semangat tentera Indonesia untuk menumpaskan Belanda pada 1940-an.


KARTIKA MENGIKUT JEJAK AYAH

"Saya pertama kali belajar untuk melukis semasa masih kanak-kanak lagi, dengan menyaksikan ayah saya dan melukis bersama-samanya.

"Pada 1957, saya bermula dengan berus tetapi oleh kerana berus tidak membenarkan sentuhan langsung dengan kanvas maka ia tidak sesuai dengan saya dan saya tidak lama kemudian mula melakar terus daripada tiub, dengan tangan saya," katanya.

Seperti ayahnya, nukilan Kartika adalah bersifat `visceral', iaitu spontan dan agak liar sedikit, mirip dengan peribadinya.

Pandangan beliau terhadap dunia menerusi lukisan menunjukkan beliau tidak mempunyai masa bagi gangguan atau penghalusan teknik-teknik. Ia terus di turunkan pada kanvas tanpa ditapis dan kehebatannya adalah dalam kespontanan dan realiti.

Dalam pencarian kreatifnya, Kartika sentiasa mahu mencari identiti tersendiri dan bukan dibayangi karya-karya ayahnya. Oleh kerana para peminat sentiasa membandingkan hasil nukilan kedua-dua mereka, beliau ke Paris untuk mewujudkan identiti tersendiri.


AYAH DAN ANAK DALAM PERSPEKTIF BERLAINAN

Pernah sekali beliau dan ayahnya ke pasar dan memilih seekor lembu sebagai subjek lukisan, tetapi hasilnya berlainan sama sekali.

"Versi lukisan ayah menunjukkan seekor lembu `memberontak' yang mahu dibebaskan sementara lukisan saya menunjukkan seekor haiwan yang mahu dipelihara dengan kasih-sayang. Ia adalah sumber ilham gerak hati seorang wanita," katanya.

Beliau juga banyak menyumbang dalam memperjuangkan hak wanita di Indonesia menerusi lukisan-lukisannya, dan bercadang mewujudkan muzium seni wanita khusus bagi pelukis-pelukis wanita.

Di pertengahan usianya, Kartika menyedari keperluan untuk belajar pemuliharaan seni. Kartika pada 1980, berangkat ke Akademi Seni Halus Vienna dan menikmati kebebasan belajar bersama rakan-rakan seperjuangan yang lebih muda.


KARTIKA KINI MEMBUAT ARCA

Sejak tiga tahun yang lepas, Kartika menceburi satu lagi bentuk seni iaitu membuat arca.

"Saya berminat membuat arca dan suka mengejutkan lelaki dengan menampilkan pemikiran berlainan sama sekali melalui nukilan saya," katanya.

Hari ini, anak perempuan Kartika, Helfi, merupakan pengarah Muzium Affandi dan gembira dengan warisan keluarganya.


Oleh Mohd Fadzli Fadhilah
Bernama