Rabu, 21 November 2007

Mahu Cuba Teh Tarik 'Sugar Lite'?


Di Malaysia `teh tarik' lebih daripada minuman kegemaran ramai, ia sudah sebati dengan gaya hidup harian kita.

Bagi kebanyakan rakyat negara ini, teh tarik merupakan minuman kegemaran harian, bagaikan satu keperluan. Sehinggakan Wikipedia, ensiklopedia internet, menyifatkan teh tarik sebagai minuman kebangsaan tidak rasmi Malaysia.

Bagaimanapun, dek kerana kandungan gula yang tinggi, yang berpunca kerana gula dan susu pekat manis, meminum teh tarik setiap hari tidak baik untuk kesihatan.

Apa lagi apabila 1.2 juta rakyat Malaysia menghidap diabetes, yang mana 98 peratus daripadanya adalah diabetes Type 2 yang bermakna mereka ini perlu mengurangkan pengambilan gula.

Trend pandemik diabetes terus menjejaskan semakin ramai orang di seluruh dunia tetapi kesedaran akan ancaman global ini masih rendah.


PERLU MENGGALAKKAN DIET KURANG GULA

Untuk menggalakkan diet kurang gula, sebuah syarikat farmaseutikal Merck Sharp & Dohme (MSD) dengan kerjasama Persatuan Diabetes Malaysia memulakan kempen alternatif lebih sihat bagi teh tarik lazim, iaitu teh tarik `sugar-lite' (rendah gula).

Kempen itu bersempena dengan Hari Diabetes Sedunia dan sebahagian daripada kempen "Hidup Sejahtera dengan Diabetes", yang bertujuan menyampaikan mesej akan perlunya kesedaran yang lebih lagi mengenai diabetes dan pencegahannya kepada rakyat Malaysia.

Pengarah Urusan MSD Ewe Kheng Huat berkata sementara teh tarik sangat popular di Malaysia, kandungan gulanya membimbangkan.


MENGAWAL PENGAMBILAN GULA PENTING

Ketua pakar pemakanan di Prince Court Medical Centre Datin Farah DiBa Khan berkata daripada perspektif diet, mengawal pengambilan gula adalah sangat penting.

Setiap 500 ml teh tarik biasa (lebih kurang dua cawan) mengandungi tenaga sebanyak 278 kcal, dua gram protein, 10 gram lemak dan 43.7 gram karbohidrat sementara isipadu sama `teh tarik sugar lite' mengandungi 133 kcal tenaga, 4.4 gram protein, lima gram lemak dan 16.5 gram karbohidrat, katanya.

Walaupun ia teh tarik kurang gula, pengambilannya juga perlu dihadkan, kata beliau. Farah DiBa mengesyorkan hanya dua cawan seminggu, angka yang pasti mengecewakan para peminat teh di negara ini.

Resipi teh `tarik sugar lite' disediakan oleh chef bebas Nicholas E. Pillai, sebenarnya adalah teh biasa, cuma susu pekat manis digantikan dengan susu soya. Rasanya sama seperti teh tarik yang kita sudah biasa dengan, cuma ia lebih cair.

Pillai berkata adalah wajar untuk memperkenalkan satu resipi teh tarik yang bukan sahaja menarik kepada orang ramai malah sebagai alternatif lebih sihat kepada teh tarik asal.

Beliau yakin dengan peralihan masa orang ramai akan mula menerima rasanya seperti minuman `skinny cappuccino' dan `soy cappucino' yang diterima dengan meluas sekarang ini.

Teh tarik sugar lite kini boleh didapati di restoran-restoran terpilih seperti Devi's Corner, Nasi Kandar Pelita dan Sri Nirwana Maju.

MSD merancang meningkatkan barisan rakan-rakan restorannya dalam kempen menjadikan teh tarik sugar-lite sebagai menu harian mereka dan akan mengadakan roadshow mini di tempat-tempat tertentu di Lembah Klang untuk mempromosi minuman itu.


Oleh Soraya Jamal
Bernama