Selasa, 20 November 2007

Chitralada, Satu Istana Unik Di Bangkok


Istana Chitralada di Thailand, kediaman raja yang paling lama bertakhta, nampak bagaikan kompleks pertanian dan makmal.

Mungkin tiada istana lain di dunia yang mempunyai bendang padi, ladang tenusu, kolam ikan dan berdozen-dozen kilang, kesemuanya mengambil masa 10 minit perjalanan dengan kaki daripada kediaman rasmi Raja Bhumibol Adulyadej dan Permaisuri Sirikit, di mana pasangan diraja itu menerima mengadap orang-orang kenamaan tempatan dan asing.

"Tiada siapapun, khasnya tetamu asing, percaya yang tempat ini di ibu kota Bangkok adalah istana apabila menjejakkan kaki ke pekarangan istana. Bagi rakyat Thai, mereka sudah biasa dengan projek-projek ini yang seringkali ditampilkan dalam media dan digalakkan di sekolah-sekolah," kata Timbalan Pengarah Projek Diraja Chitralada Rosarin Smithabhindu dalam satu temubual dengan Bernama.

"Istana ini merupakan model negara ini, bagaimana rakyat hidup dan membanting tulang. Baginda berusaha membantu mereka dengan menjalankan penyelidikan bersama bantuan pelbagai agensi kerajaan dan juga swasta," katanya.


KOLAM IKAN DAN BENDANG PADI

Baginda, yang mempunyai kelulusan dalam kejuruteraan dari Switzerland, disifatkan sebagai raja yang unik dan bertanggungjawab bagi memulakan lebih daripada 3,000 projek diraja untuk membantu golongan miskin di negara itu.

Amalan pertanian, hakisan tanah, banjir, kemarau, pembalakan berlebihan, kesihatan, pendidikan, tenaga dan ubat-ubatan -- isu-isu yang dihadapi oleh golongan miskin di luar bandar setiap hari -- telah diberi perhatian oleh baginda yang berusaha mencari jalan penyelesaian sejak zaman mudanya lagi.

Ini akhirnya membawa kepada penubuhan Projek-projek Diraja Chitralada. Projek ternakan ikan merupakan antara yang terawal dilaksanakan oleh Raja Bhumibol yang menaiki takhta pada usia 18 tahun.

Oleh kerana baginda bimbang dengan kesihatan golongan miskin, baginda menjalankan kajian kultur ikan bertujuan menyediakan sumber protein yang mudah dan berkualiti. Oleh itu, baka-baka terbaik diberikan kepada petani.

Rosarin berkata baginda kemudian menubuhkan satu lagi projek besar, satu bendang padi pada 1961, dalam kawasan istana untuk mengkaji padi berlainan jenis. Sehinggakan baginda sendiri mengambil bahagian dalam membajak sawah dengan traktor hasil inovasi Thailand, "Iron Buffalo", yang kini ditempatkan di muzium beras yang juga terletak dalam kawasan Istana Chitralada.

Sejak itu, lebih daripada 40 jenis beras berkualiti tinggi telah ditanam di kawasan istana menerusi penyelidikan, dan kebanyakan daripadanya digunakan dalam Tradisi Membajak Diraja yang berusia 700 tahun untuk menyambut ketibaan musim baru tanaman padi sebelum diedarkan kepada para petani.

Baginda juga mencari jalan membantu petani-petani yang terjejas kerana kejatuhan harga hasil tanaman, termasuk menubuhkan sebuah kilang memproses menerusi konsep koperasi.


LADANG TENUSU

Salah sebuah daripada projek terbesar yang dilaksanakan di kawasan istana ialah projek tenusu, yang bermula dengan lima ekor lembu yang dihadiahkan kepada baginda pada 1962.

Baginda menggunakan hasil jualan buku muziknya untuk menubuhkan ladang tenusu itu. Buat permulaan, susu itu dijual kepada kakitangan istana dan kemudiannya kepada sekolah-sekolah berdekatan dan orang ramai.

Raja Bhumibol juga menderma lebih 10,000 ekor lembu kepada petani-petani miskin di seluruh negara untuk membolehkan rakyat meraih pendapatan tambahan.

Pada 1969, kilang Suan Dusit Milk Powder dan Chitralada Milk Collection Centre diwujudkan ekoran permintaan daripada para petani yang terjejas kerana lebihan bekalan susu di pasaran dan harganya yang jatuh teruk.

Tidak lama kemudian istana itu mula mengeluarkan produk sampingan susu seperti susu tepung manis dalam tin, susu tepung bukan manis, dan ketulan susu untuk menangani masalah lebihan bekalan susu.

Aktiviti membuat keju bermula pada 1987 apabila C.C. Friesland Cooperative dari Belanda menghadiahkan baginda dengan peralatan membuat keju, dan kemudiannya kerajaan Denmark menawarkan peralatan lain dan menghantar pakar-pakar untuk membantu melatih kakitangan tempatan. Selain keju, kilang itu juga mengeluarkan mentega, dadih dan ais krim.


RAJA BUMIBOL PENCINTA ALAM

Rosarin yang terbabit dalam projek diraja itu selama lebih 30 tahun berkata baginda juga sangat mengambil berat akan alam sekitar dan mengambil bahagian aktif dalam menanam spesies hutan di kawasan istana.

Pada 1961, keluarga diraja itu menanam 1,250 batang pokok Dipterocarpus alatus Roxb, satu spesies yang dikatakan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, selain kayu jati. "Apabila ada awan hitam (merentasi Bangkok), hujan akan turun di hutan istana. Ini hutan yang sebenar di tengah-tengah hutan konkrit Bangkok," katanya.

Penyelidikan dan pembangunan adalah sebahagian daripada projek diraja, bersama universiti-universiti terkemuka menyediakan dana serta kepakaran untuk meningkatkan pengeluaran dan mewujudkan produk-produk baru, dan mengedarkannya kepada petani.

Wawasan Raja Bhumibol bukan sahaja terhad kepada pertanian tetapi juga tenaga, dan beberapa tahun yang lepas beliau mempaten satu adunan minyak sawit-diesel dan mempunyai kereta yang bergerak menggunakan minyak itu.


OPERASI PROJEK DIRAJA

Rosarin berkata walaupun Projek Diraja Chitralada dimulakan sebagai projek bukan keuntungan, ianya dijadikan model perniagaan.

"Mereka dikendalikan sebagai entiti separa-komersil, dengan keuntungan disalurkan balik untuk pengembangan lanjut operasi dan penyelidikan. "Sebenarnya, anda boleh menemui kesemua produk yang kita gunakan dalam kehidupan harian kita," kata Rosarin akan kemudahan di situ yang juga mengeluarkan kertas daripada pokok mulberi dan lilin.

Lebih kurang 700 kakitangan bertugas di 20 buah kilang Chitralada dan 30 buah projeknya, dibantu oleh para pegawai beberapa agensi kerajaan dan universiti.

"Kami mampu menampung sendiri, kami mempunyai laporan tahunan sendiri. Sebenarnya, setiap daripada kilang itu beroperasi dengan sendiri," kata beliau.

Mengimbas pencapaian sehingga ini, Rosarin berkata Projek Diraja Chitralada telah menyaksikan kemajuan besar dengan barisan produk lebih luas dan kualiti lebih baik.

Chitralada merupakan tarikan bagi orang ramai. Pegawai projeknya Foyfa Shutidamrong berkata lebih kurang 200 orang, kebanyakannya pelajar sekolah, melawat projek itu setiap hari.

"Kita juga mempunyai tetamu daripada seminar-seminar antarabangsa, dan juga para pegawai kerajaan daripada negara-negara lain yang mahu melihat sendiri bagaimana projek-projek itu dikendalikan," katanya.


Oleh D.Arul Rajoo
Bernama