
Kalau disorot kembali sejak awal tahun ini, masyarakat telah dikejutkan dengan pelbagai kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri.
Apabila ada golongan profesional seperti doktor dan peguam yang mengambil keputusan untuk bunuh diri, ramai yang tidak dapat memahami kenapa jalan itu dipilih mereka.
Belum lagi dikira dengan kes-kes terminum racun dan terjatuh bangunan. Terkini, pada 19 November, akhbar melaporkan berita cubaan membunuh diri oleh seorang wanita berusia 38 tahun dari Kuala Terengganu yang cuba membakar diri dan bayinya yang berusia lapan bulan.
Semuanya dikaitkan dengan tekanan dan konflik hidup sebagai puncanya. Jika orang dewasa yang telah matang sekalipun tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi remaja dan kanak-kanak.
Pada tarikh yang sama, seorang pelajar tahun enam ditemui mati tergantung dengan sehelai selimut dalam bilik di rumahnya di Pulau Pinang. Murid itu dikatakan kecewa dengan keputusan UPSR.
Februari lalu, seorang murid darjah lima di Sarawak menggantung dirinya akibat tekanan kemiskinan. Kerana malu dengan rakan-rakan, penyelesaiannya ialah menggantung dirinya.
MENGAPA INI TERJADI
Betapa mereka ini adalah antara individu yang sepatutnya mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu bagi mengatasi masalah yang membelenggu mereka.
Malangnya, nasi sudah pun menjadi bubur. Kerana tiada tempat untuk berkongsi gelojak rasa yang sedang melanda, penyelesaiannya ialah menamatkan riwayat sendiri.
Mereka pergi meninggalkan nama dan persoalan yang perlu dirungkai sendiri oleh pihak yang masih hidup.
Menurut Prof Dr Azhar Md. Zain, Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), kes-kes seperti ini berpunca daripada tekanan yang keterlaluan.
"Tahap pendidikan seseorang tidak semestinya menjadi kayu ukur buat mereka menangani masalah ataupun tekanan. Malahan ia juga bukan perisai yang menentukan keupayaan mereka berhadapan dengan tekanan.
"Sama ada berpendidikan, bekerjaya profesional atau tidak, tekanan yang tidak terkawal boleh membuatkan seseorang itu hilang kawalan pada akhirnya," ulas Prof Azhar.
CARA HADAPI TEKANAN BERBEZA
Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan baik. Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza.
"Mungkin bagi individu A, masalah yang dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi individu B. Begitulah juga sebaliknya," ulasnya lagi.
Kemampuan menangani tekanan bergantung kepada beberapa perkara iaitu personaliti seseorang, individu contoh seperti ibu bapa atau idolanya, ahli keluarga dan juga rakan sebaya.
Prof Azhar yang tidak menafikan faktor gaya hidup masa kini mungkin menjadi punca tekanan, turut memberi contoh negara-negara maju seperti Eropah Timur dan Jepun yang mencatatkan kadar bunuh diri yang tinggi.
Tekanan boleh muncul dalam pelbagai keadaan. Misalnya tekanan daripada ahli keluarga, di tempat kerja dan rakan-rakan serta persekitaran yang mendesak sehingga ada yang tidak sanggup berhadapan dengan masalah-masalah yang timbul.
Ia bermula dengan perubahan tingkah laku yang biasanya membawa kepada kemurungan.
JANGAN PANDANG RINGAN
Menurut Prof Azhar, terdapat banyak sebab bagi kemurungan namun yang penting adalah cara menanganinya. Orang yang terdekat adalah individu yang bertanggungjawab untuk mengenalpasti faktor itu.
"Salah satu caranya ialah melapangkan masa untuk menjadi pendengar yang baik. Individu yang pernah cuba membunuh diri biasanya memendam rasa. Besar kemungkinan dia akan kembali mencuba. Walaupun telah dirawat, mereka masih lagi memerlukan perhatian," tegas Prof Azhar.
Selain itu, sekiranya mereka memiliki sistem sokongan yang kuat terutamanya daripada ahli keluarga yang prihatin, masalah ini boleh diatasi.
Mungkin ada yang malu untuk mengakui mereka perlu mendapatkan rawatan kaunselor kerana bimbang dikategorikan sebagai pesakit mental.
Apatah lagi jika mereka dipinggirkan oleh ahli keluarga dan masyarakat. Justeru tahap stres akan meningkat dan daripada masalah kemurungan kecil ia akan bertambah besar hingga mereka mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.
KESAN DARI AWAL
Sebenarnya, bantuan awal boleh diberi kepada mana-mana individu yang dilihat memiliki ciri-ciri kemurungan. Antaranya ialah:
* Adakah individu itu dapat melakukan tugas hariannya tanpa berasa tertekan
* Adakah individu itu mengalami masalah berat badan sama ada turun atau naik yang serius, atau perubahan tabiat tidur
* Adakah individu itu kehilangan kawan atau mendapat kawan baru yang memberi pengaruh kurang sihat
* Mengadu mengalami penyakit yang tidak berasas
* Tahap keyakinan dirinya turun mendadak
* Sama ada individu itu sering berasa letih
* Individu itu berasa tidak berguna kepada rakan-rakan, keluarga dan hidupnya
* Sama ada individu itu pernah berfikir hendak membunuh diri atau pernah cuba membunuh diri
* Adakah tiba-tiba individu itu mula merokok, minum minuman keras atau mengambil dadah
KEPRIHATINAN SEMUA
Perbuatan bunuh diri boleh dicegah jika setiap anggota masyarakat prihatin dan tidak menyerahkan perkara ini kepada pihak kerajaan sahaja.
Di seluruh Malaysia, hospital-hospital utama menyediakan klinik psikiatri yang membantu mereka yang dikenalpasti memiliki masalah ini.
Selain itu, klinik-klinik kesihatan yang terdapat di setiap daerah juga boleh membantu dengan mengenalpasti tahap masalah yang dihadapi. Ia bertujuan memastikan sama ada pesakit perlu dirujuk kepada klinik psikiatri atau tidak.
"Bagi kes-kes berat yang memerlukan khidmat pakar, kosnya jauh lebih murah berbanding swasta iaitu RM30 pada pertemuan pertama dan RM5 untuk rawatan kaunseling susulan bersama ubat-ubatan," terang Prof Azhar.
Prof Azhar turut menekankan pengisian rohani juga adalah bekalan yang perlu untuk menguatkan jiwa seseorang individu mengikut kepercayaan agama yang dianuti.
Program Pencegahan Bunuh Diri Kebangsaan yang diperkenalkan pada 2003 juga banyak membantu memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat. Tujuannya adalah mempromosi kesedaran awam terhadap tingkahlaku bunuh diri, menyediakan kumpulan sokongan emosi seperti kaunseling.
Talian-talian kaunseling juga dapat membantu untuk menjadi pendengar yang baik.
DI MANA BOLEH MENDAPAT BANTUAN
Bagi mereka yang berasakan diri atau individu terdekat mengalami masalah ini, selain hospital kerajaan, talian-talian Hotline NGO di bawah mungkin dapat membantu:
* The Befrienders Kuala Lumpur - 03-79568144/5
* Persatuan Kesihatan Mental Malaysia - 03-77825499
Pencegahan adalah ubat paling mujarab bagi mengatasi kes bunuh diri serta cubaan bunuh diri. Namun, jika gagal, kes-kes ini mungkin membawa kepada kecacatan kekal yang akhirnya membuatkan mereka serta orang-orang terdekat turut sama menderita.
Kita perlu mencari dan menilai kembali puncanya. Adakah tekanan berpunca daripada struktur institusi kekeluargaan yang lemah atau bekalan kekuatan mental dan pengisian rohani yang kurang? Atau disebabkan trend gaya hidup masa kini yang semakin menekan?
Apabila ia mula melibatkan golongan remaja dan kanak-kanak, semua pihak terutamanya ibu bapa, keluarga, guru-guru dan rakan terdekat wajib menjalankan tanggungjawab membantu mereka.
Oleh Nurul Halawati Azhari
Bernama