
Para pengguna telefon bimbit kini mempunyai pelbagai pilihan kerana perang harga di kalangan syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) menyebabkan lebih banyak lagi pelan langganan yang lebih murah dan lebih baik diperkenalkan dari masa ke masa.
Jadi, pilih satu yang memenuhi citarasa anda dan sesuai dengan kedudukan kewangan anda.
Seperti yang lazim diketahui, telco menawarkan dua jenis langganan, pra-bayar dan pasca-bayar dan kedua-dua mempunyai baik dan buruknya.
Kelebihan pra-bayar: Tiada kejutan bil, sesuai bagi remaja dan pengguna pertama kali, anda tidak terikat dengan kontrak, jadi boleh menukar pelan dengan mudah.
Keburukan: Panggilan terhad mengikut jumlah nilai pra-bayar, kadar berbeza bagi panggilan dan SMS, jadi anda perlu mengenalpasti cara penggunaan anda.
Kelebihan pasca-bayar: Tiada had dalam bilangan panggilan, anda boleh membeli telefon bimbit baru pada harga diskaun sebagai sebahagian daripada pelan langganan.
Keburukan: Anda kemungkinan tidak akan mengetahui jumlah bil anda sehingga menerima bil itu.
Oleh itu anda perlu bijak dalam memilih satu yang memenuhi citarasa anda, dan lebih penting belanjawan anda.
LANGKAH-LANGKAH MUDAH
Oleh sebab itu, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menyenaraikan beberapa langkah mudah seperti yang digariskan dalam buku panduannya mengenai Kewangan Peribadi.
Langkah-langkah itu adalah:
* Anggarkan berapa banyak yang anda sanggup berbelanja setiap bulan bagi bil telefon anda.
Jumlah wang yang anda belanja bagi bil telefon anda bergantung kepada kekerapan panggilan. Jadi, jika anda banyak membuat panggilan, satu pelan pasca-bayar lebih munasabah kerana anda tidak perlu beli `airtime' setiap kali nilainya habis. Bagaimanapun, pilihan itu juga bergantung kepada belanjawan anda. Jadi, jika belanjawan anda adalah terhad, pra-bayar adalah pilihan lebih baik.
* Periksa liputan geografi
Anda pastinya tidak mahu melanggan dengan mana-mana khidmat yang liputannya kurang memuaskan. Adalah malang sekali jika lokasi yang tiada liputan itu adalah tempat di mana anda banyak menghabiskan masa, seperti pejabat atau kediaman anda. Dan jika anda seringkali merantau, pastikan pelan itu mempunyai khidmat perayauan.
* Kaji semula harga pelbagai pelan
Ini bahagian yang paling sukar tetapi penting kerana ia akan mempengaruhi pilihan anda. Antaranya:
* Khidmat perayauan.
Ini mungkin bukan pertimbangan jika kebanyakan masa anda hanya membuat panggilan tempatan.
* Kadar panggilan semasa waktu puncak.
Terdapat pelan-pelan langganan yang menawarkan diskaun besar bergantung kepada tempoh panggilan, dan sama ada panggilan dibuat semasa waktu puncak atau luar puncak. Meneliti dengan cermat pelan-pelan ini boleh membantu mengenalpasti pilihan terbaik.
* Angka bulat kadar panggilan
Kebanyakan pelan menghitung tempoh panggilan mengikut angka bulat minit terdekat. Panggilan yang dikenakan bayaran setiap saat atau setiap 30 saat boleh membawa perbezaan besar dalam bil anda.
* Ciri-ciri standard
Carilah pelan yang menawarkan ciri-ciri standard tanpa sebarang kos tambahan. Ciri-ciri standard ini termasuk menunggu panggilan, mel-suara, memindahkan panggilan dan sejak kebelakangan ini, khidmat perayauan.
* Bayaran pembatalan
Ini hanya bagi pengguna khidmat pasca bayar. Secara lazim, akan terdapat tempoh kontrak minimum sekurang-kurangnya selama 12 bulan. Jadi, periksa sama ada terdapat sebarang bayaran jika anda menamatkan pelan itu sebelum tempoh kontrak tamat.
KOS TERSEMBUNYI
* Kos-kos lain
Seringkali, anda akan membayar lebih untuk membuat panggilan ke rangkaian mudahalih yang lain berbanding rangkaian yang sama.Panggilan serta mesej teks adalah lebih mahal jika anda menggunakan telefon bimbit anda di luar negara. Anda lazimnya akan dikenakan bayaran untuk menerima panggilan dan mel suara semasa berada di luar negara. Dan bayaran yang dikenakan serta khidmat yang boleh didapati boleh berbeza di negara yang anda berada. Jadi, adalah wajar anda menilai kadar bayaran terlebih dahulu.
* Mengawal kos
Bagaimanapun, jika anda berjaya memilih pelan yang tepat tetapi menggunakannya dengan rakus, bil-bil boleh melebihi belanjawan anda.Untuk mengelakkan ini, anda perlu sedar akan tabiat buruk dalam membuat panggilan. Jadi jika anda terus membuat panggilan apabila terasa bosan atau tidak sabar menunggu untuk berkongsi apa-apa berita dengan rakan, maka anda perlu cuba mengubah tabiat ini.
SMS
Mesej teks boleh jadi lebih murah berbanding panggilan suara. Bagaimanapun, khidmat mesej teks tertentu adalah mahal khasnya yang membabitkan pertandingan, pengundian atau promosi.
Jadi fikirkanlah dua kali sebelum anda turut serta dalam promosi melalui televisyen atau radio atau mengundi bakat pilihan anda dalam program hiburan siaran langsung.
Elakkan menghantar SMS dengan harapan memenangi hadiah-hadiah besar, kerana lazimnya anda akan membayar lebih banyak dan tidak memenangi apa-apa hadiah.
TAMBAHAN GAYA HIDUP
Generasi baru telefon bimbit mempunyai ciri-ciri seperti e-mel, capaian Internet, permainan 3D, muzik, muat turun video dan mesej foto untuk meningkatkan gaya hidup anda.
Khidmat-khidmat ini, bagaimanapun, adalah mahal dan kos sebenar mereka mungkin tidak dibayangkan oleh maklumat tarif yang disediakan. Jadi, untuk mengambil jalan selamat, gunakan khidmat-khidmat ini hanya apabila benar-benar perlu.
Pelbagai pelan mudahalih yang terdapat hari ini mungkin menggoda tetapi elakkan daripada membuat keputusan terburu-buru. Luangkan sedikit masa meninjau pelan yang paling sesuai bagi anda, yang menawarkan khidmat terbaik serta menjimatkan wang anda.
Oleh Rosliwaty Ramly
Bernama