Keakraban serantau berteraskan budaya dan tradisi mesti dihidupkan semula
MINGGU lalu berlangsung Kongres Sebudaya Serumpun di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kongres yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Penulis Nasional (PENA), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWA) dan DBP itu menghimpunkan ilmuwan, karyawan, penulis, budayawan dan aktivis dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.
Konsep 'saudara serumpun' atau 'sebudaya serumpun' nampaknya terasa 'kosong' dan sudah semakin terhakis maknanya hari ini. Memang jelas terasa bahawa hubungan akrab di antara teman-teman karyawan, seniman dan penulis dari negara serantau semakin menjarak atau merenggang di negara terbabit.
Mungkin realiti politik, sosial, ekonomi atau asakan globalisasi dan dunia tanpa sempadan telah menulis semula hukum hakam hubungan negara serantau. Kadang-kala keperluan dagang dan urus niaga mengatasi semua pertimbangan lain termasuklah hubungan diplomatik, sejarah, tradisi kebudayaan, makna kejiranan malah hubungan kekeluargaan.
Nampaknya pergantungan terlalu besar diletakkan pada hubungan rasmi kerajaan dengan kerajaan (G to G) hingga peranan rakyat dalam membina hubungan itu diabaikan. Sedangkan hubungan sedemikian mesti bermula secara bebas, terbuka dan jujur antara rakyat dengan rakyat.
Sejak akhir-akhir ini amat terasa hubungan kebudayaan dan kesusasteraan sebenarnya semakin menipis di antara negara penutur Bahasa Melayu di rantau ini. Satu ketika dulu sasterawan dan seniman di Malaysia begitu 'dekat' dengan sasterawan dan seniman serantau, khususnya Indonesia. Indonesia memang sejak sekian lama menjadi rujukan penulis dan karyawan Malaysia, Singapura dan Brunei. Sejarah kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan mempertalikan rakyat negara ini. Malah empayar Melayu silam tidak membataskan kegiatan keilmuan dan kebudayaan hanya dalam lingkungan istana dan rakyatnya. Dari kegiatan persuratan hingga keagamaan, pertalian seperti inilah yang antara lain memberikan makna sebenar konsep 'saudara serumpun' itu.
Apabila sastera cetak bermula di Nusantara, kegiatan kesusasteraan dan perbukuan semakin hilang sempadannya. Persuratan menjadi senjata nasionalis menentang penjajah. Malah bukan rahsia lagi bahawa nasional Melayu di rantau ini pernah memperjuangkan konsep satu negara dan satu rupa bangsa. Walaupun fahaman itu tidak menjadi kenyataan tetapi pengaruh dan hubungan bahasa dan sastera terus terjalin. Memang benar Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia berkembang berasingan akibat kenyataan politik dan keperluan, tetapi itu tidak menghalang pengaruh mempengaruhi di antara penulis dan karyawan Indonesia dan Malaya ketika itu.
Sejak dari awal lagi bahan sastera moden Indonesia pada Zaman Balai Pustaka di Indonesia (yang bermula pada tahun 1908) sudah dibaca oleh penulis Semenanjung. Novel karya Marah Rusli (Siti Nurbaya), Merari Siregar (Azab dan Sengsara) dan Abdul Muis (Salah Asuhan) tidak dilihat sebagai karya Indonesia. Begitu juga penyair zaman itu seperti Muhammad Yamin, Rustam Effendi dan Sanusi Pane begitu selesa diterima oleh pembaca Malaya. Pada Zaman Pujangga Baru (bermula dari 1933 hingga Sebelum Perang Dunia Kedua), karya-karya Sultan Takdir Alishahbana, Armin Pane dan Hamka dikagumi di Malaya. Malah Hamka tidak pernah dilihat sebagai penulis asing bagi ribuan pembaca novelnya di sini. Hamka dikenal kerana Tenggelamnya Kapal van Der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaaba.
Tidak ada gerakan kesusasteraan Indonesia yang begitu besar kesannya ke atas penulis negara ini melainkan Angkatan 45 yang dimulakan oleh penyair Chairil Anwar, Asrul Sani dan Rivai Apin. Gerakan muda ini memperjuangkan fahaman humanisme universal. Malah gerakan inilah yang memberikan inspirasi untuk kelahiran Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) di Malaysia. Asas 50 yang dikaitkan dengan Usman Awang dan Kamaluddin Muhammad, seperti juga Angkatan 45, menggunakan humanisme universal sebagai slogannya.
Apa yang lebih penting penyair Chairil dan teman-temannya amat kental penggunaan Bahasa Melayunya. Malah sehingga hari ini sajak-sajaknya seperti Aku dan Doa masih menjadi sumber untuk lagu-lagu popular di Malaysia walaupun kedua-dua sajak itu lahir lebih 60 tahun yang lalu di Indonesia.
Pembaca Malaysia sebegitu dekat dengan banyak karya dari Indonesia antara lain kerana pemilihan novel dan puisi sebagai teks mata pelajaran sastera. Novel Keluarge Gerilya oleh Pramoedya Ananta Tur misalnya menjadi buku teks di sekolah Malaysia untuk beberapa lama. Sastera Indonesia menjadi sebahagian sukatan mata pelajaran sastera untuk Tingkatan Enam dan diajarkan dalam disiplin sastera di banyak universiti negara ini. Novelis popular dari Indonesia mendapat ikutan luar biasa di sini. Malah buku dari Indonesia melambak di pasaran tempatan.
Dalam dunia filem, rakyat Malaysia mengenal filem dan pelakon Indonesia sejak filem pertama Indonesia Lotong Kesarung muncul pada awal abad ke-20. Pada zaman gemilang filem Indonesia, negara itu memberikan kita Sukarno M Noor, W D Mokhtar, Dicky Zulkarnain, Faroek Afero, Sophan Sophian, Paula Romokoy, Christine Hakim dan ramai lagi. Apabila filem Indonesia lumpuh, kebangkitannya semula telah ditandakan dengan kehadiran pengarah muda seperti Gurin Nugroho dan kemunculan filem seperti Apa Ada Pada Cinta. Di TV, 'sinetron' dari Indonesia mencorakkan dunia hiburan tempatan sampai ke hari ini.
Bagi seniman dan budayawan negara ini, Taman Ismail Marzuki, kegiatan Rendra dan Emha Ainun Najib dengan Kiai Kanjeng amat dikenal. Alam seni lukis juga tidak asing bagi artis kedua-dua negara. Di kalangan generasi muda hari ini kumpulan penghibur seperti Peter Pan, Radja, Samsons dan Kerispatih begitu hangat. Secara logiknya kita amat mengenal satu sama lain. Jadi apa masalahnya?
Sayangnya, hubungan dua hala Malaysia-Indonesia hari ini terlalu banyak didefinisikan oleh isu-isu kontroversi di antara dua negara. Malah hubungan dua hala itu tidak lagi dicorakkan oleh hubungan jujur kemanusiaan yang diasakkan oleh pengisian tamadun dan sejarah tetapi oleh soal-soal politik, ekonomi dan desakan semasa. Maka itu pemahaman yang terbina sekian lama terjejas teruk. Jambatan persaudaraan yang berteraskan sastera, budaya, sejarah dan tradisi semakin menipis. Keperluan untuk menjadi jiran yang baik, saling menghormati dan memerlukan semakin dilupakan.
Minggu lalu saya menyentuh masalah yang berbangkit dari isu laporan media kedua-dua negara. Saya menyebutkan kajian KRA Group, sebuah firma perhubungan awam terkemuka mengenai laporan negatif di dalam media Indonesia yang membabitkan Malaysia. Berdasarkan tinjauan yang dibuat ke atas 4,980 tulisan yang tersiar dari Mei hingga Oktober 2007 di Indonesia, kurang dari lima peratus yang positif mengenai Malaysia.
Pada waktu yang sama, wakil agensi berita Antara di Kuala Lumpur, Nasrullah Ali Fauzi di dalam kertas kerja yang dibentangkan di Universiti Malaya tidak lama dulu cuba melihat laporan media Malaysia mengenai Indonesia dan Warga Negara Indonesia (WNI) di Malaysia. Menurut beliau secara amnya, liputan media Malaysia mengenai Indonesia 'cukup positif dan dijalankan secara profesional'. Bagaimanapun, mengenai WNI di Malaysia, 'sebahagian besar liputan beritanya cenderung negatif, terkadang berlebihan dan bernuansa sensasi.'
Nampaknya kita tidak ada pilihan. Mungkin kita harus kembali ke asal. Kita harus memahami satu sama lain tanpa jurang, tembok, bagej dan prasangka. Apa yang sepatutnya menjadi prinsip kita ialah keyakinan bahawa kita datang dari rumpun yang sama, dibentuk oleh budaya dan tradisi yang sama, dicorakkan oleh psyche yang hampir sama di samping mengakui bahawa kita satu dan hampir serupa.
Sewaktu menutup Kongres di DBP itu saya menyebutkan bahawa dialog sihat dan cerdik yang bermula daripada ilmuwan, sarjana, penulis, budayawan, seniman dan aktivis amat penting dalam rangka memberi makna sebenar 'sebudaya' dan 'serumpun' itu. Saya menganggap ini langkah awal yang penting dan kritikal dalam membantu hubungan dua hala yang lebih baik. Walaupun tumpuan diberikan pada soal hubungan Malaysia dan Indonesia, tetapi kita sebenarnya mempunyai masalah tersendiri dalam rangka hubungan dengan Thailand, Singapura, Filipina dan Brunei juga. Pelbagai masalah yang timbul kalanya menjadikan kita dekat di mata jauh di hati.
Dauk Johan Jaafar
Berita Minggu 26 November 2007