Ahad, 20 Januari 2008

Apa sudah jadi dengan Pakistan?


Keadaan haru-biru dalam negara hanya akan untungkan musuh Islam

PESHAWAR pada April 1989 sibuk, sesak dan berdebu. Juga penuh dengan khabar angin. Tentera presiden boneka yang diletakkan oleh Soviet Union di Afghanistan, Najibullah, sedang menghadapi tekanan hebat dari tentera Mujahidin. Russia sudah berundur dari negara itu meninggalkan Najibullah sendirian. Bagi jutaan pelarian Afghanistan khususnya di kem pelarian di Kachagari, Nasir Bagh, Badaber dan Michni di sekitar kota Peshawar, itu berita yang menggembirakan. Mereka melarikan diri ke Pakistan sejak tentera Russia menakluki Afghanistan pada 1979. Mereka sudah bosan dengan peperangan. Mereka mahu kembali. Tetapi sampai ke hari ini Afghanistan belum sepenuhnya aman. Negara yang menjadi tuan rumah mereka – Pakistan – juga sedang bergolak.

Ketika saya, Wan Umar Ahmad (Sutung Umar RS) dan jurufoto majalah Dewan Masyarakat, Mohd Ali Zakaria menjejakkan kaki di Wilayah Kunar, Afghanistan pada Jumaat 21 April 1989, bau 'kemenangan' terasa benar di mana-mana. Sepanjang perjalanan dari Hewar Pass ke Jalalabad, penduduk yang masih tinggal bercakap mengenai masa depan yang bebas dan merdeka.

Di Peshawar, kerajaan sementara Afghanistan sudahpun dibentuk. Sibghatullah Mujaddi dilantik Presiden; Abdul Rab Rassol Sayyaf, Perdana Menteri; Gulbuddin Hekmateyar, Menteri Luar dan Ahmad Shah Masud, Menteri Pertahanan. Dua tahun kemudian, Afghanistan jatuh ke tangan Mujahidin. Sebuah kerajaan baru pula ditubuhkan, kali ini Burhanuddin Rabbani menjadi Presiden; Hekmateyar, Perdana Menteri dan Masud, Menteri Pertahanan. Kita tahu perkongsian ini juga gagal. Perang saudara meletus.

Pada 1989, Presiden Pakistan ialah Benazir Bhutto yang mengambil alih jawatan itu pada tahun sebelumnya, ketika berusia 35 tahun. Sepanjang pendudukan Russia di Afghanistan, Pakistan menjadi negara yang banyak membantu pejuang Mujahidin. Malah bantuan ketenteraan dari luar disalurkan melalui negara itu. Ketika memerangi tentera Russia dan Najibullah, Amerika Syarikat (AS) menyalurkan lebih RM18 bilion ringgit. Satu laporan lain menyebut bahawa Pakistan mendapat bantuan RM203 bilion daripada AS dari 1950 hingga 1999. Malah selepas Peristiwa September 11, AS mencurahkan RM35 bilion lagi kepada Pakistan. Kali ini sebagai sekutu AS memerangi terorisme.

Tidak hairanlah pemimpin Pakistan terlalu bergantung pada AS. Pada 1989, soal siapa di belakang pimpinan Pakistan ketika itu amat jelas. Apabila beberapa negara Islam, termasuk Malaysia, mengiktiraf kerajaan sementara Afghanistan, Pakistan keberatan berbuat demikian. Apakah muslihat sebenar Benazir dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) tiada siapa yang tahu. Seorang bekas jeneral yang kami temui di Peshawar, Fazl-I-Haq yang turut memainkan peranan penting dalam membantu Mujahidin, menyatakan rasa kesalnya terhadap sikap Benazir waktu itu. "Kami bantu rakyat Afghanistan dengan pelbagai cara - ketenteraan dan menerima mereka sebagai tetamu - tetapi apabila mereka di ambang kemenangan, kita mengabaikan mereka."

Beliau menyumbangkan sebuah rencana yang terjemahannya kami siarkan dalam majalah Dewan Masyarakat pada Ogos 1989 yang membawa judul 'Kerajaan sementara Afghanistan: Pendirian Pakistan.' Telahan beliau bahawa mengabaikan kerajaan yang dipilih melalui syura dan yang mewakili pelbagai suku kaum di Afghanistan akan membawa bencana ternyata betul. Afghanistan diabaikan oleh AS dan Pakistan sendiri selepas kejatuhan Najibullah. Akhirnya Taliban mengambil alih negara itu selepas pemimpin yang diharapkan bersatu demi kebaikan bersama berbunuhan sesama sendiri. Kita tahu apa yang terjadi di Afghanistan di tangan Taliban.

Apa yang penting ialah Benazir boleh mengubah keadaan di Afghanistan ketika itu. Jelaslah bahawa ada elemen luar yang menentukan pendirian beliau. 'Sikap hipokrit' PPP yang disebutkan dalam rencana Fazl-I-Haq itu membawa kesan berlanjutan bukan saja pada keselamatan Pakistan tetapi pada rantau itu seluruhnya hingga ke hari ini.

Banyak orang yang tidak memahami kompleksnya Pakistan dalam konteks politik dan keamanan serantau. Kota Peshawar melambangkan keluarbiasaan itu. Sebuah kota bersejarah yang menjadi ibu negeri Wilayah Barat Daya Pakistan, ia dihuni oleh lebih tiga juta manusia. Wilayah Barat Daya inilah yang menjadi isu besar apabila orang bercakap mengenai usaha menentang terorisme. Osama bin Laden dipercayai melindungi dirinya di wilayah yang seluas hampir 75,000 kilometer persegi. Wilayah pergunungan ini dihuni oleh hampir 19 juta manusia yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Wilayah ini dianggap kawasan 'koboi' di mana kawalan tidak dapat dibuat dari Islamabad. Bukan rahsia lagi bahawa tentera Pakistan tidak sepenuhnya dapat menguasai kawasan suku kaum atau wilayah sukuan yang berbahaya ini. AS meminta hak untuk memasuki kawasan ini bagi memburu Osama dan Taliban tetapi Presiden Pervez Musharraf mahu AS menghormati kedaulatan negaranya.

Benazir terbunuh pada 27 Disember lalu. Nasib malang beliau mengingatkan kita pada ayahnya, Presiden Zulfikar Ali Bhutto yang dihukum mati oleh Jeneral Zia ul-Haq pada 1979. Benazir menjadi Perdana Menteri selama dua kali - 1988 hingga 1990 dan dari 1993 hingga 1996. Beliau tidak meninggalkan legasi yang boleh dibanggakan. Malah banyak daripada masalah yang berlaku di Pakistan hari ini berpunca daripada dasar beliau.

Anak bangsawan yang mendapat pendidikan dari Radcliffe dan Oxford ini mahu memperagakan potret seorang wanita moden yang memimpin sebuah negara Islam. Beliau gagal mengetengahkan agenda liberal beliau apa lagi untuk mengekang pengaruh tentera serta desakan kalangan pimpinan agama yang sempit. Beliau melarikan diri sejurus sebelum Musharraf merampas kuasa pada 1999. Tidak lama kemudian beliau kembali dan bersekongkol dengan Musharraf. Apabila Musharraf mengambil tindakan yang tidak demokratik dan memecat seorang hakim yang popular, Benazir mendiamkan diri.

Nampaknya persetiaan Musharraff - Benazir tidak bertahan lama. Orang yang diharapkan oleh AS sebagai pengganti Musharraf akhirnya mengetepikan sekutunya. Tidak hairanlah apabila beliau terbunuh, Musharraf dipersalahkan, malah ada teori konspirasi bahawa kerajaan Musharraf di belakang pembunuhan itu.

Saya tidak percaya Pakistan tidak boleh ditadbir. Kenyataan itu bagi saya suatu penghinaan pada sebuah negara Islam. Pakistan mempunyai banyak potensi. Sayangnya Pakistan menjadi sebuah negara yang mundur dengan pendapatan perkapita Keluaran Negara Kasar hanya kira-kira RM1,750 atau tujuh kali lebih kurang daripada kita. Pakistan sepatutnya sudah jauh lebih maju dari India yang berkembang pesat ekonominya. Pendapatan perkapita India sebenarnya lebih sedikit dari Pakistan masa ini tetapi penduduknya sembilan kali lebih ramai. Pakistan sepatutnya mempunyai potensi modal insan yang sama baiknya dengan India. Tetapi India berkembang dalam jalur yang berbeza, Pakistan begitu tidak stabil hingga semua usaha pembangunan terencat. Pengaruh fundamentalisme dan sokongan ke atas keganasan ada kaitannya dengan kedudukan rakyat yang terpinggir dan miskin.

Siapakah lagi yang boleh diharapkan oleh AS dan sekutunya di Pakistan? Tentunya bukan pemimpin pembangkang, Nawaz Sharif. Buat masa ini AS tidak ada pilihan melainkan Musharraf yang ternyata menjadi semakin tidak popular di kalangan rakyat.

Pakistan tidak boleh berbangga dengan senjata nuklearnya saja. Pakistan adalah negara Islam yang kedua terbesar di dunia selepas Indonesia. Negara itu akan berdepan dengan lebih banyak masalah yang menyebabkan ketidakstabilan. Musharraf boleh menggunakan sokongan tenteranya untuk mengekalkan kuasa. Tetapi imej Islam akan terus terjejas. Di dalam negara yang hampir semua rakyatnya beragama Islampun, pemimpinnya lebih banyak bercakaran sesama sendiri. Dan masing-masing harus bergantung pada kuasa luar yang memperkudakan mereka.

Sekurang-kurangnya Peshawar pada 1989 penuh dengan harapan dan optimisme.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu