Rabu, 23 Januari 2008

Bayi mati setiap 3 saat di India

NEW DELHI: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) menyatakan lebih 2.1 juta kanak-kanak mati setiap tahun di India ketika usia belum pun 5 tahun dan separuh daripadanya tidak sempat hidup selepas 28 hari.

Laporan itu sekali gus meletakkan India di tempat pertama mencatat kematian kanak-kanak paling ramai di dunia iaitu seorang mati bagi setiap tiga saat.

Lebih 9.7 kanak-kanak pula mati di seluruh dunia, setahun.

Statistik itu dianggap mengejutkan kerana menunjukkan masih ramai anak kecil yang tidak dapat hidup melebihi usia 28 tahun.

Biarpun sekitar 4 juta kanak-kanak mati pada 28 hari pertamanya di dunia, India sebaliknya mencatat angka tertinggi dengan kira-kira sejuta kes daripada bilangan keseluruhan berkenaan.

Daripada 19 juta bayi di negara membangun yang mempunyai berat badan terlalu kecil iaitu kurang 2,500 gram, 8.3 juta daripada mereka adalah di India.

Ini, kata Unicef, menjadikan secara puratanya, 43 peratus bayi yang mempunyai masalah tidak cukup berat badan, dilahirkan di India.

Masalah kekurangan zat makanan terus menjejaskan bayi dan kanak-kanak, malah menjadi punca 50 peratus kematian golongan kecil berkenaan.

- Agensi